Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 30 Mac 2014

Cerita Tentang Gamat Langkawi

Kandang gamat merupakan plot-plot khas menempatkan induk gamat bagi pembenihan dan penternakan

Jabatan Perikanan telah berjaya menjalankan penyelidikan dan penternakan gamat atau nama saintifiknya Holothuria scarba

Induk gamat liar yang baru ditangkap.


Terfikirkah anda bagaimana bentuk ‘kandang’ gamat. Adakah fungsinya sama dengan kandang yang terdapat di darat atau pun ia lebih unik? 
Persoalan itu sering berlegar-legar di fikiran penulis ketika mengikuti lawatan Jabatan Perikanan ke Kampung Teluk Yu, Langkawi, Kedah. 
Tapi, mengapa gamat memerlukan kandang kerana ia bukan hidup di darat sebaliknya sejenis haiwan laut. 
Hakikatnya, kandang itu ialah plot-plot khas menempatkan induk gamat bagi pembenihan dan penternakan. 
Ia antara projek komuniti bersama persatuan nelayan untuk mengumpul induk gamat di perairan Langkawi. 
Sejak dijalankan setahun lalu, ia mengumpulkan lebih 120 induk seberat 250 gram ke atas dan dilepaskan di plot berkeluasan 0.5 hektar. 
Jika dulu, pusat pembenihan gamat banyak ditumpukan di Pusat Pembenihan Ikan Marin di Pulau Sayak, Kedah, kini fokus terarah di Kampung Teluk Yu. 
Ia bertujuan menampung keperluan bekalan gamat kepada penternak haiwan itu bagi keperluan jangka panjang. 
Kejayaan Jabatan Perikanan menjalankan penyelidikan dan penternakan gamat atau nama saintifiknya Holothuria scarba membuka dimensi baru dalam landskap akuakultur negara. 
Kajian mendapati permintaan pasaran gamat dunia mencecah kepada RM15 bilion setahun. Pasaran besar itu memberi peluang kepada penternak berminat untuk mengusahakannya secara komersial. 
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perikanan, Ismail Abu Hassan berkata, kajian serta penyelidikan untuk mengeluarkan benih gamat menghasilkan benih mencukupi. 
Beliau berkata, penyelidikan di Pusat Pembenihan Ikan Marin di Pulau Sayak itu akan dikembangkan ke kawasan ternakan di Pulau Langkawi. 
“Beberapa kawasan dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi untuk ternakan gamat iaitu Teluk Yu, Pulau Tuba, Kuala Temoyong dan Pantai Chenang,” katanya. 
Katanya, kawasan itu terlindung daripada arus deras dan angin kencang serta dasarnya berpasir bercampur lumpur. 
“Malah, di sini juga akan dibina hatceri untuk pengeluaran benih gamat,” katanya. 
Katanya, lebih 1200 spesies gamat ada di dunia, tetapi hanya dua jenis mendapat sambutan dan dikomersialkan iaitu gamat putih dan gamat emas (Stichopus horrens). 
Gamat putih boleh dimakan sebagai perencah makanan laut, manakala gamat emas untuk perubatan atau minyak. 
Gamat putih banyak terdapat di perairan Langkawi. 
“Gamat seberat 250 gram amat sesuai untuk dijadikan induk bagi pembiakan,” katanya. 
Lazimya benih gamat liar yang diasuh daripada kecil akan mengambil masa selama satu setengah hingga dua tahun untuk matang. 
Terdapat dua kaedah pembiakan iaitu secara seksual dan aseksual. 
Kaedah pembiakan gamat tidak memerlukan suntikan hormon sebagaimana ikan untuk merangsang pembiakan, malah ia berlaku secara semula jadi. 
“Induk jantan akan mengeluarkan sperma dan pengeluaran telur oleh induk betina,” katanya. 
Kajian mendapati, seekor induk betina mampu mengeluarkan sejuta telur setiap pusingan. 
Telur yang berjaya menjalani persenyawaan yang sempurna akan menetas dalam tempoh 24 jam. 
Menurutnya, pada hari pertama menetas ia akan dibekalkan Diatom Chactoceras sebagai makanan. 
“Pemberian makanan dua hingga tiga kali sehari kepada Larvae yang baru menetas ini dilakukan sehingga ia berumur dua bulan sebelum dilepaskan ke sangkar ternakan di laut. 
“Ternakan gamat boleh dilakukan dengan kaedah ‘pan-culture’ atau kandang atau jaring ‘polythelin’ yang lebih ekonomik dan efisien. 
“Sangkar jaring bersaiz 50 meter itu mampu memuatkan 5,000 benih gamat berusia empat hingga enam bulan. 
“Lazimnya, ia mengambil masa lapan hingga setahun untuk membesar,” katanya. 
Pemprosesan gamat perlu menjalani beberapa peringkat. 
Gamat yang bersaiz 250 gram akan ditangkap, dibuang perutnya dan direndam dalam larutan bergaram. 
“Selepas direbus, sekali lagi ia dipilih mengikut gred dan saiz sebelum dikeringkan,” katanya. 
Gamat kering katanya mendapat sambutan baik di pasaran dan mampu mencecah sehingga RM350 sekilogram. 
“Ia mendapat permintaan tinggi di China, Amerika, Taiwan, Hong Kong, Singapura, Dubai dan beberapa negara Arab. 
“Ia dikatakan mempunyai nilai tambah yang tinggi untuk penjagaan kesihatan,” katanya. 
Menyedari potensinya, Jabatan Perikanan berusaha mewujudkan ladang ternakan gamat pertama di Langkawi dengan penyertaan seramai 462 peserta. 
Namun, buat permulaan hanya 10 peserta dipilih untuk menternak spesies itu membabitkan kawasan seluas 10 hektar di Pulau Yu. 
Katanya, jabatan turut memperkenalkan konsep ternakan usaha sama tiga penjuru dengan melantik syarikat peneraju, kumpulan Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPeP). 
Jabatan mensasar pengeluaran 500,000 benih setiap pusingan jika semua kemudahan prasarana berjalan lancar. 
“Setiap penternak akan diberikan empat kandang ternakan seluas satu hektar dengan kadar pelepasan benih 5,000 ekor tiap satu kandang. 
Penuaian hasil mula dilakukan berperingkat mengikut kematangan dan saiz. Ia akan dilakukan secara berperingkat setiap tiga bulan. 
“Sebelum tempoh penuaian hasil, syarikat peneraju akan membayar elaun pendahuluan bulanan kepada penternak terbabit. 
“Jabatan optimis peserta mampu memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM3,000 seorang,” katanya. 
Eksport gamat negara hanya sekitar 400 tan metrik bernilai RM140,000 setahun berbanding permintaan pasaran bernilai RM15 bilion. - Mohamed Semail/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Komen

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.