|
Kereta yang dinaiki Junainah dan dua anaknya terbalik selepas terbang merempuh sebuah rumah. Foto: Sinar Harian |
|
Meskipun keadaan kereta rosak teruk tapi Junainah dan dua anaknya tidak mengalami kecederaan parah. Foto; Sinar Harian |
KEMAMAN – “Semasa kereta terbang, saya peluk dua anak erat-erat,” kata seorang guru, Junainah Yusof, 43, yang melalui detik mendebarkan apabila kereta yang dipandunya terbang dan merempuh sebuah rumah ketika pulang dari sekolah petang kelmarin.
Kejadian berlaku ketika mangsa sedang melalui selekoh di laluan berbukit dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang di Felda Neram 1 untuk pulang ke rumah mereka.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi mangsa tiga beranak kerana mereka tidak mengalami kecederaan parah meskipun kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki terbalik dan remuk teruk.
Junainah berkata, ketika menaiki bukit dan mahu membelok di selekoh terdapat sebuah motosikal di hadapannya membuatkannya cuba mengelak daripada terlanggar motosikal terbabit hingga kenderaan itu hilang kawalan lalu meluncur laju dan terbang merempuh sebuah rumah berdekatan.
“Saya waktu itu hanya fikirkan anak-anak sebab itu saya peluk anak sambil berdoa agar kami selamat. Kami keluar dengan merangkak ikut cermin kerana kereta terbalik.
“Syukur kepada ALLAH SWT kerana kami semua masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada Sinar Harian.
Gara-gara kejadian itu, Junainah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Felda Neram 1 ini mengalami lebam di beberapa bahagian serta mengalami sakit-sakit badan sementara dua anaknya, Mohd Faris Nabil Sadri, 9, dan Nur Alya Fakihah, 7, mengalami lebam di lengan.
Katanya, sehari sebelum kejadian berlaku, kereta yang dinaikinya itu baru sahaja selesai diservis (selenggara). - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.