|
Mohd Khairul menunjukkan durian yang dijual secara bakul. Foto: Sinar Harian |
|
Apakah harga buah durian yang dijual di Kuala Nerang ini juga jatuh? Foto: Sinar Harian |
|
Apa khabar gerai durian di Balik Pulau ini? Foto: Sinar Harian |
|
Peminat raja buah berkurangan semasa bulan Ramadan. Foto: mStar |
BALING - Satu bakul dijual hanya RM50, itulah harga yang ditawarkan oleh kebanyakan peniaga durian di sekitar daerah ini kepada pembeli.
Faktor persekitaran terutamanya pada bulan puasa kini menjadikan harga raja buah itu semakin jatuh.
Peniaga, Mohd Khairul Azhar Shuib, 27, berkata, harga buah berkenaan menurun sehingga mencecah 40 sen untuk sekilogram.
“Biasalah waktu Ramadan, bukan tak ada yang beli, tapi kurang. Kebanyakan pembeli adalah bukan yang beragama Islam,” katanya.
Menurutnya, durian yang dijual dalam bakul mendapat sambutan menggalakkan terutama kepada pemborong yang ingin mendapatkan bekalan buah terbabit.
“Harga memang murah, kualiti buah juga baik, jadi jualan memang sangat memuaskan” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Khairul berkata, dia terpaksa menurunkan harga durian bagi mengelak lambakan buah, tambahan pula musim durian Perak akan bermula.
“Selepas raya, durian Perak akan mula dijual, jadi, kita kenalah habiskan durian sedia ada, kalau tidak buah akan rosak dan terpaksa dibuang,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd Sobri Aziz, 21, berkata, faktor bulan puasa menjadikan jualan buah durian ini semakin merudum.
Menurutnya, durian yang berharga RM20 bagi setiap longgok terpaksa diturunkan kepada RM 10 berikutan kurangnya sambutan pembeli.
“Memang berbeza dengan tahun lepas. Tapi, nak buat macam mana, bulan puasa jatuh pada musim durian pula.
“Bukan tak ada langsung pembeli, tetapi tidaklah begitu menggalakkan,” katanya.
Mohd Sobri berkata, orang luar merupakan pembeli utama berbanding penduduk tempatan di sekitar daerah ini.
“Memang jarang orang tempatan beli, depa pun ada kebun durian. Jadi kebanyakannya memang orang luar yang lalu di kawasan ini,” katanya.
Ditanya adakah dia akan turut menyambung jualan durian bagi musim durian Perak, Mohd Sobri berkata, dia akan menumpukan pada jualan pisang pula.
“Saya nak habiskan buah durian ini. Kalau ambil durian Perak, takut jadi lambakan buah pula,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, tidak ramai peniaga yang menjual raja buah itu berbanding tahun lepas dan kebanyakannya menjual dalam jumlah yang sedikit.
Hanya terdapat kira-kira empat gerai buah durian di tepi jalan Pekan Kupang sehingga ke Baling berbanding tahun lepas yang melebihi lima gerai hanya bagi satu kawasan. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.