|
Anggota polis mengeluarkan mayat Adik Khairul Amir Azri Lani,11. Foto: Bernama |
|
Anggota paramedik memeriksa keadaan jenazah Khairul Amir di dalam lif. Foto: myMetro |
|
Ibu Khairul, Nor Hazilah Mat Zain pengsan melihat mayat anaknya. Foto: myMetro |
KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun maut dengan lehernya hampir putus selepas terperosok di celah lif yang rosak di tingkat 3 Blok 8, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, mangsa, Khairul Amir Azri Lani, pelajar Tahun Lima Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Bandar Tasik Selatan, dikatakan cuba keluar dari lif berkenaan yang tiba-tiba berhenti antara tingkat dua dan tiga blok berkenaan untuk ke rumah neneknya.
Saksi, Mohd Norasyraf Mohd Zafridin, 17, yang turut berada dalam lif berkenaan berkata, ketika itu, ada 17 penumpang lain di dalam lif termasuk mangsa apabila lif berkenaan terhenti antara tingkat dua dan tiga.
“Apabila pintunya terbuka, lif berkenaan perlahan-lahan mula menggelungsur ke bawah dan ketika itu ada seorang budak kecil cuba untuk keluar tapi kami sempat menariknya untuk menghalang.
“Secara tiba-tiba, mangsa yang pada mulanya berdiri di sebelah kiri lif cuba keluar dan belum sempat dia keluar, lif terus menggelungsur ke bawah menyebabkan separuh badannya tersepit dan lif terus tersekat,” katanya yang terperangkap di dalam lif berkenaan hampir 45 minit sebelum mereka diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat.
Saksi lain, Mohd Saifuddin Salim, 17, berkata beliau dan beberapa rakan cuba menenangkan kanak-kanak terbabit.
Mereka terperangkap lebih 30 minit dalam keadaan sesak sebelum diselamatkan bomba.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.16 petang dan sepasukan anggota dari balai Bandar Tun Razak sampai di lokasi lima minit kemudian.
“Dengan bantuan petugas penyelenggara lif, kita dapat menurunkan lif berkenaan ke tingkat paling bawah dan mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap. Mayat mangsa dapat dikeluarkan dalam tempoh lima minit.
“Mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM),” katanya. - Berita Harian
|
Anggota Bomba dan Penyelamat membuka lif untuk mengeluarkan mayat Khairul Amir (gambar kecil). Foto: Berita Harian |
KUALA LUMPUR - Seorang murid tahun lima maut selepas kepalanya tersepit di pintu lif dalam kejadian di Perumahan Awam Desa Tun Razak di sini hari ini.
Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu Khairul Amir Azri Lani, 11, tersepit ketika cuba keluar daripada lif yang tersekat antara tingkat dua dan tiga di bangunan berkenaan.
Menurut saksi, Mohd Nor Asyriq Mohd Zafridin, 17, mangsa cuba memanjat ke tingkat tiga, namun secara tiba-tiba lif itu bergerak ke bawah menyebabkan kepalanya tersepit di pintu.
"Masa tu Amir teragak-agak cuba nak melompat keluar, bila dia cuba tiba-tiba lif bergerak," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut pada pukul 1.16 petang dan sebuah jentera dengan tujuh anggota digegaskan ke tempat kejadian.
Ketika kejadian terdapat 18 orang di dalam lif itu dan kebanyakannya adalah pelajar yang baru pulang dari sekolah, katanya.
"Kesemua mangsa dapat dikeluarkan di lobi. Lif tersebut sepatutnya tidak bergerak turun dan kita percaya ada masalah teknikal pada lif itu,"katanya.
Menurutnya mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pasukan paramedik akibat kecederaan di kepala dan bahu sebelum dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat. - Bernama
|
Foto: mynewshub |
KUALA LUMPUR - Insiden murid tahun lima maut setelah tersepit dalam lif yang rosak di Perumahan Awam Desa Tun Razak di ibunegara semalam, semakin meresahkan penduduk mengenai tahap keselamatan lif yang kerap rosak walaupun dibaiki.
Fuad Aziz, 49, yang sudah lima tahun tinggal di flat berkenaan berkata lif itu baru saja dibuka untuk operasi pada hari Selasa selepas ditutup sejak Sabtu lepas akibat rosak.
"Sabtu lalu, lif tersebut telah jatuh dari tingkat lima ke tingkat satu namun tiada yang cedera dan kami terus membuat laporan tentang kejadian itu kepada pihak penyelenggaraan perumahan kami," katanya kepada Bernama di perumahan tersebut. Beliau yang tinggal di tingkat 11.
Kawasan perumahan itu mempunyai empat blok dengan setiap blok mempunyai tiga lif. Setiap blok setinggi 21 tingkat.
Khairul Amir Azri Lani, 11, pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangasaan Bandar Tasik Selatan maut selepas tersepit di lif ketika cuba keluar apabila lif terperangkap di antara dua tingkat di perumahan tersebut, kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam.
"Mereka ada datang baiki empat hingga lima kali sebulan tapi masalah lif ini tidak selesai juga dan saya hairan kenapa lif di sini cepat rosak sedangkan ia selalu dibaiki. Malahan, alat pengesan (sensor) rosak dan tidak berfungsi," kata Fuad.
Mohamad Norizam Suder, 29, seorang peniaga yang tinggal di tingkat enam berkata kejadian lif yang sering rosak menyusahkan penghuni.
"Sukar bagi saya untuk bergerak membawa barang-barang niaga yang banyak turun ke bawah dan setiap kali lif rosak, saya terpaksa mengggunakan tangga," katanya yang sudah dua tahun tinggal di situ.
Beliau berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kontraktor atau mana-mana pihak bertanggungjawab perlu mengambil berat isu ini kerana ia telah menyebabkan kematian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Komuniti Sosial DBKL, Wan Mohd Ghazali Nor Tengku Adnan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) petang semalam.
Tinjauan Bernama mendapati ketiga-tiga lif di blok kejadian berlaku dihentikan perkhidmatan buat sementara waktu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.