|
Pemimpin tertinggi Iran duduk di tengah-tengah. Presiden baru, duduk di sebelah kanan dan mantan Presiden di sebelah kiri. |
|
Mahmoud Ahmadinejad menyerahkan materi rasmi Presiden kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatullah Ali Khameini |
|
Ayatullah Ali Khameini menyerahkan materi rasmi Presiden Iran kepada Hassan Rowhani |
|
Ayatullah Ali Khameini merestui Hassan Rowhani sebagai Presiden Iran yang baru |
TEHERAN - Hassan Rowhani mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden baru Iran semalam bagi menggantikan penyandang terdahulu, Mahmoud Ahmadinejad dalam majlis yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.
Walaupun baru mengangkat sumpah malam tadi, Hasan dianggap sebagai presiden sejak kelmarin selepas pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah Ali Khamenei memberi kelulusan namanya.
Majlis itu dihadiri pemimpin dan wakil dari lebih 50 negara seluruh dunia.
Bagaimanapun Presiden Sudan, Omar al-Bashir gagal hadir selepas Arab Saudi menolak permohonan pesawat membawa beliau melalui ruang udara negara berkenaan. Khartoum berkata, sikap yang ditunjukkan oleh Riyadh itu memaksa Omar berpatah semula ke Sudan.
Ia adalah kali pertama tetamu asing menghadiri majlis angkat sumpah bagi jawatan presiden di negara itu sejak Revolusi Iran pada 1979.
Beberapa jam sebelum itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengecam Hassan kerana berkongsi matlamat dengan Mahmoud yang mahu menghancurkan negara Yahudi.
“Presiden Iran mungkin sudah bertukar tetapi matlamat rejim tetap kekal,” katanya.
Di Washington pula seramai 76 senator AS menghantar surat kepada Presiden Barack Obama menggesa hukuman lebih keras dikenakan terhadap ekonomi Iran sehinggalah negara itu membatalkan program nuklearnya.
Para Senator itu juga mendesak Obama mempertimbangkan semula pilihan ketenteraan walaupun tetap membuka pintu rundingan bagi mencari penyelesaian kepada isu berkenaan.
“Sehingga kita melihat perubahan ketara dalam aktiviti nuklear Iran, kami percaya AS mesti meningkatkan sekatan dan mengukuhkan kredibiliti terhadap kemungkinan menggunakan tentera pada masa sama kita mencuba mencari penyelesaian diplomatik,” kata surat itu.
Hassan dilantik ke jawatan itu selepas mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya pada 14 Jun lalu. - AP/myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.