|
Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di Kampung Makam, Kota Tinggi. Foto: Merah Silu |
|
Pemandangan di Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Foto: Merah Silu |
|
Masjid di sebelah Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Foto: Merah Silu |
|
Orang awam digalakkan menyiram air di makam selepas membacakan ayat suci al-Quran tanpa menabur bunga. Foto: Sinar Harian |
KOTA TINGGI - Orang awam yang melawat Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di Kampung Makam, dekat sini, diminta memberi kerjasama agar mematuhi larangan yang ditetapkan termasuklah tidak menaburkan bunga di situ.
Pembaca al-Quran makam diraja, Noor Azzam Baker berkata, meskipun notis berkenaan telah ditampal di kompleks tersebut namun, masih terdapat segelintir individu bersikap tidak endah.
Menurutnya, larangan yang telah berkuat kuasa sejak tiga tahun lalu itu seolah-olah tidak memberi kesan kepada pelawat yang menziarahi makam tersebut.
“Hingga kini masih terdapat pengunjung yang menabur bunga di makam ini. Selain larangan tersebut, kita juga berharap agar orang awam yang hadir dapat mengenakan pakaian yang sopan.
“Ini kerana terdapat dalam kalangan orang awam yang melawat makam ini memakai pakaian tidak sopan seperti berseluar pendek, tidak menutup aurat dan sebagainya.
“Tambahan pula kompleks makam ini terletak berhampiran kawasan masjid, oleh itu amat wajar jika mereka yang hadir dapat mengenakan pakaian yang sopan sebagai tanda hormat,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Katanya, terdapat juga dalam kalangan pengunjung yang tidak menjaga kebersihan dan bertindak memakai kasut ataupun selipar melebihi kawasan yang ditetapkan.
Bagaimanapun Noor Azzam yang telah bekerja selama lima tahun di kompleks makam tersebut berkata, beliau amat mengalu-alukan kedatangan orang awam untuk melawat makam tersebut, namun memadai dengan hanya membawa air siraman dan membaca ayat suci al-Quran.
“Kompleks ini terdapat 15 makam sering dipenuhi dengan kunjungan orang awam terutama pada hari Sabtu, Ahad serta hari cuti.
“Kehadiran orang awam untuk menziarahi serta mendalami sejarah lama di kompleks ini sememangnya amat kita alu-alukan. Namun, kita amat berharap agar pengunjung dapat mengikuti peraturan yang ditetapkan. Tanpa kerjasama daripada orang awam akan menyukarkan pihak kami di sini,” katanya. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.