|
Kepada Norain, pulanglah segera ke pangkuan keluarga sempena Hari Raya Aidil Fitri yang mulia. Foto: Sinar Harian |
|
Ayah dan ibumu ketika ini sedang merinduimu. Foto: Sinar Harian |
TEMERLOH - Pasangan suami isteri Zainal Ismail 66, dan isteri Fuziyah Mansor 53, merayu anak gadis mereka, Norain, 23, yang menghilangkan diri lebih sebulan lalu pulang ke pangkuan keluarga bagi menyambut Aidilfitri bersama.
Fuziah berkata, anak gadisnya yang mesra disapa Ain, keluar rumah 28 Jun lalu untuk memulakan kerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di Kuantan dan buat sementara waktu dia tinggal bersama kakak dan abang iparnya.
Menurutnya, Ain anak keempat dari lima beradik itu menghilangkan diri ketika berada di rumah kakaknya di Kuantan, 9 Julai lalu.
"Tanpa sebarang sebab, kami dimaklumkan Ain menghilangkan diri dengan barang peribadi dan dia ada hantar mesej kepada kakaknya memohon maaf serta memaklumkan keluar mahu cari ketenangan.
"Selepas itu langsung tiada khabar berita mengenainya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Tingkat, di sini, semalam.
Fuziyah berkata, tindakan Ain yang bekas pelajar lepasan Kolej Universiti Segi menghilangkan diri sangat mengejutkan keluarga memandangkan dia anak manja dan tidak pernah melakukan perkara sedemikian sebelum ini.
"Kami sekeluarga sangat merindui Ain dan buntu memikirkan nasibnya memandangkan tiada sebarang perselisihan faham yang berlaku," katanya.
Sementara itu, Zainal berkata, dia berikhtiar mencari di banyak tempat, termasuk di serata Kuala Lumpur, tempat belajar Ain di Damansara dan bertemu rakan-rakan anaknya.
Menurutnya, paling merisaukannya jika anak gadisnya itu terpengaruh dengan keldai dadah atau menjadi mangsa sindiket penipuan black money.
“Saya tahu Ain cerdik, dia tidak akan melakukan benda yang tak patut. Apa yang saya risaukan ialah keselamatannya.
“Jika dia tak selesa tinggal dengan kakaknya, dia boleh beritahu kami, tetapi apabila dia terus menghilangkan diri saya sangat buntu,” katanya.
Sehubungan itu sesiapa yang mengenali atau mengetahui lokasi Norain berada boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Fuziyah menerusi 010-5390383. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.