Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 22 Ogos 2013

Bas Genting Jatuh Gaung

Pasukan penyelamat bekerja keras untuk membawa 40 mangsa kemalangan bas di Genting Highland

Dua kren digunakan oleh anggota pasukan penyelamat di lokasi kejadian 

Anggota pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa dari bas yang malang. Foto: AFP

Seorang daripada mangsa kemalangan yang berjaya dikeluarkan dari dalam bas

Bas malang itu terbabas selepas melanggar pengadang jalan dan jatuh ke dalam gaung. Foto: AFP

Dua mangsa kemalangan sedang diangkat naik. Foto: Sinar Harian

Dua mangsa ini dikejarkan ke Hospital Selayang

Anggota perubatan sedang memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI]Seramai 30 orang termasuk pemandu bas disahkan terkorban dalam nahas bas ekspres yang terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM3.6 Jalan Genting Highlands hari ini. 
Kemalangan berlaku ketika bas yang membawa 49 penumpang itu menuruni jalan curam dari puncak Genting Highlands menuju ke ibu negara. 
Penolong Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Soiman Jahid berkata mangsa yang ditemui meninggal dunia sehingga 8 malam ini ialah 18 lelaki dan 12 wanita. 
Bagaimanapun kewarganegaraan mangsa yang maut masih belum dapat dipastikan, katanya. 
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga kesemua mangsa ditemui. 
"Kami akan menggunakan unit pengesan K9 untuk mencari mangsa yang kemungkinan tercampak keluar dari bas bagi memastikan tiada mangsa tertinggal di bawah gaung sana," katanya. 
Beliau berkata seramai 450 anggota bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi itu. 
Seramai 16 lagi mangsa telah berjaya dibawa keluar daripada bas itu dan kini menerima rawatan di beberapa hospital kerana mengalami pelbagai kecederaan dan ada yang dilaporkan kritikal. 
Hospital Selayang menerima lapan pesakit, Hospital Kuala Lumpur (lima) , Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong masing-masing dua mangsa. 
Soiman berkata punca kemalangan masih belum diketahui dan pihaknya juga masih belum menemui saksi kejadian. 
"Tapi kami merasakan keadaan fizikal jalan ini menuruni cerun. Memanglah cerun ini agak menjunam, jadi sekiranya ia tidak dikawal dengan sempurna menyebabkan bas tergelincir dan jatuh ke gaung. Ini penilaian awal daripada pihak penyelamat," katanya. 
Sementara itu Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL Datuk Seri Dr Abu Hassan Assari Abdullah pada sidang media berkata kesemua mangsa yang dirawat di hospital itu dilaporkan stabil. 
Katanya setakat ini 20 mayat telah dihantar ke HKL. 
Antara warga asing yang cedera dalam nahas itu ialah dari Bangladesh dan Thailand. 
Berikut senarai yang menerima rawatan di HKL: 
1. Wong Teraphong, 63 - Thailand
2. Ali Haider Syed Haider , 46 - Bangladesh
3. Saidah, 19 - Malaysia
4. Razif, 26 - Malaysia
5. Tan Ming Shing, 26 - Malaysia

Berikut nama mangsa yang cedera dan dirawat di Hospital Selayang 
1. Raawnok Arefin, 14 - Bangladesh
2. Nu Syamimi Ja'afar, 25 - Malaysia
3. Nur Fathiah Ja'afar, 21 - Malaysia
4. Rashidah Buyah, 50 - Bangladesh
5. Andri Purwadi, 25 - Indonesia
6. Nurul Quraitul Aini, 19 - Malaysia
7. Rezyan Arefin, 24 - Bangladesh
8. Nur Fridil Gusman, 23 - Indonesia

- Bernama

KUALA LUMPUR - Nahas bas henti-henti yang terjunam sejauh 60 meter ke dalam gaung di Kilometer (KM) 3.5 Genting Highlands semalam adalah yang paling buruk pernah berlaku di kawasan itu dan dalam sejarah negara. 
Setakat ini 37 orang disahkan terkorban dalam tragedi yang berlaku pukul 2.24 petang itu. 
Bas dipercayai membawa seorang pemandu dan 52 penumpang itu dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Hentian Pekeliling di ibu negara. 
Kemalangan buruk lain di kawasan itu ialah pada Julai 1996 apabila 17 orang termasuk enam kanak-kanak terbunuh selepas bas yang dinaiki mereka terhumban kira-kira 100 meter ke dalam gaung ketika pulang daripada menyertai hari keluarga di Genting Highlands. 
Pusat peranginan Genting Highlands merupakan destinasi percutian popular bagi rakyat tempatan dan juga pelancong dari negara asing seperti Singapura, India, Taiwan, Jepun dan Indonesia.
Sumber: Kosmo! Online


Bas Genting (warna kuning) di Terminal Bas Jalan Pekeliling, KL. Foto: Malaysia-ExpressBus.com

KUALA LUMPUR - Bas yang terjunam ke dalam gaung di Km 3.5 Jalan Genting Highlands, hilang kawalan sejauh 100 meter sebelum melanggar tebing dan jatuh ke dalam gaung itu, kata Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani. 
Katanya siasatan awal juga mendapati sebanyak 48 tiket dijual namun bilangan penumpang yang menaiki bas bernombor pendaftaran WGA 4136 berkenaan lebih daripada itu. 
Kejadian dilapor berlaku 2.45 petang ketika bas berkenaan menuruni puncak Genting Highlands berdekatan Chin Swee Temple, katanya ketika dihubungi Bernama. 
Nahas yang disifatkan terburuk dalam sejarah negara itu mengorbankan 37 nyawa, manakala 16 lagi cedera. - Bernama


NONE
Seorang mangsa yang terselamat memberitahu keadaan fizikal bas malang itu dalam keadaan uzur

KUALA LUMPUR - Seorang daripada 16 mangsa yang terselamat dalam nahas bas di KM3.5 Jalan Genting Highlands semalam memberitahu beliau berasa tidak keruan dan was-was ketika menaiki bas malang itu berikutan keadaan fizikal kenderaan yang uzur. 
Dalam kemalangan tragis pukul 2.45 petang yang mengorbankan 37 nyawa itu, Nur Syamimi Ja'afar, 25, memberitahu beliau melihat keadaan fizikal bas tidak baik seperti tayarnya yang sudah haus dan bas usang. 
Beliau yang patah tangan kiri dan mengalami kecederaan di muka dan tangan itu menceritakan hal berkenaan kepada teman lelakinya, Zaid Ismail, 25, yang melawatnya di Hospital Selayang malam tadi. 
Zaid ketika ditemui Bernama berkata: "Selepas kejadian jatuh gaung, Nur Syamimi mencari adiknya, Nur Fathiah, 21, yang turut berada di dalam bas itu namun tercampak beberapa meter dari tempat duduk mereka. 
"Nur Fathiah turut mengalami kecederaan ringan. Mereka kemudian merangkak keluar melalui tingkap yang pecah dan cuba membantu mangsa lain memandangkan mereka yang terawal sedar daripada kejadian itu. 
"Mereka lihat ada mangsa yang pecah kepala, kecederaan serius selain melihat ada mangsa terperosok di bawah bas," kata Zaid. 
Katanya Nur Syamimi memaklumkan kemalangan itu dengan menghubungi abang mereka yang dikenali sebagai Jeffrey sebelum diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat dan dibawa ke Hospital Selayang. 
Zaid bersyukur kedua-dua adik-beradik, yang bercuti di pusat peranginan itu, terselamat dan tidak mengalami kecederaan parah memandangkan ramai yang maut dalam kemalangan berkenaan. 
Seorang lagi mangsa, Nurul Quraitul Aini Md Jali, 19, pula memberitahu hari ini adalah hari terakhir beliau bekerja sebagai pekerja bankuet sebuah hotel. 
Kakaknya, Nur Aini berkata adiknya merupakan orang kelima yang dibawa keluar dan diselamatkan pasukan keselamatan. 
"Ibu dan kami semua terkejut dengan kejadian itu dan kami bergegas datang ke hospital dari Melaka sebaik sahaja adik menghubungi kami. 
"Kami gembira dan bersyukur dia selamat dan dapat melihat serta berbual dengannya tadi," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa, Saidah Misbun, 19, sempat menghubungi ibunya yang berada di Perak sejurus kejadian. 
Kakaknya, Sajidah Misbun, 21, memberitahu, panggilan adiknya itu terputus dan mereka semua bergegas ke Hospital Kuala Lumpur untuk melawatnya. 
"Adik tidak sampai setahun kerja di Genting Highlands dan tidak sangka dia akan mengalami keadaan sebegini. Adik saya patah tulang rusuk belakang dan mungkin dihantar untuk pembedahan," kata Sajidah. - Bernama


Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur. Foto: ABN News

KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S Jeyaindran meminta waris yang mengesyaki anggota keluarga mereka maut dalam nahas bas di Genting Highlands datang ke Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan pengecaman. 
Beliau juga meminta mereka membawa dokumen peribadi mangsa dan diri sendiri bagi membuktikan mereka adalah waris mangsa. 
Katanya, identiti mangsa yang maut hanya akan dapat disahkan selepas selesai bedah siasat dan pengecaman oleh waris. 
"Ini untuk mengelak berlakunya sebarang kesilapan kerana kebanyakan maklumat pengenalan diri gagal ditemui pada mangsa," katanya dalam satu sidang akhbar di ibunegara. 
Dr Jeyaindran berkata proses bedah siasat ke atas 37 mayat sudah bermula sejak 11.20 malam tadi dan dijangka selesai 9.30 pagi. 
"Bagi setiap sesi bedah siasat sejam diperlukan, dan dengan bilangan 12 pakar forensik yang ada, pihak kami mampu melakukan bedah siasat empat mayat dalam satu sesi," katanya. 
Mengenai 16 mangsa yang terselamat, Dr Jeyaindran berkata enam daripada mereka masih kritikal manakala 10 lagi stabil. 
Beliau juga mengesahkan tiada kanak-kanak terlibat dalam tragedi itu. - Bernama


Waris-waris salah seorang mangsa bersedih ketika menunggu dihadapan bilik mayat Hospital Kuala Lumpur. Foto: SInar Harian

KUALA LUMPUR - Kesedihan dan kesayuan menyelubungi bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini ketika waris mangsa yang terkorban dalam kemalangan bas ngeri di Genting Highlands berkumpul untuk mengenal pasti dan membawa pulang mayat mangsa. 
Ada antara anggota keluarga itu dilihat menangis teresak-esak dan enggan ditemu bual media. 
Menurut seorang jurucakap HKL, setakat 11 pagi ini, bedah siasat selesai dijalankan ke atas 30 mayat dan 17 lagi mayat telahpun dikenal pasti. 
Proses pengecaman masih berjalan ketika anggota keluarga menjalankan urusan menuntut mayat orang tersayang. 
Wakil media, yang menunggu seawal 7 pagi, tidak dibenarkan memasuki perkarangan bilik mayat. 
Sementara itu Yayasan Tzu Chi, sebuah pertubuhan kemanusiaan bukan kerajaan, turut memberi perkhidmatan untuk membantu anggota keluarga mangsa. 
Tiga puluh tujuh orang termasuk pemandu bas terbunuh dalam kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands pada 2.22 petang semalam. 
Bas yang membawa 52 penumpang, termasuk beberapa warga asing itu, sedang menuruni laluan curam dari Genting Highlands menghala ke pusat bandar raya apabila terjunam ke dalam gaung. 
Suasana di sekitar bilik mayat menjadi semakin sibuk menjelang waktu tengah hari apabila lebih ramai kaum keluarga yang tiba untuk membantu proses pengecaman mayat. 
Sebahagian daripada anggota keluarga mangsa menunggu dengan penuh gundah di khemah yang didirikan oleh Yayasan Tzu Chi. 
Beberapa buah kereta mayat juga dilihat memasuki perkarangan bilik mayat pagi ini. - Bernama


KUALA LUMPUR - "Tolong cari ibu saya, tolong cari ayah saya, saya mahukan mereka... tolonglah...," rintihan itu membuatkan hati Staff Muda Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Hazwan Abdul Ghani tersentuh ketika menyelamatkan mangsa nahas bas di Genting Highlands kelmarin. 
Remaja lelaki warga Bangladesh berusia 14 tahun itu merupakan mangsa pertama diselamatkan Hazwan, 24, dalam tragedi yang meragut 37 nyawa dan menyebabkan 16 lagi cedera. 
Hazwan merupakan individu pertama turun dengan tali bagi menyelamatkan mangsa dengan dibantu seorang rakan selepas diarahkan ke tempat kejadian pada jam 2.30 petang. 
Dalam perjalanan ke lokasi, Hazwan membayangkan kemalangan itu hanya membabitkan bas terbalik sama seperti kemalangan dua tahun lepas namun sangkaannya jauh tersasar sebaik melihat bas itu di dalam gaung sedalam 60 meter. 
"Apabila meninjau ke bawah, saya tergamam seketika kerana hanya terlihat badan bas yang tersangkut di sebuah bongkah batu besar...Sebelum terlihat mangsa, saya dapat melihat satu mayat tersangkut antara batu dalam keadaan ngeri. 
"Lebih sayu apabila melihat keadaan pemandu bas yang kakinya masih tersangkut di pedal kerana tersepit manakala badannya patah dua seperti huruf 'L' manakala kepalanya penuh darah," katanya. 
Memikirkan pemandu bas tidak mempunyai harapan untuk diselamatkan, Hazwan bergegas ke arah remaja Bangladesh yang dalam keadaan trauma dan ketika itu, beliau ternampak seorang wanita berusia 20-an yang juga cedera namun kelihatan tenang. 
"Dia macam faham dan meminta saya menyelamatkan remaja berkenaan dahulu dan saya berjanji akan menyelamatkannya selepas itu," katanya. 
Selepas itu, beliau terdengar suara lelaki sayup-sayup meminta tolong yang kemudian ditemui di dalam bas di bawah timbunan tiga mayat. 
Operasi menyelamat mangsa yang masih hidup tamat pada pukul 7 malam bagi memberi laluan operasi mencari mayat.
Meskipun sudah empat tahun menjadi anggota penyelamat JPAM, nahas kelmarin merupakan antara yang terburuk pernah dilihat dan meninggalkan kesan kepada diri Hazwan. 
"Sebelum ini, saya dan rakan ada berbual, sudah lama tidak terlibat dengan tragedi besar sejak dua tahun lepas, namun tidak sangka pula tragedi dahsyat berlaku kelmarin," katanya. - Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR - Ketika punca sebenar kemalangan bas di Genting Higland semalam masih tidak dapat dipastikan secara rasmi, beberapa versi cerita telah muncul daripada mangsa yang terselamat. 
NONESeorang daripadanya, Mosammat Sirajum (kanan) mendakwa sejurus sebelum kemalangan berlaku, pemandu bas itu dan seorang pemandu teksi kelihatan marah-marah di antara satu sama lain sewaktu memandu kenderaan masing-masing. 
"Dua anak saudara lelaki saya nampak pemandu bas itu dan seorang pemandu teksi seperti saling menunjuk-menunjukkan isyarat marah antara satu sama lain," kata pemastautin tetap Malaysia dari Bangladesh itu. 
"Menurut mereka, pemandu teksi itu cuba memotong bas tersebut dan pemandu bas sempat menekan pedal brek," kata Mosammat sewaktu ditemui di Hospital Selayang. 
Menurutnya, anak-anak saudara beliau yang masing-masing berumur 22 tahun dan 14 tahun kehilangan ayah mereka yang berusia 54 tahun dalam kemalangan itu walaupun ibu mereka terselamat. 
"Ini kali pertama sepupu saya, seorang warganegara Kanada, membawa keluarga mereka ke Malaysia," katanya. 
NONESeorang lagi mangsa, warganegara Indonesia, Andri Purwadi (kiri) yang berusia 23 tahun, memberitahu wartawan yang bas itu dipandu laju. 
Andri berkata beliau adalah salah seorang daripada lima penumpang yang membeli tiket berharga RM7 tetapi terpaksa berdiri kerana tempat duduk telah penuh. 
Beliau yang sakit gigi menaiki bas jam 2 petang untuk bertemu doktor gigi di bandar sementara rakannya Nur Firdil Gusman, 25 tahun, juga warganegara Indonesia yang bekerja sebagai tukang cuci di Genting Highlands, diwadkan di Hospital Selayang. 
Andri yang juga bekerja sebagai tukang cuci berkata pemandu itu tidak mengantuk atau pun mabuk. 
Menurutnya beliau berada dalam kesakitan sewaktu bas itu mencecah tanah selepas terjunam dan mereka terpaksa menunggu selama kira-kira sejam sebelum bantuan tiba. 
Andri patah kaki dan akan dibedah petang ini. - Malaysiakini



Lim Kok Ho. Foto: mStar Online

KUALA LUMPUR: Mangsa kemalangan bas di Genting Highlands memberitahu kisah ngeri mengenai pemandu bas Lim Kok Ho (gambar) yang marah, seolah-olah tidak stabil dalam tindakannya - sejurus sebelum tragedi yang mengorbankan banyak nyawa pada pukul 2.20 petang Rabu. 
"Ia seperti dia sengaja mahu membunuh kami. Dia tidak usaha membelok ke arah laluan kecemasan sebelum tiba ke kawasan di mana bas terjunam ke dalam gaung," kata Tan Ming Shing. 
Tan, 26, mendakwa pemandu itu yang turut terbunuh dalam kemalangan itu, mempercepatkan kelajuan ketika menuruni cerun walaupun dia tahu brek gagal berfungsi. 
"Beberapa minit minit sebelum bas terjunam ke dalam gaung, bas hampir melanggar tiang. 
"Beberapa ratus meter selepas itu, pemandu membuat belok secara tiba-tiba dan menyebabkan sebuah Honda City hampir melanggar kami," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur. 
Tan, seorang pekerja dapur di Genting, berkata kedua-dua pemandu itu memberhentikan kenderaan mereka dan mula menjerit dan menunjukkan isyarat marah kepada antara satu sama lain sebelum meneruskan perjalanan masing-masing. 
Tan mendakwa bahawa pemandu ada menyebut sesuatu mengenai brek yang tidak berfungsi, tetapi tidak membenarkan sesiapa untuk keluar dari bas. 
"Dia (pemandu) kemudiannya secara tiba-tiba membelok lagi, dan ramai antara kami yang menjerit ketakutan. Dan bas terjunam ke dalam gaung." 
Di Hospital Selayang, Kanada Rwaanok Arefin yang berusia 14 tahun berkata, pemandu memandu dalam keadaan marah selepas bersemuka dengan pemandu Honda City. 
"Beberapa penumpang memarahi dia dan meminta dia untuk memperlahankan pemanduan. 
"Ini menimbulkan kemarahan lagi kepada itu membuatkan dia memandu dengan lebih laju. Dia kemudiannya hilang kawalan dan bas terjunam ke dalam gaung," kata Rwaanok yang bercuti bersama keluarga di Malaysia buat kali pertama. 
Bapa Rwaanok, 55, Rafiq Ali Buhyia, meninggal dunia dalam kemalangan itu. 
Ibunya Buhyia Rashidah, 50, dan adik Rezyan Arefin, 24, terselamat. 
Bagaimanapun, Rezyan dalam keadaan kritikal. 
Seorang lagi penumpang yang terselamat, Nur Syamimi Ja'afar, 25, turut meluahkan mengenai perkara yang sama. 
"Saya melihat pemandu bas memberi isyarat marah kepada pemandu Honda City," katanya. 
Selepas itu, pemandu bas kendengaran merungut marah dan Nur Syamimi berkata, pemandu itu memandu lebih laju. 
Nur Syamimi bersama adiknya, Nur Fathiah, 21, di dalam bas ketika kemalangan berlaku. 
Nur Syamimi patah lengan dalam kemalangan itu. 
"Mayat-mayat yang ditemui berlumuran darah dan ramai yang menjerit kesakitan. Saya ada terdengar seorang lelaki menjerit meminta pertolongan di luar bas. Dia mungkin tercampak keluar tetapi saya tidak dapat membantunya. Saya tidak dapat menggerakkan tangan kiri saya." 
Nur Syamimi, dari Terengganu, berkata bas itu sememangnya sarat dengan penumpang, kira-kira tujuh orang berdiri di dalam bas sebelum nahas berlaku. - mStar Online

Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Ong Cheng Hoe tidak pernah menyangka bahawa perbualan mesra dengan iparnya, pemandu bas Lim Kok Hoe, melalui telefon semalam, adalah yang terakhir antara mereka. 
Dalam perbualan itu, mereka saling berjenaka dan Lim memintanya membeli sepasang kaca mata gelap. 
"Kami berbual melalui telefon pada kira-kira 1 tengah hari semalam. Kata Lim dia memerlukan cermin mata baru dan meminta saya membeli untuknya. Dia juga mengingatkan saya supaya tidak membeli yang terlalu mahal. 
"Jadi, saya beli dua pasang cermin mata gelap yang serupa... RM300 sepasang. Satu untuk dia dan satu untuk saya," kata Ong ketika ditemui di luar rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di ibunegara hari ini. 
Bagaimanapun, Lim, 44, tidak sempat memakai cermin mata itu kerana terbunuh apabila bas yang dipandunya terjunam ke dalam gaung di Genting Highlands petang semalam. 
Seramai 36 penumpang turut terbunuh dalam kemalangan yang berlaku ketika bas berkenaan menuju ke Kuala Lumpur dari pusat peranginan itu. 
Kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands itu juga menyebabkan 16 penumpang cedera, termasuk sembilan warga asing. 
Ong tiba di rumah mayat HKL pada jam 9 pagi bersama anggota keluarganya bagi menuntut mayat Lim. 
Ibu dan adik-beradik perempuan mangsa menangis sejurus tiba di situ kerana tidak dapat menahan kesedihan. 
Ong, yang cuba mengawal kesedihannya, berkata Lim, yang berasal dari Johor, bekerja dengan syarikat bas berkenaan belum sampai tiga bulan. 
Sebelum ini, dia bekerja selama enam tahun di Singapura sebagai pemandu bas yang membuat perjalanan antara republik itu dan Johor. 
"Dia pernah bersungut tentang kehidupan yang sentiasa sibuk di sana dan mengambil keputusan untuk pulang. Lagipun, dia mendapat gaji lebih tinggi di sini," katanya. 
Ong menyifatkan iparnya yang menduda itu sebagai lelaki yang amat berdisiplin serta pemandu berpengalaman. 
Kata Ong Lim tinggal bersama keluarganya di Pandan Indah dan selalunya menggunakan perkhidmatan LRT untuk ke terminal perkhidmatan bas berkenaan di Titiwangsa.
Ong berkata keluarganya hanya mendapat tahu tentang kemalangan itu melalui berita televisyen pada kira-kira 5.30 petang semalam dan selepas itu dia segera ke Titiwangsa untuk mendapatkan khabar tentang Lim. 
"Kami diberitahu syarikat berkenaan bahawa bas terbabit dipandu Lim semalam," katanya. 
Sementara itu, ibu Lim, Chow Bee Hua, 70-an, berkata dia amat sedih apabila menerima berita itu. 
Katanya Lim mungkin mengalami pendarahan dalaman kerana hanya terdapat sedikit luka di muka, kaki dan kepalanya. 
Mayat Lim akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Batu Pahat untuk dikebumikan. Mangsa meninggalkan seorang anak lelaki berusia 19 tahun dan seorang anak perempuan berusia 15 tahun. - Bernama


Pasukan keselamatan hari ini berjaya membawa naik bangkai bas menggunakan sebuah kren. Foto: Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Operasi mengeluarkan bangkai bas yang terjunam kira-kira 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Jalan Genting Highlands Rabu lepas, selesai pada 12.45 tengah hari ini selepas hampir tiga jam operasi dijalankan. 
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohd Mansor Mohd Nor berkata operasi yangdisertai kira-kira 160 anggota keselamatan termasuk bomba, Jabatan PengangkutanJalan (JPJ), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) itu bermula 10 pagi. 
"Kami ambil masa dua jam 45 minit untuk membawa naik bas seberat kira-kira tiga tan itu dengan menggunakan sebuah kren seberat 200 tan," katanya kepadapemberita di lokasi kejadian berhampiran pusat peranginan tanah tinggi itu. 
Mohd Mansor berkata Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn Bhd(Puspakom) dan jurutera JPJ akan membuat pemeriksaan terhadap bangkai bas itudan setelah proses siasatan selesai, ia akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis DaerahBentong untuk tindakan lanjut. 
"Untuk membuat pemeriksaan, kami perlu pastikan keadaan selamat sepertimemastikan minyak diesel yang keluar tidak mendatangkan sebarang bahaya termasuk letupan. 
"Saya tidak dapat pastikan bila proses pemeriksaan ini selesai...siasatan dijalankan secara berperingkat," kata Mohd Mansor. 
Menurutnya komponen bas itu akan dibuka dalam usaha mengenal pasti puncasebenar kemalangan. 
Operasi mengeluarkan bangkai bas itu ditangguhkan semalam berikutan kren yang dibawa dari ibu negara itu mengambil masa yang lama untuk tiba di lokasi kejadian. Ia tiba pada kira-kira 8 malam semalam. 
Nahas yang berlaku Rabu lepas itu mengorbankan 37 orang termasuk pemandu basdan mengakibatkan 16 yang lain cedera, sekali gus menjadikannya nahas basterburuk di negara ini. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.