Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 19 Ogos 2013

Polis Britain Teliti Maklumat Baru Kematian Diana

Polis Britain menyatakan pihaknya sedang meneliti maklumat terbaharu mengenai kematian Puteri Diana

Dodi al-Fayed teman lelaki Puteri Diana

Kereta Mercedes yang dinaiki Diana bersama Dodi remuk teruk semasa kemalangan di Paris pada tahun 1997

Mohamed al Fayed (bapa Dodi) mengemukakan inkuiri di Mahkamah Rayuan Perancis pada tahun 1999 tetapi ditolak

Laporan Siasatan Lord Stevens menyimpulkan pasangan itu mati kerana kemalangan jalan raya



LONDON - Scotland Yard semalam berkata mereka kini menilai kredibiliti maklumat baru berkait dengan kematian Puteri Diana dan Dodi Fayed, termasuk dakwaan mereka dibunuh oleh seorang anggota tentera Britain. 
Menurutnya, maklumat itu diperoleh daripada perbicaraan kedua mahkamah tentera terhadap Sarjan Danny Nightingale, penembak tepat pasukan khas tentera Britain (SAS) yang disyaki menyembunyikan sepucuk pistol dan 338 peluru dalam bilik tidurnya. 
Dakwaan itu terkandung dalam sepucuk surat daripada ibu bapa mentua bekas rakan serumah Nightingale yang dihantar kepada pegawai pemerintah SAS pada September 2011. 
Ia difahamkan bahawa maklumat berkenaan diserahkan kepada Polis Metropolitan London menerusi Polis Tentera Diraja. 
Akhbar Sunday People melaporkan, surat itu menyatakan Nightingale mendakwa SAS bertanggungjawab terhadap kematian Diana dan ia ‘dirahsiakan.’ 
“Perkhidmatan Polis Met- ropolitan menyiasat maklumat yang diterima baru-baru ini berkait dengan pembunuhan itu dan kini menilai hubungan serta kredibilitinya,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Scotland Yard. 
Penilaian berkenaan akan dilakukan oleh pegawai Markas Jenayah dan Operasi Khas. 
Polis berkata, mereka tidak bersedia untuk membincangkan masalah itu lebih lanjut sementara seorang jurucakap keluarga diraja berkata, tidak ada kenyataan akan dikeluarkan mengenai perkara itu, termasuk daripada Putera William, Harry mahupun istana. 
Diana, Dodi dan pemandu mereka, Henri Paul mati selepas Mercedes yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di sebuah terowong di Paris pada pagi 31 Ogos 1997 selepas mereka meninggalkan Hotel Ritz. 
Siasatan mengenai kematian Diana dan Dodi mengambil masa lebih 90 hari dengan 250 saksi memberi keterangan. 
Inkues berkenaan berakhir pada 27 April 2008 dengan juri merumuskan bahawa ‘Puteri Rakyat’ dan teman lelakinya terbunuh akibat kelalaian dalam pemanduan kereta. 
Selepas perbicaraan berakhir, Polis Metropolitan berkata, mereka membelanjakan sebanyak RM40 juta untuk inkues itu dan siasatan yang dilakukan dari 2004 hingga 2006. - AFP/myMetro


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.