|
Kereta yang terbabit kemalangan hampir merempuh bangunan Dewan Orang Ramai Kampung Aji, Bota. Foto: Sinar Harian |
|
Bahagian hadapan kereta Proton Wira rosak teruk dan pemandunya cedera parah. Foto: Sinar Harian |
|
Mayat salah seorang mangsa yang terhumban ke dalam parit diangkat oleh anggota bomba. Foto: Sinar Harian |
|
Motosikal mangsa yang tercampak ke dalam pagar Dewan Orang Ramai Kampung Aji cuba diangkat keluar. Foto: Sinar Harian |
|
Keluarga mangsa ditenangkan saudara ketika menunggu bedah siasat di Hospital Changkat Melintang. Foto: Sinar Harian |
PERAK TENGAH - Dua sahabat karib maut dalam kejadian kemalangan ngeri di Kilometer 43 Jalan Ipoh-Lumut apabila motosikal jenis Kriss yang ditunggangi bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di persimpangan lampu isyarat Bota Kiri, pagi semalam.
Akibat kejadian itu penunggang dan pembonceng motosikal iaitu Muhammad Zaidi Musa, 14, dan Muhammad Shawaluddin Nasaruddin, 14, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdul Rahman Yaakob, maut di tempat kejadian.
Dalam kejadian itu, mangsa dirempuh ketika berhenti di lampu isyarat menyebabkan kedua-duanya tercampak dan melambung sehingga 75 meter dari tempat kejadian.
Ibu kepada Muhammad Shawaludin, Nur Maiza Mutalib, 39, berkata, mereka tidak menyangka dua sahabat karib itu terlibat dalam kemalangan maut.
“Mereka berdua memang sahabat karib. Ke mana-mana sahaja pergi pasti berdua dan kami tidak menyangka kedua-duanya meninggal bersama,” katanya.
Menurutnya, kedua-duanya mempunyai hubungan rapat dan baru sahaja mendapat lesen motosikal.
“Apabila cuti sekolah mereka sama-sama mengambil upah melakukan kerja katering untuk mengisi masa lapang,” katanya.
Nur Maiza berkata, Muhammad Shawaludin yang merupakan anak sulung kepada empat beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.
Sementara itu, ibu Muhammad Zaidi, Zabedah Husin, 63, ketika ditemui berkata, pada pagi kejadian, arwah anaknya keluar seperti biasa untuk ke tempat kerjanya di Titi Gantong.
“Tiada perubahan pada dirinya dan dia bersalaman seperti biasa dengan saya serta abangnya,” katanya.
Penyelia syarikat katering, Mohd Nor Usi, 42, iaitu turut merasai kehilangan dua pekerjanya itu yang dianggap pekerja rajin dan tidak mempunyai sebarang masalah.
Mohd Nor berkata, dia masih lagi terkejut apabila diberitahu mengenai kemalangan itu kerana mereka berdua tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Saya memang terasa kehilangan mereka berdua kerana bukan senang untuk mendapat pekerja yang rajin serta tidak banyak masalah,” katanya.
Seorang saksi, Marzilah Salmi Musa, 44, berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa berhenti di sebelah keretanya sebelum mendengar bunyi dentuman kuat dan kedua-dua mangsa tercampak ke hadapan.
Marzilah yang masih trauma dengan kejadian berkenaan menyifatkan kemalangan terbabit adalah yang paling ngeri pernah dilihatnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 43 jalan Ipoh-Lumut di lampu isyarat simpang empat Bota Kiri.
Katanya, kejadian berlaku pada jam 8.40 pagi itu melibatkan dua kereta dan dua motosikal.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Kriss dari arah Tanjung Blanja dilanggar dari arah belakang oleh kereta Wira ketika berhenti di lampu isyarat merah.
“Kereta berkenaan juga turut melanggar bahagian tepi kereta Kancil yang turut berhenti di lampu isyarat berkenaan,” katanya.
Kata beliau, rempuhan itu juga menyebabkan sebuah lagi motosikal dari arah Ipoh menuju ke Sitiawan turut dilanggar.
Katanya, akibat daripada kejadian itu, penunggang dan pembonceng motosikal Kriss melambung ke arah hadapan jalan dan kedua-duanya maut di tempat kejadian.
“Pemandu kereta Wira pula mengalami cedera parah manakala pemandu motosikal yang datang dari arah Ipoh cedera ringan dan pemandu kereta kancil tidak cedera,” katanya.
Mohammad Fakri, mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Aji dan Kampung Bota Kiri di bawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.