Dua Kereta Nombor Plat Sama
|
Anggota trafik membawa kenderaan curi (kiri) ke balai polis untuk siasatan lanjut. Foto: Sinar Harian |
KULIM - Tiga anggota Trafik yang sedang membuat rondaan pencegahan jenayah menemui kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di belakang bangunan di kawasan Perindustrian Taman Manggis kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya membuat semakan terhadap nombor pendaftaran kereta terlibat dan mendapati pemilik kenderaan itu tinggal di Kulim.
Menurutnya, namun dari siasatan dijalankan, pemiliknya terkejut dan menyatakan keretanya berada di rumah.
"Curiga dengan kenyataan dibuat pemilik, polis membuat pemeriksaan terhadap kereta itu semula dan mengarahkan pemilik kereta membawa kereta dimilikinya ke Balai Trafik Kulim untuk membuat laporan.
“Polis membuat pemeriksaan terhadap kereta itu dan mendapati ia tidak berkunci dan dari semakan nombor enjin dan casis mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 24 April 2013," katanya kepada Sinar Harian.
Ghuzlan berkata, kereta itu kemudiannya ditunda ke Balai Trafik Kulim sebelum memaklumkan penemuan kereta itu kepada Balai Polis Sungai Nibong serta pemilik asalnya.
"Saya meminta orang ramai membuat laporan kepada mana-mana balai polis sekiranya ada berjumpa dengan sebarang kenderaan atau kejadian jenayah kepada polis.
"Dengan cara ini, pemeriksaan dapat dijalankan dan kita boleh mengesahkan status kenderaan itu dicuri atau sebaliknya,” katanya. - Sinar Harian
Pencuri Di Surau Tertangkap
SHAH ALAM - Perbuatan sepasang suami isteri yang menjadikan surau sebagai sasaran untuk mencuri sejak setahun lalu, berakhir semalam apabila mereka diberkas polis di Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya, Kuala Selangor dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Adnan Abdullah berkata dengan penangkapan suspek berusia 28 dan 26 tahun itu, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes curi yang dilapor berlaku di surau di kawasan tumpuan awam di sekitar Selangor.
Penangkapan itu susulan laporan polis yang dibuat seorang pelajar wanitaberusia 23 tahun yang kehilangan beg tangannya ketika mahu menunaikan solat di surau sebuah pusat membeli-belah di Bandar Bukit Raja, Klang pada 11 Mei lalu.
"Hasil siasatan polis, membawa kepada penangkapan pasangan suami isteri itu di rumah sewa mereka pada pukul 2.30 petang semalam," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan polis di rumah suspek yang mempunyai seorang anak angkat perempuan berumur empat tahun menemukan 31 barangan seperti telefon bimbit, beg tangan dan kad "Touch 'n Go".
Adnan berkata pemeriksaan selanjutnya mendapati sebahagian barangan curi telah dibakar di dua kawasan berhampiran rumah mereka seperti kad kredit manakala sebahagiannya lagi telah dijual.
"Siasatan selanjutnya mendapati suspek wanita berperanan melakukan kegiatan curi di dalam surau di kawasan seperti stesen bas dan teksi serta pusat membeli - belah manakala suaminya bertindak menjual barangan curi berkenaan di kedai.
"Setiap kali ingin menjalankan kegiatan mencuri, wanita terbabit akan memaparkan dirinya seperti wanita baik dengan bertudung menyebabkan orang lain tidak mengesyaki apa-apa dan ketika melakukan kegiatan itu suaminya akan menunggu di luar surau sambil menjaga anak angkat mereka," katanya.
Adnan berkata pasangan suami isteri itu yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau direman selama empat hari sehingga 9 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa curi di surau di sekitar Selangor supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Zulkifli Mohd di talian 013-3546379.
Sementara itu, Adnan berkata pihaknya sedang mengesan seorang pemandu lori warganegara Pakistan, Waqas Ul Hussan @ Vicky, berusia 30-an yang beralamat terakhir di Desa Lembah Permai, Ampang dekat sini, bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki rakyat Amerika di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 4 Mei lepas.
"Sehingga kini pihak kami telah menahan tujuh lelaki warga Pakistan berumur antara 24 dan 58 tahun, antara 28 dan 29 Mei lepas di sekitar Dang Wangi, Kuala Lumpur, Ampang dan Seri Kembangan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai seorang lagi lelaki yang dicari ini sila hubungi ASP A. Wiswannadan di talian 012-3198918 atau 03-42897222 sambungan 7312," katanya.
Dalam kejadian itu, mayat David James Ginter, 62, ditemui di tingkat atas rumahnya oleh jiran mangsa dalam keadaan terbaring dengan tangan dan kaki diikat ke belakang serta lehernya dijerut dengan pengecas telefon bimbit. - Bernama
Pekerja Rumah Mayat Maut Ditikam
|
Penjaga rumah mayat San Fook Hing di Sandakan, Sabah ditemui mati pada 7 Mei lalu. Foto: Borneo Post |
KUANTAN - Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan 10 kesan tikaman di sebuah premis pengurusan mayat di Jalan Mat Kilau, dekat sini, hari ini.
Mayat Mg Pin Hling, 41, ditemui oleh seorang pekerja lain ketika dia tiba untuk bekerja pada pukul 7 pagi tadi, kata Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff kepada pemberita, di sini.
"Rakan setugas mangsa itu pergi ke bilik tidur mangsa dengan niat mahu mengejutkan mangsa sebelum melihat kesan darah di lantai berhampiran bilik berkenaan.
"Selepas membuka pintu bilik, rakan setugasnya itu melihat mangsa dalam keadaan mengiring dan berlumuran darah," katanya.
Mohd Jasmani berkata kejadian itu dipercayai berlaku pukul 12 tengah malam tadi ketika mangsa sedang tidur.
Menurutnya polis kini memburu tiga suspek warga Myanmar yang juga rakan sekerja mangsa berusia 19, 26 dan 28 tahun.
"Polis percayai kes itu bermotifkan dendam kerana mangsa dibunuh ketika sedang tidur, tiada berlaku sebarang kesan pergelutan," katanya.- Bernama
Mesin ATM Hilang Dilarikan Penyamun
|
Mesin ATM di Stesen Komuter Subang Jaya dilarikan penyamun pada 14 Jun 2012. Foto: Sinar Harian |
JOHOR BAHRU - Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) hilang selepas dipercayai dilarikan sekumpulan penjenayah dalam kejadian di sebuah bank di Jalan Ros Merah, Taman Johor Jaya, di sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin berkata polis dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.50 pagi menerusi satu panggilan oleh orang awam.
"Suspek telah bertindak menyembur cat hitam pada kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak identiti mereka dikesan sebelum melarikan mesin ATM itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Roslan berkata polis akan melihat rakaman CCTV terbabit secara terperinci dan setakat ini yakin jenayah itu dilakukan lebih daripada dua suspek.
"Kita akan mengambil keterangan pengawal keselamatan yang bertugas di bank berkenaan. Difahamkan, dia tidak berada di tempat kejadian ketika jenayah itu berlaku," katanya.
Beliau berkata jumlah kerugian masih belum dipastikan. - Bernama
Disamun Lelaki Bertopeng Bersenjata Parang
|
Esah menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Kuala Berang. Foto: Sinar Harian |
KUALA BERANG - “Walaupun ketika itu badan terasa sakit-sakit kerana dicekik, ditendang serta diseret ketika bergelut, namun saya gagahkan diri menyelamatkan beg silang yang digalas.
Namun, kudrat saya tidak mampu melawan lelaki bertopeng itu,” kata Esah Musa, 51.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam di rumah sewanya di Kampung Bukit Acheh malam kelmarin, pembeli dan penjual barang lusuh ini mengakui biarpun di acu parang, namun perasaannya ketika itu hanyalah untuk memastikan duitnya selamat.
Menurutnya, kejadian sekelip mata itu menyebabkan dia kerugian lebih RM3,000 termasuk wang tunai dan rakan baiknya berusia 42 tahun yang ketika itu berada dalam kereta turut tergamam tanpa sempat berbuat apa-apa.
“Sebelum kejadian, makcik sedang membuka kunci mangga pintu rumah untuk menyalakan lampu setelah pulang dari Kuala Terengganu. Namun, secara tiba-tiba datang sebuah kereta meluru laju ke arah rumah dan sepantas kilat seorang lelaki mengacu parang di leher makcik.
“Malah, lelaki itu juga turut menyuruh makcik menyerahkan duit dan barang kemas yang ada serta mengugut membunuh makcik sekiranya tidak berbuat demikian. Bagaimanapun, makcik enggan kerana duit yang ada itu ingin digunakan bagi pelbagai urusan termasuk bayar bil," katanya.
Menurut Esah, dia enggan berbuat demikian dan berlaku pergelutan sehingga dia tersembam.
“Makcik cuba bangun untuk selamatkan diri, namun dia menendang bahagian lipatan lutut sebelah kiri menyebabkan makcik sekali lagi terjatuh.
“Ketika itu berlaku aksi tarik menarik beg silang yang digalas hingga makcik terseret. Namun, kudrat makcik tidak berdaya melawan, beg tersebut terlepas ke tangan penjenayah dan dia kemudiannya terus larikan diri dengan rakannya yang telah menanti di dalam kereta,” katanya.
Tambah Esah, rumah sewa itu kebiasaannya hanya menjadi lokasi untuk dia berurusan perkara berkaitan jual beli barangan lusuh dan dia tidak menyangka episod duka berlaku pada dirinya setelah hampir lima tahun mencari rezeki dalam perniagaan itu.
“Saya tidak tinggal di rumah ini dan pulang pada malam itu kerana ada seseorang telah menghubungi saya sekitar jam 8 malam mengatakan dia ingin menghantar besi. Ketika itu saya berada di Kuala Terengganu selepas selesai menghantar besi ke kawasan perindustrian Chendering.
“Malah, dia menghubungi saya beberapa kali mengatakan ingin berurusan pada malam itu juga walaupun saya telah beritahu agar berbuat demikian pada keesokan harinya. Tidak mahu hampakan dia, saya akur dan pulang ke rumah sewa tersebut.
“Tidak sangka, saya disamun. Saya sedih dan terkilan kerana duit hasil jualan barangan lusuh yang diperoleh petang hari kejadian tidak sempat digunakan sedangkan wang itu ingin digunakan bagi pelbagai tujuan termasuk pembayaran bil,” ujarnya.
Ibu tunggal ini juga menaruh harapan agar pihak berkaitan dapat memudahkan cara baginya membuat permohonan semula kad pengenalan serta kad bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ayahnya, Musa Mamat, 74, yang turut dilarikan penjenayah bersama beg.
“Selain pelbagai dokumen peribadi milik sendiri, dalam beg galas tersebut turut mempunyai kad pengenalan milik ayah. Saya telah pun ke pejabat JKM bagi mendapatkan semula kad bantuan JKM untuk ayah tetapi perlu membuat permohonan kad pengenalan terlebih dahulu.
“Hal ini sedikit rumit kerana ayah saya kini berada di Manir dan terlantar sakit selain terpaksa menggunakan tiub untuk minum susu. Keadaan ini pastinya menyukarkan pergerakan apatah lagi tiub sentiasa berada dalam hidungnya.
“Sehubungan itu, diharapkan pihak boleh memudahkan cara kerana bulanan RM200 diterima ayah mungkin tidak dapat diambil jika tiada kad pengenalan sedangkan duit itu digunakan bagi membeli lampin pakai buang untuk kegunaan ayah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai JKM Hulu Terengganu, Mohd Fadzli Ismail ketika dihubungi memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan surat permohonan pengecualian bayaran kehilangan kad pengenalan untuk diserahkan Esah sewaktu berurusan membuat kad pengenalan baru ayahnya.
“Anaknya (Esah) telah hadir ke JKM bagi mendapatkan semula kad bantuan bulanan ayahnya tetapi berdasarkan prosedur dia perlu membuat permohonan kad pengenalan baru terlebih dahulu.
“Permohonan semula kad bantuan JKM masih boleh dilakukan walaupun menggunakan kad pengenalan sementara,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata. - Sinar Harian
Kabel Elektrik Kena Curi
|
Chong Siang (kiri) dan Chiak Fong menunjukkan kabel elektirik yang dipasang TNB telah dicuri segelintir remaja. Foto: Sinar Harian |
KUANTAN - Kontraktor perumahan Taman Tas Ria, dekat sini, bimbang kegiatan kecurian kabel akan terus berleluasa di kawasan tersebut jika tidak dibendung sekali gus melewatkan proses penyerahan kunci kepada pembeli menjelang akhir Jun ini.
Kontraktor, Kong Chiak Fong, 37, berkata, kebimbangan semakin ketara memandangkan akibat perbuatan curi kabel dan khianat, syarikatnya menanggung kerugian berlipat kali ganda.
Menurutnya, walaupun sebelum ini Tenaga Nasional Berhad Kuantan (TNB) tidak mengenakan bayaran namun jika pemasangan semula dilakukan bayaran tambahan akan ditanggung sendiri kontraktor.
“Sebelum ini sekumpulan remaja yang tidak bertanggungjawab ini hanya giat mencuri besi-besi, mesin dan kelengkapan binaan sahaja di kawasan ini.
“Namun apabila perumahan ini sudah hampir siap, mereka mula beralih kepada mencuri kabel elektrik yang boleh dijual untuk mendapat keuntungan dengan cara mudah.
“Kami mula sedar kehilangan kabel ini berlaku pada pagi ini (semalam) ketika kerja-kerja pembinaan di sambung semula dan setelah dikenal pasti kira-kira tujuh buah rumah sudah direntap wayar kabel daripada baki 23 buah lagi,” katanya ketika lawatan Adun Teruntum, Sim Chong Siang, dekat sini, semalam.
Dalam pada itu, katanya, sehingga tempoh enam bulan pembinaannya laporan polis telah dilakukan sebanyak enam kali namun tiada perkembangan positif.
“Namun sehingga kini, tidak nampak sebarang perubahan dan tangkapan yang dibuat terhadap remaja-remaja tersebut.
“Sekiranya perkara ini masih berlaku dalam tempoh terdekat ini, pembinaan akan tertangguh lagi dan tempoh untuk menyiapkannya perlu ditambah lagi.
“Dengan itu, saya mohon agar pihak polis sentiasa membuat rondaan di kawasan ini dan saya cuba juga untuk mendapatkan khidmat SRS dalam usaha membantu pihak polis memantau keadaan di sini,” katanya.
Sementara itu, Chong Siang berkata, pihaknya akan membantu kontraktor terbabit menemui polis yang menjaga kawasan ini agar disegerakan rondaan dan tindakan terhadap laporan polis yang telah dilakukan sebelum ini.
“Bagi saya kejadian seperti ini tidak boleh diabaikan dan sebagai Adun seharusnya ada masa untuk menyelesaikan masalah seumpama ini,” katanya.
Chong Siang (kiri) dan Chiak Fong menunjukkan kabel elektirik yang dipasang TNB telah dicuri segelintir remaja yang tidak bertanggungjawab, di Perumahan Taman Tas Ria, dekat sini, semalam. - Sinar Harian
Ditipu Rakan Niaga
|
Hayati menunjukkan laporan polis yang dibuat dan dokumen palsu yang ditandatanganinya sebagai pemegang syer. Foto: Sinar Harian |
BATU PAHAT - Akibat terlalu mempercayai rakan niaga, seorang usahawan kerugian hampir RM150,000 dan terpaksa bermula semula dari bawah sedangkan rakan niaganya itu kini boleh dianggap peniaga berjaya di Bandar Baru Ayer Hitam, di sini.
Amal Hayati Majid (bukan nama sebenar), 30, berkata, dalam masa dua tahun menjalankan perniagaan bersama rakan niaganya itu, satu sen keuntungan syarikat tidak pernah dijamahnya dengan alasan belum ada untung dan perlu mengutamakan gaji pekerja.
Menurutnya, seperti dipukau, dia menurut kehendak rakan niaga itu dengan mengeluarkan modal untuk produk yang mereka hasilkan iaitu makanan sejuk beku selain memberikan ilmu dan peralatan dimilikinya.
Jelasnya, dia mengusahakan makanan sejuk beku sendirian sejak 2005 dan rakan niaga itu mempelawanya menjadi rakan kongsi atas dasar untuk membesarkan lagi perniagaan pada 2011.
“Saya tidak sangka perkenalan dengannya adalah detik hitam kerana ditipu secara halus tanpa disedari. Namun, setelah setahun setengah menjadi rakan niaganya, saya mula mengesyaki sesuatu.
“Sebagai pemegang syer ketiga syarikat berkenaan, saya berhak mengetahui perkembangan syarikat, tetapi setiap kali saya bertanya perkara berkenaan syarikat, dia seolah-olah mengelak kecuali menjelaskan berkaitan bahagian pemasaran,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Amal Hayati berkata, rakan niaga itu juga berjaya memperdayakannya menandatangani beberapa dokumen palsu tanpa diketahui, sebagai perjanjian.
Menurutnya, sebagai persetujuan menjadi pemegang syer, dia telah menandatangani perjanjian tersebut yang disediakan sebuah syarikat konsultan berdaftar.
Tambahnya, bagaimanapun, sejak 2011 hingga sekarang, dia tidak menerima sebarang bayaran, gaji atau pulangan modal.
“Curiga dengan situasi yang berlaku, saya membuat pemeriksaan semula terhadap dokumen perjanjian dan status syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapati syarikat berkenaan didaftar atas nama individu sekaligus bukan berstatus Sdn. Bhd. seperti yang tertera dalam perjanjian,” katanya.
Amal Hayati berkata, pemeriksaan lanjut yang dibuat juga mendapati semua dokumen perjanjian yang ditandatangani adalah palsu dan hanya berperanan untuk mengaburi matanya sebagai pemegang syer.
Dakwanya, selain tidak mendapat bayaran daripada syarikat itu, dia juga terpaksa membayar hutang syarikat dengan sebuah bank kerana ditipu sebagai pemegang syer.
Susulan kejadian itu, Amal Hayati membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi tindakan selanjutnya. - Sinar Harian
Dayang Hitam Kena Tangkap Seludup Dadah
|
Chik Omar (kiri) menunjukkan ruang khas beg yang digunakan dua wanita Nigeria terbabit menyeludup syabu. Foto: Sinar Harian |
SEPANG - Dua wanita Nigeria ditahan kerana disyaki menjadi keldai dadah apabila menyeludup 7.8 kilogram syabu bernilai RM1.48 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu.
Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, dua wanita itu ditahan kira-kira 6.30 pagi sebaik alat pengimbas mengesan serbuk dadah mampat disorok dalam ruang khas beg mereka.
"Beg milik wanita 36 tahun itu mengandungi 4.65kg dadah bernilai RM RM883,500 manakala rakannya, 37 tahun membawa beg berisi 3.15kg (RM598,500).
"Dua suspek terbabit didapati menaiki penerbangan sama dari Nigeria dan tiba buat pertama kalinya di negara ini. Mereka disyaki menjadi keldai dadah pihak tertentu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.
Dalam pada itu, menurutnya, sepanjang bulan lalu, Kastam mematahkan lima cubaan menyeludup dadah di KLIA dengan merampas 25.79kg dadah pelbagai jenis bernilai RM2.12 juta.
Katanya, dua lelaki (warga India, 62, dan warga Pakistan, 48) serta seorang wanita Kemboja, 25, ditahan apabila alat pengimbas menunjukkan mereka menyorokkan syabu dan ketamin dalam bagasi dibawa.
“Tiga suspek terbabit masih ditahan untuk tindakan selanjutnya, manakala dua lagi kes masih disiasat secara terperinci kerana menggunakan servis penghantaran cepat untuk menyeludup dadah.
“Bagi dadah yang dikesan dalam bungkusan penghantaran cepat itu, Kastam sedang menyiasat dan mengenal pasti pemilik dan penerima sebenar syabu seberat 1.97kg yang disorok dalam buntil serta syabu yang dibungkus dan disorok dalam tin minuman Horlicks serta makanan emping jagung,” katanya.
Difahamkan, taktik menggunakan servis penghantaran cepat bagi menyeludup dadah adalah antara cara terbaru yang dikesan. - Bernama
Rumah Dibakar Kerana Khianat
|
Mortopo menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam. Foto: Sinar Harian |
SABAK BERNAM - “Dia ingat saya ada di dalam (rumah), kalau tak, sudah tentu saya mati rentung,” kata mangsa kebakaran yang hanya mahu dikenali sebagai Mortopo (bukan nama sebenar), 38, apabila mendakwa menjadi sasaran bunuh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Mortopo berkata, kebakaran yang berlaku di rumah pusaka peninggalan arwah ibunya di Batu 23, Sungai Nibong Sekinchan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat oleh pihak tidak dikenali yang ingin menuntut rumah dan tanah di kawasan itu.
Menurutnya, rumah itu sebelum ini pernah ditampal salinan laporan polis dan notis peguam yang mengarahkan kediaman dan hartanah itu dikosongkan dalam tempoh tujuh hari kerana pihak terbabit mendakwa telah menandatangani perjanjian jual beli dengan pihak ketiga.
“Rumah ini dibina arwah datuk saya pada 1920-an dan telah diwarisi arwah ibu sebelum diwasiatkan kepada saya supaya menjaga rumah pusaka ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Mortopo yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Sungai Besar berkata, rumah itu menjadi tempat persinggahannya untuk berehat, selain menjadi tempat keluarganya bercuti pada hujung minggu.
Katanya, dia terkejut apabila mendapati rumah dan tanahnya itu pernah diiklankan di sebuah laman web bagi tujuan sewa beli rumah dan jual tanah pada harga RM600,000.
“Bagaimanapun, iklan yang disiarkan di laman itu sudah tiada, sekarang yang menjadi persoalannya atas sebab apa pihak terbabit cuba menjualnya, sedangkan rumah dan tanah ini kepunyaan saya,” katanya.
Mortopo berkata, dia pernah menuntut supaya pihak terbabit membayar pampasan sebanyak RM100,000 sekiranya masih mahukan hartanah terbabit bagi membolehkan dia membina rumah sendiri.
“Dia kata tak boleh beri RM100,000, tetapi hanya mahu bayar RM3,000 kepada saya. Dalam keadaan sekarang ini, mana ada rumah dan tanah berharga begitu rendah, sedangkan rumah dan tanah ini adalah hasil keringat arwah datuk saya yang mengusahakannya,” katanya.
Menurutnya, dia merancang untuk terus menetap di rumah itu dalam tahun ini selepas isterinya yang kini hamil tiga bulan melahirkan anak.
Bagaimanapun hasratnya tidak kesampaian apabila rumah berkenaan musnah dalam kebakaran kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin.
Mortopo berkata, sebelum kebakaran berlaku, seorang jiran ternampak kelibat dua lelaki pada malam kejadian yang lalu di jalan masuk ke rumahnya.
“Saya telah membuat laporan polis berhubung perkara ini, minta pihak berkuasa menyiasatnya jika terdapat unsur jenayah dan perbuatan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, dia hanya mengetahui rumahnya terbakar pada awal pagi selepas seorang kakaknya dari Perlis menghubungi isterinya.
Akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian kira-kira RM180, 000 selepas beberapa barangan berharga hangus dijilat api.
Antara yang musnah, sebuah motosikal jenis Yamaha NSX, komputer, barangan perabot dan elektrik, peralatan perkahwinan serta pinggan mangkuk katering.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Zulkifli Abd Mayas berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 2.45 pagi.
Katanya, operasi memadam kebakaran itu melibatkan dua jentera bomba dari Sekinchan dan Sungai Besar, namun operasi berdepan kesukaran apabila tiada punca air di kawasan terbabit.
“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira 30 minit dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya. - Sinar Harian
Trauma Dilarikan Penjahat
|
Abdul Rasol cemas apabila isterinya yang lumpuh dan anak perempuannya dilarikan penjenayah. Foto: Sinar Harian |
KUANTAN – Lelaki mana yang trauma berhadapan dengan situasi cemas apabila isteri lumpuh dan anak perempuannya dilarikan penjenayah ketika berada di dalam keretanya yang di parkir di hadapan sebuah pusat membeli-belah, dekat sini, kelmarin, mengakui mereka sekeluarga masih berada dalam keadaan trauma.
Abdul Rasol Mohd Tahir, 50, berkata, perasaan trauma tersebut lebih ketara dihadapi anaknya, Norafidah, 15 yang berhadapan dengan detik cemas itu bersama ibunya.
Menurutnya, namun begitu walaupun anaknya berasa bimbang untuk keluar rumah buat sementara waktu ini namun dia masih lagi bersemangat dan kecekalan hati yang tinggi untuk bercakap dan menemani ibunya ke hospital sekali lagi untuk mendapatkan bekalan ubat.
“Siapa yang tidak berasa takut dan trauma memandangkan kejadian tersebut sememangnya tidak pernah disangka akan berlaku kepada diri sendiri lebih-lebih lagi di kawasan yang ramai pengunjung.
“Namun saya bersyukur kerana bernasib baik penjenayah hanya melarikan kereta dan meninggalkan isteri dan anak di tepi jalan Bukit Sekilau 20 minit selepas kejadian,” katanya dekat sini, semalam.
Dalam pada itu katanya, sehingga kini kenderaannya masih lagi belum ditemui pihak dan dia tidak memikirkan perkara itu.
“Saya tidak kisah kereta saya hilang dan tidak fikir untuk mendapatkan kereta semula memandangkan saya sudah dapat kembali isteri dan anak saya dalam keadaan selamat.
“Ketika kehilangan mereka, saya sangat bimbang sesuatu tidak diingini berlaku kepada mereka dan begitu bersyukur memandangkan penjenayah hanya melarikan kereta serta meletakkan ahli keluarga di tepi jalan bersama wang bernilai RM50.
“Apa pun semuanya bergantung kepada keadaan, sekiranya kereta Honda Civic yang dibeli bulan November tahun lepas masih rezeki kami, mungkin akan ditemui dan sekiranya tidak, saya reda,” katanya. - Sinar Harian
Warga Emas Berkerusi Roda Kena Samun
SEREMBAN – Tiga penjenayah sanggup menyamun seorang wanita warga emas berkerusi roda di Taman Rasah Jaya, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang Isnin lalu, warga emas berusia 81 tahun itu bersama cucu berusia 20-an serta pembantu rumahnya mengalami detik mencemaskan apabila bukan saja rumah mereka dipecah masuk tiga penjenayah, malah turut melepaskan tembakan.
Sumber berkata, ketika kejadian, warga emas dan pembantu rumah berkenaan sedang bersiap menyediakan makanan di dapur sebelum dikejutkan dua lelaki yang menyerbu rumah mereka.
“Manakala, seorang lagi penjenayah berada di luar rumah. Penjenayah kemudian bertindak mengikat tangan pembantu rumah menggunakan tali dan bertindak mengacu pistol ke kepala mangsa,” katanya.
Menurutnya, cucu lelaki mangsa kebetulan berada di tingkat atas rumah mendengar perbualan suspek sebelum bertindak menjenguknya.
"Suspek cuba mengambil kunci kereta jenis Toyota Altis yang diparkir di laman rumah. Cucu mangsa kemudian bertindak mahu merampas kunci itu sebelum berlaku pergelutan,” katanya di sini, semalam. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.