Rugi RM20,000 Rumah Dipecah Masuk
|
Keadaan rumah mangsa yang berselerak selepas dipecah masuk. Foto: Sinar Harian |
|
Kon Thai menunjukkan keadaan pintu rumah yang dipecahkan perompak. Foto: Sinar Harian |
|
Gim Gee, isteri Kon Thai berharap agar polis dapat menjalankan siasatan. Foto: Sinar Harian |
KEPONG - Sepasang suami isteri terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM20,000 selepas rumah mereka di Jalan Api, Api Kiri 1 dipecah masuk, Khamis lalu.
Mangsa, Lee Kon Thai, 50, berkata, dia menyedari kejadian itu sebaik pulang dari tempat kerjanya kira-kira jam 5 petang pada hari berkenaan.
“Setibanya di rumah saya dan isteri terkejut mendapati pintu serta pagar rumah terbuka," katanya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, dia kemudiannya memaklumkan kepada jirannya bagi bertanyakan tentang kejadian yang berlaku di rumahnya.
“Saya diberitahu oleh jiran terdapat sebuah van didapati masuk sehingga ke tempat letak kereta dan mereka terdiri daripada tiga individu.
"Jiran beranggapan bahawa individu berkenaan adalah pekerja penyelenggaraan dan tidak menyangka bahawa mereka adalah suspek bagi kejadian tersebut," katanya yang kemudian membuat laopran di Balai Polis Kepong.
Berikutan kejadian itu, Kon Thai mengalami kerugian sebanyak kira-kira RM20,000 selepas beberapa barangan berharga seperti wang tunai, televesyen, telefon bimbit, jam tangan serta komputer dikebas perompak berkenaan.
Sementara itu, isteri mangsa Lue Gim Gee, 43, berharap agar polis dapat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek berkenaan yang dipercayai melakukan kegiatan itu.
"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat diharap dapat membantu dengan menyalurkan informasi kepada balai polis berhampiran.
“Saya berharap agar penjenayah ini dapat dikesan memandangkan banyak barangan berharga yang dicuri oleh pihak terbabit,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini terdapat beberapa kes pecah rumah pernah berlaku di kawasan tersebut malah kadar jenayah berkenaan juga dilihat menunjukkan peningkatan.
"Langkah pencegahan perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi memastikan tahap keselamatan penduduk terjamin.
“Penduduk telah memastikan tahap keselamatan kediaman mereka dan pihak berkuasa perlu menjalankan pemantauan dengan lebih kerap di sini,” katanya. - Sinar Harian
Rompak Guna Parang
SABAK BERNAM - Niat dua beradik memberhentikan motosikal untuk menegur rakan mereka yang berselisih di jalan menjadi igauan ngeri, apabila mereka diacu parang oleh seorang lelaki di Jalan Sungai Lias, Sungai Besar, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, kedua-dua beradik masing-masing berusia 17 dan 16 tahun itu disamun suspek yang mengekorinya dari belakang.
Menurutnya, suspek yang berusia 27 tahun itu sempat mengacu parang ke arah mangsa sebelum bertindak merampas telefon bimbit Sony Ericsson bernilai RM300 milik seorang daripada mangsa.
“Suspek yang menaiki motosikal skuter berhenti di sebelah mangsa sebelum menghulurkan parang sambil merampas telefon bimbit tersebut dan bertindak melarikan diri ke kawasan kampung berhampiran,” katanya.
Bagaimanapun Noor Mushar berkata, suspek diekori rakan mangsa yang membuat pusingan U untuk bertemu mangsa yang berhenti di tepi bahu jalan.
“Dua rakan mangsa yang sempat membuat pusingan U mengekori suspek sejauh 500 meter dan mengecam nombor pendaftaran motosikal suspek,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dan rakannya itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam kira-kira 30 minit selepas kejadian itu.
Menurutnya, polis yang diketuai Inspektor Siti Sarah Johari bersama seorang anggotanya terus bergegas ke lokasi terbabit dan berjaya menahan suspek bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
“Hasil siasatan, polis turut menjumpai telefon bimbit dan parang yang digunakan suspek dan menahan reman suspek untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian
Lelaki Myanmar Maut Ditetak 10 Lelaki
|
Gambar hiasan. Foto: Sinar Harian |
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Myanmar maut akibat ditetak dalam kejadian di Jalan Merdeka Ria 3, Kampung Baru Ampang, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Md Nazri Zawawi berkata kejadian berlaku pukul 7.30 pagi ketika mangsa yang bekerja di sebuah premis mencuci kereta, sedang tidur di premis tempat kerjanya.
Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lewat 20-an itu diserang sekumpulan lebih 10 lelaki bersenjatakan parang, katanya pada sidang media, di sini.
Menurutnya, polis menerima panggilan menyatakan ada pergaduhan, dan apabila tiba di lokasi kejadian polis menemui mayat mangsa dalam keadaan meniarap kira-kira 100 meter daripada tempat dia diserang.
"Polis percaya mangsa mati akibat terkena satu tetakan masing-masing di bahagian leher, rusuk dan bahagian belakang badan," katanya.
Katanya siasatan awal polis juga mendapati semasa kejadian ada lapan rakan senegara mangsa di situ, dan dua daripada mereka iaitu masing-masing lelaki dan wanita, turut diserang.
Kedua-duanya mengalami kecederaan di bahagian lengan dan jari, katanya sambil menambah semua mangsa memasuki negara ini secara sah. - Bernama
Peragut Mabuk Kena Belasah
|
Peragut mabuk yang meragut ipad milik seorang wanita ditahan orang ramai di Jalan Dr Krishnan, semalam. Foto: Sinar Harian |
SEREMBAN – Seorang peragut dikejar orang ramai sejauh kira-kira 50 meter selepas meragut gajet milik seorang wanita di Jalan Pasar, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1.45 petang itu, peragut berusia lingkungan 30-an itu dikatakan mabuk dan bertindak meragut ipad milik seorang wanita yang ketika itu sedang mengisi minyak petrol ke keretanya di sebuah kawasan tempat letak kereta, selepas keretanya kehabisan minyak.
Wanita terbabit yang dikenali sebagai Lei Teng, 23, berkata, dia terkejut apabila lelaki berkenaan tiba-tiba merampas ipad yang dipegangnya ketika mengisi minyak.
“Saya terus mengejar lelaki itu sambil menjerit menyebabkan orang awam yang berada di situ turut sama membantu mengejar lelaki berkenaan.
"Bagaimanapun, lelaki itu tidak bertahan lama apabila dapat ditangkap dan dipukul orang ramai yang mengejarnya. Lelaki itu kemudian menyerahkan semula ipad saya kepada seorang orang awam sebelum menyerahkannya kepada saya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Lei Teng berkata, orang ramai berjaya menahan peragut berkenaan di kawasan letak kereta di sebuah bank berhampiran Jalan Dr Krishnan, di sini.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana orang ramai turut prihatin ketika kejadian dan berterima kasih atas usaha dilakukan mereka, sekaligus mendapatkan semula ipad miliknya.
“Mujur saya dibantu orang ramai jika tidak pasti saya sudah kerugian RM2,000,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, peragut berkenaan dilepaskan orang ramai tanpa dibawa ke balai polis. - Sinar Harian
Dua Penyamun Menyamar Polis
|
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata dua penyamun menyamar sebagai polis |
|
Suspek dicekup selepas bergelut dengan mangsa. |
KUALA LUMPUR - Dua lelaki yang menyamar polis dan menyamun dua pekerja pengurup wang di Jalan Beringin, Bukit Damansara, di sini, tidak sempat membelanjakan wang tunai yang disamun apabila mereka ditahan beberapa jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang Khamis lalu itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan menghantar wang tunai RM131,000 kepada pelanggannya sebelum motosikal ditunggangi mereka dihimpit motosikal suspek yang turut mengacukan pistol.
Menurutnya, mangsa yang ketakutan memberhentikan motosikalnya sebelum suspek memperkenalkan diri sebagai polis.
“Malah, mereka juga meminta mangsa menyerahkan wang terbabit namun ketika mangsa ingin memberikan wang itu, dia yang menyedari pistol terbabit palsu bertindak melawan menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.
“Bagaimanapun suspek berjaya merampas beg berisi wang itu dan cuba melarikan diri, namun seorang daripada mereka berjaya ditangkap mangsa yang kemudian bertindak menghubungi polis,” katanya.
Azlee berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan membawa suspek ke balai polis sebelum usaha mengesan rakannya giat dijalankan.
“Usaha mengesan suspek berjaya dan dia ditahan tidak lama selepas itu dan wang hasil samun turut berjaya ditemui semula.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan hasil pemeriksaan pistol yang digunakan juga adalah tiruan,” katanya. - myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.