|
Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kaki dan kepala, maut serta merta di tempat kejadian. Foto: Sinar Harian |
|
Mangsa membuka pintu kenderaan ini ketika dirempuh kereta dari arah belakang. Foto: Sinar Harian |
GEORGETOWN - Gara-gara memberhentikan kenderaan di tengah jambatan Pulau Pinang, seorang lelaki menerima padah apabila dirempuh sebuah kereta dari arah belakang sehingga menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.
Nahas yang berlaku kira-kira jam 12.30 malam semalam itu dipercayai berpunca rasa tidak puas hati mangsa, Phung Soon Lye, 39, terhadap pemandu sebuah kereta lain sebelum bertindak memberhentikan kenderaannya di tengah jambatan di Kilometer 7.7 dari Butterworth menghala ke kawasan pulau.
Sun Lye kemudian dikatakan keluar dari kenderaannya, terus meluru ke arah kereta berkenan dan cuba membuka pintunya untuk menyerang pemandunya.
Bagaimanapun, belum sempat berjaya membuka pintu kereta berkenaan, sebuah kenderaan lain dari arah belakang merempuhnya.
Akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting kira-kira 50 meter malah pintu kereta yang cuba dibukanya juga tercabut.
Menurut sumber, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian badan dan kepala.
“Akibat rempuhan kuat itu, tubuh mangsa terseret dan pintu kereta terbabit turut tercabut.
Difahamkan, pemandu kereta berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum dibawa menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.
Menurutnya, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Prai menuju ke pulau dan setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan sudah mengambil keterangan daripada pemandu dan juga beberapa saksi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.
Mayat mangsa dihantar ke HPP untuk bedah siasat. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.