Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 17 Jun 2013

Tapak Kaki Misteri Ditemui Penduduk Kampung

Adnan (dua, kiri) dan penduduk kampung di lokasi penemuan tapak kaki misteri. Foto: Sinar Harian

Foto
Tapak kaki ini dianggap pelik oleh penduduk setempat. Foto: myMetro

Kesan tapak kaki 20 sentimeter panjang dengan lima jari sebesar lima sentimeter setiap satu. Foto: Sinar Harian

KUALA PILAH – Penduduk Kampung Kepis Baru, di sini, gempar apabila menemui ratusan kesan tapak kaki luar biasa dan bersaiz besar di atas tanah, semalam. 
Berdasarkan kedalaman tapak berkenaan, kesannya dilihat teratur serta dipercayai melibatkan makhluk hidup berkaki dua, serta berat melebihi 100 kilogram. 
Tinjauan Sinar Harian selepas menerima aduan penduduk semalam, turut mendapati lebih 200 kesan tapak kaki berukuran kira-kira 20 sentimeter panjang, manakala terdapat lima jari sebesar kira-kira lima sentimeter setiap satu di kawasan lapang berdekatan sebuah hutan di situ. 
Penduduk kampung, Adnan Pungut, 48, yang dipercayai orang pertama menemui kesan tapak kaki itu berkata, dia menyedari sesuatu luar biasa pada tanah di situ ketika datang ke kebunnya untuk membakar longgokan kayu yang sudah ditebang, kira-kira 3 petang kelmarin. 
“Apabila sampai di sini, saya terkejut melihat banyak kesan tapak kaki luar biasa dan saiznya besar. Dengan rasa takut, saya balik ke rumah dan memberitahu kepada penduduk kampung. 
“Saya bersama beberapa penduduk kampung kemudian cuba menjejaki tapak kaki tersebut sehingga ke hujung. Di pertengahan, kami dapati ada kesan bulu ayam berselerakan, dipercayai telah dimakan makhluk misteri berkenaan," katanya. 
Menurutnya, kesan tapak kaki yang jelas kelihatan adalah kira-kira sepanjang 200 meter, selain terdapat juga beberapa tapak yang dikesan di dalam hutan berdekatan. 
“Kami tidak berani meredah dan menyiasat sehingga ke dalam hutan. Biarlah pihak yang berkenaan menyiasat perkara ini kerana dikhuatiri ia mungkin dari spesis binatang buas," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. 
Adnan juga berharap pihak berkaitan dapat menyiasat perkara itu bagi mengelakkan penduduk kampung bimbang, lebih-lebih lagi sebahagian besar merupakan penoreh getah dan perlu masuk ke dalam hutan berkenaan setiap hari. 
"Hanya ini sumber rezeki kami. Bila sudah jumpa tapak peli ini, sedikit sebanyak menggusarkan kami. Kami amat berharap pihak berkenaan bantu mengesan sebelum kejadian buruk berlaku," katanya. - Sinar Harian


Kemaskini 19.6.2013

Keratan akhbar berkaitan. Sumber: Sinar Harian

Tapak kaki misteri disahkan sebagai tapak kaki tapir. Foto: Sinar Harian

KUALA PILAH – Misteri tapak kaki luar biasa yang ditemui di Kampung Kepis Baru, dekat sini terungkai apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Jempol mengesahkan ia kesan tapak kaki seekor tapir. 
Tapir atau nama saintifiknya Tapirus Indicus yang muncul di situ dianggarkan berusia lima ke enam tahun dengan berat antara 100 dan 120 kilogram. 
Pegawai Perhilitan Jempol, Jamlus Mohd Nor berkata, selepas tersiar di akhbar, pihaknya mengandaikan ia mungkin binatang buas termasuk harimau sebelum melakukan siasatan. 
“Namun, apabila pemeriksaan secara lebih dekat, kita perhatikan ia hanya tapak kaki seekor tapir dianggarkan besarnya seperti seekor lembu. 
“Tapak kaki haiwan ini menjadi lebar kerana struktur tanah yang masih lembut dan ia tenggelam apabila dipijak. Mungkin tapir ini datang untuk mencari makan pada waktu malam," katanya. 
Menurutnya, secara azalinya, bahagian depan kaki tapir memiliki empat jari, manakala di belakangnya sebanyak tiga jari. 
“Sebab itu, kita nampak tapak kaki itu seolah-olah besar dan gemuk. Tambahan pula, tanah di sini lembut menyebabkan tapak kaki mengembang lebar," katanya ketika membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan, semalam. 
Jamlus bagaimanapun berkata, tapir bukanlah spesis yang mengancam nyawa manusia dan penduduk tidak perlu memberi ancaman terhadap binatang itu hanya disebabkan bimbang digigit. 
Selain itu, katanya, sekiranya tanaman penduduk kampung seperti kulit getah telah dimakan haiwan berkenaan, ia dianggap gangguan dan penduduk boleh menghubungi Jabatan Perhilitan untuk menangkapnya. 
“Tapir ialah spesis haiwan terancam. Kita tidak boleh menembak sesuka hati apabila terserempak dengan Tapir. Maklumkan kepada kita untuk menangkap binatang tersebut. 
“Tetapi, selagi Tapir ini tidak rosakkan tanaman, biar ia hidup seperti biasa dalam hutan ini," katanya sambil menjelaskan haiwan berkenaan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 Akta (716). 
Berikutan itu, Jamlus menasihatkan penduduk kampung berdekatan supaya tidak perlu bimbang dengan penemuan itu. - Sinar Harian


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.