|
Kereta Proton Wira yang dipandu mangsa terhumban ke parit di selekoh Jalan Parit 5, Sungai Panjang. Foto: Sinar Harian |
|
Orang ramai mengusung mayat Asiah yang dipercayai lemas akibat keretanya terbabas ke dalam parit. Foto: Sinar Harian |
SABAK BERNAM - Seorang peniaga roti canai terbunuh manakala seorang adik lelaki bersama isterinya cedera ringan selepas kereta Proton Wira yang dipandu mangsa masuk ke dalam parit di selekoh Jalan Parit 5, Sungai Panjang di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Asiah Mohd Rasyidi, 54, meninggal dunia dipercayai lemas apabila menghadapi kesukaran untuk keluar selepas kenderaan yang dipandunya terhumban ke dalam parit.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa tidak dapat keluar menyelamatkan diri ekoran kenderaan yang dipandunya terpelosok jatuh mengereng di sebelah tempat duduk pemandu.
“Bomba dan Penyelamat Sungai Besar yang tiba di lokasi kejadian berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit kira-kira 15 minit selepas itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Noor Mushar berkata, adik lelaki mangsa, Nazaruddin Mohd Rashidi, 34 dan isteri, yang hanya dikenali sebagai Iza, 24 terselamat apabila berjaya keluar daripada kenderaan itu dengan memecahkan tingkap di sebelah tempat duduk penumpang.
Beliau berkata, kedua-dua mereka terselamat menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, sementara mangsa yang meninggal dunia pula dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.
Jenazah Asiah akan dikebumikan di tanah perkuburan Parit 16 Sungai Panjang, dan Allahyarham meninggalkan suami, Mohd Zaini Yusof Shabuddin, 54 dan 10 anak.
Sementara itu, Anak Allahyarham, Mohd Sani Mohd Zaini, 23 berkata, ibunya tidak menunjukkan sebarang tanda melainkan melihat sikap pelik ibunya yang sering tergesa-gesa sejak beberapa hari lalu.
Mohd Sani anak ketujuh 10 beradik berkata, dia merasai kehilangan ibunya itu, apatah lagi sering membantu Asiah berniaga roti canai di gerai mereka di Parit 16 Sungai Panjang.
“Sebelum kemalangan itu, ibu dan kedua adiknya menyelesaikan urusan sewaan bendang di rumah keluarga mereka dan selepas itu bergegas ke Sungai Besar untuk membeli barangan keperluan berniaga roti canai keesokan hari,” katanya. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.