|
Kerja menggali kubur dilakukan secara berhati-hati. Foto: Sinar Harian |
|
Kesemua batu nisan tidak ditinggalkan tetapi dibawa bersama untuk diletakkan di atas kubur baru. Foto: Sinar Harian |
|
Petugas membawa tanah yang dikafankan sebelum dibawa tapak perkuburan baru. Foto: Sinar Harian |
|
Tanah diikat dengan kain kafan. Foto: Sinar Harian |
MELAKA - Bagi memberi laluan terhadap projek perumahan dan rumah kedai, sebanyak 50 kubur lama berusia lebih 100 tahun di Bukit Kecil, Kampung Bertam, Pulau Gadong, di sini terpaksa dipindahkan sejak kelmarin dan berterusan sehingga semalam.
Kesemua kubur Islam yang dikelilingi belukar itu dipindahkan kakitangan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dengan bantuan penggali-penggali kubur dari Limbongan, Tengkera, Kandang, Durian Tunggal dan Pulau Gadong dengan pengawasan tujuh pegawai dan anggota polis.
Setiausaha Maim, Mohd Yusof Abu Bakar berkata, kesemua kubur dengan keluasan kira-kira 111 meter persegi itu dipindahkan di Tanah Perkuburan Qaryah Masjid Bertam Malim, tidak jauh dari kawasan tersebut.
“Kerja pemindahan kubur berdasarkan penggunaan batu nisan tersebut membabitkan dua hari sejak semalam (kelmarin) dan ia dilakukan atas permintaan tuan tanah yang ingin membangunkan kawasan ini.
“Semalam (kelmarin), kita menggali satu kubur besar di Qaryah Masjid Bertam Malim terlebih dahulu dan hari ini bermula 8.30 pagi, penggalian kubur lama pula dilakukan, sebelum tanah yang mempunyai serpihan tulang dikafankan sebelum dipindahkan ke tapak baru,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum dikuburkan semula, kain kafan yang mengandungi tanah dan sepihan tulang itu ditanda nombor yang sama dengan batu nisan bagi mengelakkan kekeliruan.
“Semua batu nisan di atas kubur lama juga akan dibawa dan diletakkan semula di atas kubur baru yang digali luas dan mempunyai banyak liang selepas disusun mengikut nombor yang telah ditandakan,” katanya.
Menurutnya, segala kerja dua hari itu berjalan lancar dan tiada sebarang masalah timbul.
“Tiada masalah timbul ketika kerja-kerja permindahan dilakukan dan setakat ini tiada waris yang datang membantah kerja-kerja ini atau menuntut untuk ditanam di tempat mereka,” katanya. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.