Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 30 November 2013

Lima Tersepit Dalam Kereta Seorang Terlentang

Lima orang tersepit dalam kereta manakala seorang lagi telentang di bahu jalan. Foto: myMetro

Mayat mangsa tersepit mengambil masa sejam untuk dikeluarkan. Foto: myMetro


MUKAH - “Sebaik tiba di tempat kejadian, kami melihat mayat seorang kanak-kanak masih dalam pangkuan ibunya,” kata pekerja ladang, Sallim Mukrime, 43, ketika menceritakan kemalangan ngeri yang mengorbankan enam orang termasuk lima beranak di Kilometer 14, Jalan Mukah-Selangau, berhampiran Ladang Mukah 1 di sini, semalam. 
Kemalangan dipercayai berlaku pada jam 3 petang itu menyebabkan Perodua Kancil dinaiki enam sekeluarga bertembung Toyota Hilux mengakibatkan lima daripadanya maut di tempat kejadian manakala seorang lagi kritikal. 
Kejadian itu juga menyaksikan seorang penumpang kenderaan pacuan empat roda yang dikenali Wong Tai Yen, 27, maut dan tercampak keluar ke bahu jalan. 
Menurut Sallim, sebelum kejadian dia bersama rakan berada di ladang terbabit sebelum dikejutkan bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya dan bergegas keluar menyiasat apa yang sebenarnya berlaku. 
“Apabila tiba ke tempat kejadian, saya terkejut melihat lima orang tersepit dalam kereta manakala seorang lagi telentang di bahu jalan dipercayai tercampak akibat kemalangan itu. 
“Kami panik dan tidak tahu apa perlu dilakukan. Seorang rakan berusaha mendapatkan bantuan pengguna jalan raya yang kebetulan melalui kawasan ini sebelum menghubungi bomba dan polis,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Omar Bakhtiar Yaakub berkata, seorang mangsa terbunuh dikenali sebagai Mohd Hisyam Abdullah, 40, yang memandu Perodua Kancil manakala anak perempuannya, Nor Syafidah, 14, kritikal dan dirawat di Hospital Sibu. 
Beliau berkata, setakat ini, identiti empat lagi mangsa dipercayai anak dan isteri kepada Mohd Hisyam masih belum diketahui. 
“Tiga penumpang Hilux yang parah pemandunya, Wong Kim Kui, 48, abang kepada Tai Yen, Wong Tai Hing, 28, serta bapanya Wong Kheng Ki, 57. Tai Hing yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut. 
“Kemalangan berlaku apabila Perodua Kancil dinaiki enam beranak dalam perjalanan dari Selangau ke Mukah bertembung Hilux menuju ke Selangau. Namun, sehingga kini polis masih belum dapat mengesahkan punca sebenar kemalangan berlaku. 
“Keenam-enam mangsa terbunuh di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan. Kami masih menjalankan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi kejadian. 
“Semua mayat dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat.” katanya. 
Dalam pada itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Mukah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.20 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian. 
“Anggota kami mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan semua mangsa tersepit dalam kenderaan remuk itu,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.