Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 26 November 2013

Zon Pertahanan Baru China Timbulkan Konflik

China mengisytiharkan zon pertahanan udara yang turut memasukkan pulau yang menjadi rebutan Sabtu lalu

Pulau Uotsuri, salah satu daripada lima pulau yang tidak berpenghuni termasuk dalam kawasan yang dipertikaikan

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry berkata tindakan itu meningkatkan risiko kejadian tidak diingini

Shinzo Abe ketika berucap di Parlimen Jepun semalam. Foto: AFP


TOKYO - Tindakan China mengisytiharkan zon pengenalan pertahanan udara yang turut memasukkan pulau yang menjadi rebutan adalah sangat berbahaya, kata Perdana Menteri Jepun semalam, ketika Korea Selatan semakin meningkatkan serangan lisan terhadap Beijing. 
Amaran Shinzo Abe dikeluarkan selepas Washington berkata ia akan menyebelahi Jepun jika berlaku sebarang tindakan ketenteraan berhubung Kepulauan Senkaku, yang didakwa Beijing sebagai Diaoyu. 
“Saya amat bimbang kerana ia adalah tindakan bahaya yang mungkin boleh menyebabkan akibat yang tidak diingini. 
Jepun akan meminta China menahan diri sementara kita terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa,” katanya kepada Parlimen. 
Komen itu adalah yang pertama daripada Abe mengenai isu itu sejak Beijing, Sabtu lalu mengumumkan ia mahu semua pesawat yang terbang di kawasan Laut China Timur mematuhi arahannya. 
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, mengisytiharkan Washington amat bimbang, berkata tindakan itu meningkatkan risiko kejadian tidak diingini. 
“Tindakan sehala ini adalah usaha mengubah status quo di Laut China Timur,” katanya. 
Dalam pengumuman peraturan baru itu, jurucakap Kementerian Pertahanan China, berkata mereka akan mengawal kedaulatan wilayah itu dan mengekalkan arahan penerbangan. 
Pesawat kini diminta menyediakan pelan penerbangan, menunjukkan dengan jelas kerakyatan mereka, dan mengekalkan komunikasi radio dua hala yang membolehkan mereka bertindak balas pada masa tepat dan betul kepada pertanyaan pengenalan daripada pihak berkuasa China, kata Kementerian Pertahanan. 
Pengumuman mengenai kawasan itu, yang termasuk perairan yang dituntut Taipei dan Seoul, mencetuskan kemarahan di kedua-dua bandar raya. 
Sebahagian zon bertindih dengan zon pertahanan udara Korea Selatan sendiri dan menggabungkan kawasan yang dikawal Korea Selatan dikenali sebagai Ieodo yang sekian lama menjadi sumber ketegangan diplomatik dengan Beijing. 
“Saya ingin menyatakan sekali lagi kami mengawal Ieodo,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Kim Min Seok, semalam. AP/Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.