Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 9 November 2013

Jenazah Tujuh Tahun Masih Sempurna

Jenazah yang dikebumikan tujuh tahun lalu ditemui dalam keadaan sempurna. Foto: Mustaqimah

Allahyarham Maheran Jaaffar meninggal dunia pada 2006. Foto: Mustaqimah

Selain jenazah Maheran, dua jenazah lagi juga ditemui dalam keadaan yang sama. Foto: Mustaqimah


SEGAMAT - Jenazah seorang guru agama yang dikebumikan kira-kira tujuh tahun lalu ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi ketika kerja menggali tanah perkuburan di Kampung Batu Badak, di sini. 
Jenazah Allahyarham Maheran Jaaffar, yang meninggal pada 2006 adalah antara 350 kubur yang digali semula untuk dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek melebar Jalan Segamat-Ledang. 
Selain itu, dua jenazah lagi turut ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi walaupun dikebumikan sejak berdekad lalu. 
Anak sulung Maheran, Hamisah Kassim, 67, berkata beliau terkejut dan hiba apabila dimaklumkan jenazah ibunya dalam keadaan wangi dan masih sempurna, termasuk kain kapan yang masih utuh. 
“Kubur emak adalah yang pertama digali untuk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Wakaf di Kampung Tasek. Saya terharu diberitahu jenazah ibu masih elok dan wangi. 
“Mungkin itu balasan yang diterima ibu kerana ketika hayatnya arwah mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran. 
Seingat saya, arwah sentiasa mengamalkan amalan berselawat, berzikir dan sering bersedekah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 
Hamisah berkata, arwah ibunya juga seorang yang bertanggungjawab menjaga empat lagi adik-beradiknya dan seorang yang pendiam. 
Sementara itu, Penyelia Tanah Perkuburan Jabatan Agama Johor (JAJ), Jamaluddin Sapuan, berkata semua jenazah yang digali semula itu dikapankan dan dikebumikan semula di Tanah Wakaf Kampung Tasek. 
“Seramai 15 penggali kubur di bawah JAJ memulakan kerja menggali sambil dilihat beberapa jabatan kerajaan, waris dan penduduk setempat. 
“Penemuan jenazah yang masih sempurna dan berbau wangi tanda kekuasaan Allah SWT dan balasan yang baik kepada mereka yang melakukan suruhan Allah,” katanya. - Berita Harian



SEGAMAT - “Ketika proses menggali dan mengeluarkan jasad arwah dilakukan, tiba-tiba seluruh kawasan tanah perkuburan ini berbau harum. 
“Saya melihat sendiri kain kafan yang membaluti arwah masih berkeadaan baik. Ia tidak reput, sebaliknya hanya dikotori tanah,” kata Abdullah Abdul Karim, 74. 
Abdullah adalah menantu kepada arwah Maheran Jaaffar yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 2006 ketika usia 74 tahun. 
Ketika dikeluarkan dari liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak di sini, semalam jasad arwah Maheran didapati masih dalam keadaan sempurna. 
Selain jasad arwah Maheran, 15 lagi jasad termasuk dua janin turut didapati masih sempurna daripada keseluruhan 150 kubur yang digali dan mayat di dalamnya dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran Jalan Segamat-Ledang. 
Kerja menggali dan memindahkan kubur terbabit mula dilakukan pada 6 November lalu dan dijadualkan berakhir minggu depan . 
Selepas dikeluarkan dari liang lahad, semua jasad di tanah perkuburan berusia 100 tahun itu disemadikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai terletak tidak jauh dari lokasi asal. 
Abdullah berkata, dia yakin keistimewaan yang dikesan pada jasad arwah Maheran, berkait rapat dengan amalan arwah ibu mentuanya ketika hidup. 
“Arwah rajin berzikir dan amalan itu dilakukan sebaik bangun daripada tidur. Malah, arwah tidak pernah mengambil sarapan sebelum berzikir. “Arwah juga sangat patuh kepada suami selain rajin beribadah di masjid dan dia juga mengajar al-Quran kepada anak-anak jiran,” katanya ketika ditemui, semalam. 
Selain itu, Abdullah berkata, arwah ibu mentuanya yang agak pendiam juga seorang yang pemurah dan sering bersedekah. 
“Saya bekerja sebagai penjaga di tanah perkuburan ini sejak 20 tahun lalu. Keadaan jasad arwah ibu mentua yang masih sempurna biarpun selepas tujuh tahun dikebumikan menunjukkan kebesaran Allah yang perlu dijadikan iktibar. 
“Saya juga bersyukur kerana segala proses menggali kubur dan memindahkan jasad ibu mentua saya serta jasad lain berjalan lancar,” katanya. 
Anak sulung Allahyarham Maheran, Hamisah Kassim, 67, turut bersyukur dan berharap roh arwah ibunya ditempatkan Allah bersama roh orang soleh. Sementara itu, individu yang mengurus dan mengkafankan jenazah arwah Maheran, Wan Khatijah Wan Abas, 80, berkata, dia terharu apabila berpeluang melihat jenazah arwah digali semula dari kubur. 
“Saya dapati tali pengikat dan kain kafan jenazah arwah masih cantik, seolah-olah sahabat saya ini baru meninggal dunia semalam. 
“Tiada langsung bahagian kain kafan yang rosak. Ini memang petunjuk daripada Allah kepada hamba-Nya. Saya bersyukur diberi peluang menatap kebesaran Allah ini,” katanya. 
Menurut Wan Khatijah, ketika mengkafankan jenazah arwah Maheran lapan tahun lalu, ia cukup mudah dilakukan. 
“Arwah memang insan berhati mulia. Ini balasan Allah untuk orang sebaik arwah,” katanya. -myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.