Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 29 November 2013

Kennedy Jadi Presiden AS Selama 1,000 Hari

Kennedy menjadi Presiden AS ke-35 selama 1000 hari (Januari 1961-November 1963)

Kennedy dianggap sebagai Presiden AS yang muda, kacak, terhormat dan bijak.

Juga ayah penyayang. Anak Kennedy menyorok di bawah meja

Pelantikan Kennedy sebagai presiden mencatatkan pelbagai sejarah tersendiri

Kennedy sedang menyampaikan ucapan ke seluruh negara

Detik-detik akhir sebelum Kennedy ditembak mati di Dallas, Texas

Lee Harvey Oswald (tengah) suspek yang dikatakan menembak mati Kennedy


“MEREKA tidak tahu banyak mengenai presiden atau kenapa ada pihak yang ingin membunuhnya. 
“Boleh dikatakan kebanyakan pelajar cuma mengetahui John Fitzgerald Kennedy (JFK) ialah presiden yang ditembak mati. Lebih daripada itu hanyalah kotak kosong,” kata Tom Stone, Profesor di Southern Methodist University di Dallas, Texas yang mengajar mengenai Kennedy. 
Bagaimanapun bagi pemuja dan peminatnya, sejarah dunia hari ini mungkin berbeza sekiranya Kennedy tidak dibunuh. 
Mereka beranggapan dunia akan menjadi lebih stabil dan aman sekiranya beliau menjadi presiden lebih lama, disebabkan kecenderungannya kepada hubungan dan dasar luar yang lebih baik dan sederhana. 
Kennedy hanya sempat menjadi presiden dalam tempoh kira-kira 1,000 hari sebelum mati ditembak oleh seorang pekerja gudang yang juga merupakan bekas anggota marin, Lee Harvey Oswald ketika dalam perarakan di Dallas. 
JFK dilahirkan di Brookline, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) pada 29 Mei 1917 merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik kepada pasangan bangsawan berketurunan Irish. 
Datuk pada sebelah bapa, P.J. Kennedy merupakan seorang pemilik bank dan pedagang arak yang kaya manakala datuknya sebelah ibu, John E. Fitzgerald merupakan seorang ahli politik yang cekap dan berkhidmat sebagai anggota Kongres AS dan Datuk Bandar Boston. 
Bapa dan ibu Kennedy, Joseph Patrick Joe Kennedy dan Rose Kennedy secara umumnya menolak corak kehidupan golongan sosialit dan memberi tumpuan yang lebih kepada pendidikan anak-anak. 
Joe, terutamanya sangat obses kepada setiap inci kehidupan anak-anaknya, sesuatu yang sangat jarang bagi ibu bapa pada zaman tersebut. 
“Kebanyakan bapa pada waktu itu tidak begitu berminat tentang apa yang dilakukan anak-anak mereka, tetapi Joe tahu apa yang dilakukan anaknya setiap masa,” kata seorang rakan keluarga tersebut. 
Joe mempunyai jangkaan tinggi daripada anak-anaknya dan menanam sifat persaingan dan kepercayaan bahawa kemenangan adalah segala-galanya dalam diri mereka. 
Mengulas perkara itu, adik perempuan JFK, Eunice Kennedy pernah menceritakan, ‘apabila saya menyedari saya tidak perlu memenangi sesuatu setiap hari, saya sudah berusia 24 tahun.’ 
Meskipun seorang yang pintar, Kennedy bukanlah seorang pelajar yang baik sewaktu remaja. Seperti anak muda lain, beliau lebih meminati sukan, wanita dan hiburan berbanding pencapaian akademik. 
Beliau hanya menonjolkan kebolehannya setelah menjadi pelajar senior di Universiti Harvard dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1940. 
Seorang rakannya, Lem Billings berkata, ‘Jack (nama panggilan Kennedy) adalah seorang yang lebih menyeronokkan berbanding individu-individu lain yang saya kenal dan saya rasa kebanyakan kenalannya memiliki pendapat yang sama.’ 
Pelantikan Kennedy sebagai presiden mencatatkan pelbagai sejarah tersendiri. Beliau merupakan Presiden AS pertama yang dilahirkan pada abad ke-20. Kennedy merupakan presiden AS pertama yang berfahaman Katholik dan kekal sebagai satu-satunya presiden negara itu yang pernah memenangi anugerah Putlizer (anugerah tertinggi di AS dalam bidang kewartawanan dan kesusasteraan). 
Kennedy dianggap sebagai presiden yang muda, kacak, terhormat dan bijak selain mampu menyampaikan ucapan yang memberi semangat dan menyentuh hati pendengar. 
Isterinya, Jacqueline Kennedy dianggap antara wanita paling cantik dan bergaya di dunia, menambah sisi glamor dalam diri pemimpin itu. 
Pasangan muda itu dianggap membawakan gaya dan glamor ke Rumah Putih, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum itu. 
Sebaris ayat yang dituturkan Kennedy dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden AS pada 20 Januari 1961 masih diguna pakai sehingga ke hari ini. Ia berbunyi: “Jangan bertanya apa yang negara boleh lakukan untuk anda, tanyalah apa yang anda boleh lakukan untuk negara.” 
Pencapaian terbaik beliau dalam tempoh yang singkat sebagai presiden bagaimanapun adalah dari segi hubungan antarabangsa AS dengan dunia luar. 
Kennedy dianggap sebagai seorang yang agak reformis dan memiliki pendekatan berlainan dengan presiden-presiden AS sebelumnya. Beliau cuba membawa AS untuk bergerak ke arah kedamaian dan berusaha mengurangkan ketegangan dalam Perang Dingin dengan Kesatuan Soviet, yang dianggap salah satu punca pengorbanannya. 
Krisis terbesar di bawah pentadbiran Kennedy ialah Krisis Misil Cuba pada Oktober 1962. Menyedari Kesatuan Soviet telah menghantar peluru berpandu nuklear ke Cuba, Kennedy mengarahkan armada tentera laut AS untuk mengepung pulau tersebut dan berikrar untuk mempertahankan AS dengan apa cara sekali pun. 
Selepas mengharungi beberapa hari yang paling tegang dalam sejarah kemanusiaan, ketika dunia seolah-olah berada di ambang kemusnahan akibat perang nuklear, Kesatuan Soviet bersetuju untuk mengalihkan peluru berpandu tersebut dengan syarat AS tidak akan menyerang Cuba dan mengalihkan senjata berkenaan dari Turki. 
Lapan bulan kemudian, pada Jun 1963, Kennedy berjaya dalam rundingan Perjanjian Had Ujian Nuklear bersama Great Britain dan Kesatuan Soviet. 
Selain itu, pemimpin ini juga menolak campur tangan AS dalam Perang Vietnam, salah satu peristiwa yang paling memalukan AS apabila negara tersebut kalah dalam perang itu. 
Douglas Ducharme, warga Kanada yang menghadiri ulang tahun ke-50 pembunuhan beliau berkata, “Sekiranya ia (pembunuhan Kennedy) tidak berlaku, sejarah mungkin berubah. Dia merupakan presiden yang lain daripada yang lain.” 
Pada 22 November 1963 ketika menyertai perarakan menaiki kenderaan Lincoln Continental Convertible di Dallas, Texas bersama isterinya dan Gabenor Texas ketika itu, John Connally, Kennedy mati akibat ditembak. Beliau disahkan mati di Parkland Memorial Hospital pada usia 46 tahun. 
Peristiwa pembunuhan beliau menimbulkan pelbagai kontroversi kerana pembunuhnya, Oswald dikatakan bertindak secara bersendirian tanpa melibatkan pihak ketiga. 
Teori konspirasi semakin bercambah apabila Oswald sendiri turut mati ditembak dari jarak dekat dua hari kemudian oleh seorang pemilik kelab malam, Jack Ruby. 
Insiden tersebut disiarkan secara langsung di seluruh AS kerana ia berlaku ketika pihak berkuasa sedang dalam proses untuk memindahkan Oswald dari ibu pejabat polis Dallas ke penjara berdekatan yang dihadiri ramai penonton dan media. 
Ruby memberitahu beberapa saksi di tempat kejadian bahawa kematian Oswald akan ‘melegakan Puan Kennedy daripada menghadiri perbicaraan ke mahkamah.’ 
Meskipun rata-rata warga AS masih percaya bahawa pembunuhan Kennedy melibatkan konspirasi yang lebih besar, siasatan oleh pihak berkuasa dan Suruhanjaya Warren yang ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu menyatakan perkara sebaliknya. 
“Kebanyakan orang tidak percaya dengan cerita rasmi. Bagaimanapun bukti tidak mencukupi untuk menyokong perkara lain,” kata Gary Mack, kurator di The Sixth Floor Museum di Dallas, Texas. 
Seorang sarjana dan pengkaji pembunuhan, Josiah Thompson yang juga merupakan pengarang buku, Six Seconds in Dallas yang mengisahkan pembunuhan Kennedy menyimpulkan penyiasatan pembunuhan tersebut sebagai yang terburuk dalam sejarah AS moden. 
“Presiden AS ditembak, pada waktu tengah hari, di dataran awam, dengan saksi antara 400 hingga 500 orang, mungkin sekurang-kurangnya 38 orang daripada mereka mengambil foto dan video. Kini, selepas 40 tahun, kita masih tidak tahu apa yang berlaku,” katanya dalam satu dokumentari pada tahun 2007 berjudul Oswald Ghost. - Kosmo! Online



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.