|
Zarah Yakob. Foto: Sinar Harian |
|
Kak Za melayan pelanggan memilih lauk-pauk. Foto: Sinar Harian |
|
Kak Za (duduk, kiri) meraikan pelanggannya sempena ulang tahun perkahwinan ke-20 dan majlis Aidilfitri di kedainya. |
|
Pelanggan menjamu selera di kedai Kak Za di Batu Jong. Foto: Sinar Harian |
Wanita ini sama seperti wanita lain, namun dia mempunyai cita-cita dan impian setinggi gunung.
Demi mencapai cita-citanya yang satu itu, dia tidak betah duduk diam dan berbuat apa sahaja asalkan mampu memberikan pulangan berbaloi seperti diidam-idamkan selama ini.
Untuk merealisasikan hasrat itu, pemilik nama Zarah Yakob, 37, yang dilahirkan dalam keluarga sebahagian besarnya berniaga, tidak segan membuka warung di bawah pokok jati berhampiran Pasaraya Pantai Timur Kuala Krai.
Allahyarham ayahnya, Yakob Deris juga seorang peniaga yang mengajar dia rencah berniaga.
Kesusahan dilalui bapanya ketika berniaga budu, ikan kering dan belacan menjadi panduan untuknya dalam menempuhi liku-liku hidup sebagai peniaga.
Wanita yang membahasakan dirinya sebagai Kak Za ini berkata, kepayahan itulah membuatkan bapanya cekal dan dapat bertahan sehingga mampu sara kehidupan dia lapan beradik.
Kejayaan bapa itu menyuntik semangat buatnya untuk turut sama berjaya dalam perniagaan kerana sedar dia mampu hidup senang sekiranya rajin berusaha mengubah nasib keluarga.
Dari kecil Kak Za dan adik beradik melihat ayah berniaga, jadi kini setelah dewasa, sebahagiannya berniaga, ada yang menjual kain dan ada seorang yang turut bantu Kak Za di kedai.
Kak Za gembira kerana kejayaan ayah menjadi ikutan kami adik-beradik.
Biarpun keadaan warung tidak begitu selesa untuk pelanggan, Kak Za pasrah kerana hanya itu yang mampu.
Tugas memasak, menjual dan menyediakan segala keperluan hanya dilaksanakan dengan bantuan suami. Kak Za tidak nafikan semua kerja ini meletihkan. Namun demi semangat untuk menggapai impian, segala keletihan hilang sekelip mata, apatah lagi saban hari permintaan nasi campur dan juga roti tempayan kian meningkat.
Kalau nak bercakap soal letih, memang sukar untuk diceritakan tetapi keletihan itu membakar semangat Kak Za untuk terus majukan perniagaan ketika itu.
Walaupun warung panas, tiada pendingin hawa, tetapi berbekalkan keenakan juadah menjadikan tahun 2005 detik permulaan untuk Kak Za melangkah lebih jauh dalam bidang masakan.
Jualan semakin bertambah dan jumlah pelanggan juga semakin meningkat. Ini menambahkan lagi hasrat Kak Za untuk terus membuka kedai makan lebih besar dan selesa untuk pelanggan, tetapi Kak Za sedar agak sukar untuk melakukannya dalam masa terdekat kerana perlukan modal besar.
Disebabkan itu, Kak Za mula menyimpan sedikit-sedikit hasil jualan untuk besarkan lagi perniagaan. Ketika itu untuk buat pinjaman bank bukan senang.
Tapi nasib menyebelahi Kak Za, tiga tahun kemudian ada individu mahu sewakan kedai makan. Ibarat orang mengantuk disorong bantal, Kak Za setuju untuk menyewanya.
Setelah dapat tahu ada kedai hendak disewakan di Batu Jong, Kak Za gembira sangat, tetapi duit tak cukup. Kak Za fikir peluang perlu direbut, jadi Kak Za buat keputusan jual gelang tangan pemberian suami.
Memang berat hati nak jual, lagi pun pada gelang tu tertera nama Kak Za, ia lambang kasih sayang kami suami isteri. Tetapi keadaan mendesak, Kak Za tiada pilihan, terpaksa jual juga untuk menampung perbelanjaan membuka kedai makan yang lebih selesa.
Kak Za pasrah, hanya itulah jalan yang ada. Kalau melihat kejayaan sekarang memang Kak Za mampu beli semula gelang seperti itu, tetapi nilainya tidak sama dengan pemberian suami.
Namun Kak Za tidak kesal dengan tindakan tersebut kerana manfaatnya kami anak beranak nikmati sekarang.
Walaupun dapat buka kedai makan baharu, warung yang menjadi detik permulaan kehidupan Kak Za tetap beroperasi seperti biasa. Kak Za akan bergilir dengan suami, Mohd Asri Hashim, 47, menjaga kedai dan warung itu.
Tugas kami jadi berat sikitlah sebab dua-duanya kami urus sendiri. Tapi sekarang dah ada pekerja sendiri, hidangan pun dah bertambah, Kak Za fikir dah tak mampu nak galas kesemua tugas seorang diri.
Kak Za ambil empat pembantu untuk sediakan masakan, tapi Kak Za masih memasak kesemua menu sebab kebanyakan pelanggan dah serasi dengan air tangan Kak Za.
Namun selepas empat tahun, Kak Za dah tak mampu galas tugas memasak seorang diri sebab satu hari kami sediakan lebih 20 menu lauk-pauk.
Syukur alhamdulillah perniagaan Kak Za bertambah maju, ada beberapa jabatan kerajaan setempat juga mula buat tempahan makanan untuk majlis keraian dan pelbagai program mereka.
Kak Za bersyukur sangat-sangat, kini sudah ada 10 pekerja untuk bantu Kak Za. Berniaga kedai makan ni, perlu jaga disiplin, hati pelanggan nak kena jaga. Kedai makan ini mula operasi dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam.
Untuk besarkan perniagaan ini Kak Za ada juga buat pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM50,000. Syukur permohonan pinjaman diluluskan dan Kak Za anggap usaha ini (membuat pinjaman) berbaloi dengan pulangan diperoleh hari ini.
Ini adalah rezeki anak-anak Kak Za - Mohammad Amirul, 19; Mohammad Amil Safar, 17; Nur Afikah, 14, dan Mohammad Aiman, 12.
Anak sulung Kak Za, Mohammad Amirul sudah mula menunjukkan kecenderungannya dalam dunia perniagaan makanan ini.
Dia (Mohammad Amirul) pernah beritahu Kak Za hasrat dia mahu belajar lagi, tetapi Kak Za cadangkan dia bantu Kak Za berniaga kerana dia menunjukkan minat berniaga. Dia mampu buat segala kerja, termasuk memasak.
Kini Kak Za tak bimbang lagi melepaskan segala tugas di kedai ini pada dia. Semua tugas berkaitan tempahan makanan daripada mana-mana agensi Kak Za dah serahkan kepada dia.
Untuk akan datang Kak Za bercadang lebarkan lagi jenis menu, seperti jual makanan Barat dan harapan ini Kak Za letak sepenuhnya di bahu Mohammad Amirul. - Azura Mohamad/Sinar Harian 17.11.2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.