Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 23 November 2013

Bumbung Pasa Raya Runtuh 26 Maut

Sekurang-kurangnya 26 orang maut selepas sebahagian besar bumbung sebuah pasar raya di Latvia runtuh

Sebelum runtuh, taman musim sejuk sedang dibina di atas bumbung bangunan ini

Seramai 36 orang cedera dan dianggarkan jumlah sama turut diselamatkan dari bawah timbunan sisa runtuhan

Sejumlah besar petugas penyelamat termasuk tentera dan anjing pengesan masih menjalankan operasi mencari mangsa

Di antara yang maut ialah tiga anggota bomba yang terbabit dalam operasi menyelamat


RIGA (Latvia) - Sekurang-kurangnya 26 orang maut, termasuk tiga anggota bomba selepas sebahagian besar bumbung sebuah pasar raya di Latvia runtuh. 
Petugas khidmat kecemasan semalam berkata, punca runtuhan belum dapat dipastikan, tetapi pihak berkuasa keselamatan berkata, mereka dimaklumkan yang taman musim sejuk sedang dibina di atas bumbung itu. 
Menteri Dalam Negeri Rihards Kozlovskis menolak bencana semula jadi atau kegiatan pengganas sebagai punca kejadian dan berkata, kemungkinan ia disebabkan syarat pembinaan yang tidak dipatuhi. 
Seramai 36 orang cedera dan dianggarkan jumlah sama turut diselamatkan dari bawah timbunan sisa runtuhan di pasar raya terbesar di Riga itu, kata agensi Penyelamat dan Kebakaran bandar berkenaan. 
Daripada yang cedera, 28 dimasukkan ke hospital termasuk 10 anggota bomba, kata jurucakap agensi itu Viktorija Sembele. 
Petugas penyelamat menganggarkan bumbung seluas 500 meter persegi yang runtuh itu memusnahkan sebahagian besar dinding pasar raya dan hampir semua pintu kacanya. 
Sejumlah besar petugas penyelamat termasuk tentera dan anjing pengesan masih menjalankan operasi mencari mangsa pagi semalam di pasar raya yang terletak di kawasan padat penduduk itu. 
Petugas penyelamat meminta saudara-mara mangsa menghubungi ahli keluarga mereka yang hilang untuk mengesan lokasi bunyi telefon di bawah sisa runtuhan bumbung itu. 
Mereka berkata, kerja menyelamat agak lembab kerana sisa runtuhan dan bahagian bumbung yang masih ada tidak stabil dan berkemungkinan besar roboh. 
Anggota bomba yang terkorban itu dihempap serpihan bumbung yang jatuh di atas mereka sejurus mereka tiba di tempat kejadian. - AP/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.