|
Surang (kanan) bersama anak perempuannya, Dr Nitiwadee Pucharoenyos. Foto: Bangkok Post |
|
Surang mengaku mengupah penembak untuk membunuh menantunya. Foto: Bangkok Post |
|
Jakkrit X Panichpatikum ditembak mati dalam keretanya bulan lalu. Foto: Imej Google |
|
Dr Nitiwadee Pucharoenyos, isteri Jakkrit meratapi kematiannya bulan lalu. Foto: Imej Yahoo |
BANGKOK - Ibu mentua bekas atlet menembak kebangsaan Thailand, Jakkrit X Panichpatikum, yang ditembak mati dalam keretanya bulan lalu, mengaku dalam satu program berita pagi Channel 3 bahawa dia bertindak sendirian mengupah penembak untuk membunuh menantunya itu.
Saya satu-satunya individu di sebalik pembunuhan Jakkrit kerana saya hanya ada seorang anak perempuan iaitu isteri Jakkrit, Dr Nitiwadee Pucharoenyos. Suami saya meninggal dunia lama dulu, kata Surang Duangchinda, 70, kepada pembaca berita, pagi semalam.
Surang berkata, anak perempuannya amat mencintai Jakkrit dan terpaksa menahan pelbagai penderaan dan pukulan dilakukan suaminya.
Suspek berkata, dia gagal membantu anak perempuannya walaupun merayu kepada menantunya supaya menghentikan perbuatannya, namun sebaliknya mangsa mengancamnya dengan mengacukan sepucuk pistol.
Dia dan anak perempuannya menerima layanan buruk daripada Jakkrit secara berterusan dan apa yang mereka mampu lakukan hanya bertenang dan memberi kata-kata semangat antara satu sama lain, katanya.
Apabila anak perempuan saya hamil buat kali ketiga, mangsa terus menderanya secara fizikal dan mental sehingga keguguran.
Saya memikirkan cara mengeluarkan anak perempuan saya keluar daripada kesengsaraan, namun dia terlalu mencintai suaminya.
Apabila Jakkrit keluar dari penjara dan cuba bersatu semula dengan isterinya, masalah sama berulang dan ia membuatkan saya memikirkan mangsa tidak pernah berubah, kata Surang.
Dr Nitiwadee, berkata apabila dia mendapat tahu ibunya menjadi dalang di sebalik pembunuhan penembak Olimpik itu, dia tahu ibunya amat menyayanginya dan mahu ke penjara berbanding dirinya.
Surang dan Dr Nitiwadee bertemu Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia, Paveena Hongsakula, semalam untuk mengucapkan terima kasih atas sokongannya dan dijangka membuat laporan polis pada tengah hari.
Jakkrit mewakili Thailand pada Sukan Olimpik 2012 dalam acara 10 meter air pistol, 50 meter pistol dan 25 meter rapid fire pistol.
Dia ditembak mati seorang lelaki bersenjata di dalam keretanya ketika di dalam perjalanan menuju ke rumah ibunya untuk makan malam 19 Oktober lalu. - AGENSI/Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.