Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 19 November 2013

Misteri Villa Nabila

Remaja lelaki, Mohammad Izzat Izuddin Husin, 16, dilaporkan hilang selepas memasuki Villa Nabila. Foto: The Star

Seorang pengunjung melihat bilik yang terdapat di dalam bangunan tempat remaja hilang. Foto: myMetro

Ahli keluarga menabur garam di pekarangan banglo dengan harapan menemui mangsa. Foto: myMetro


JOHOR BAHRU - “Dalam keadaan terlalu gelap dan hanya menggunakan lampu telefon bimbit untuk bergerak, saya melihat kelibat kanak-kanak berlari sebelum seorang daripada remaja perempuan menjerit lalu histeria,” kata Man, 16, remaja yang cuba membongkar misteri Villa Nabila, banglo tinggal di Jalan Skudai, di sini, tengah malam Sabtu lalu. 
Tindakan sekumpulan 30 remaja terbabit bagaimanapun mencetuskan masalah apabila seorang daripada mereka, Mohammad Izzat Izuddin Husin, 16, dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak malam berkenaan. 
Malah, kehilangan mangsa dikaitkan dengan kediaman yang terkenal dengan pelbagai cerita mistik sehingga mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan orang ramai. 
Man berkata, sebelum kejadian dia berkumpul bersama 29 remaja lain termasuk perempuan di sekitar bandar raya, sebelum semua bersetuju memasuki dan menjelajah banglo berkenaan. 
“Rombongan kami ke Villa Nabila hanya untuk suka-suka dan langsung tidak takut kerana bergerak dalam kumpulan besar. 
“Bagaimanapun, apabila tiba di pekarangan rumah berkenaan kami mula berasa seram sejuk kerana kawasannya terlalu gelap dan masing-masing hanya menggunakan lampu telefon bimbit. 
“Kami kemudian berpecah kepada beberapa kumpulan dengan masing-masing meninjau rumah induk di belakang dan rumah tamu di depan,” katanya. 
Menurutnya, semua berjalan dengan senyap dan apabila mereka memasuki sebuah bilik di tingkat dua rumah induk, tiba-tiba dia melihat kelibat kanak-kanak berlari melintasinya. 
“Pada masa sama, seorang remaja perempuan yang mengikut kami tiba-tiba menjerit lalu rebah di atas lantai. 
“Dia terus histeria menyebabkan kami terpaksa membawanya keluar bangunan untuk menyelamatkan diri kerana bimbangkan keselamatan masing-masing.

“Kami kemudian membawanya ke Masjid Ayer Molek dan bernasib baik kerana seorang jemaah dipercayai ustaz membaca doa serta mententeramkan remaja perempuan itu,” katanya. 
Man berkata, dia tidak menyangka seorang daripada remaja yang mengikut rombongan berkenaan dilaporkan hilang. 
Menurutnya, dia tidak pasti sama ada remaja lelaki itu hilang ketika berada di rumah berkenaan atau di luar kerana tidak mengenali mangsa. 
“Kami pergi beramai-ramai, namun tidak mengenali semua orang. 
“Kebanyakan daripada kami hanya mengenali atas dasar kawan atas kawan termasuk remaja perempuan berkenaan. 
“Apapun, saya berharap remaja lelaki itu ditemui secepat mungkin,” katanya. 
Seorang lagi remaja, Junaizi Rafizi, 13, berkata, kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu, dia menemui rakan dan kenalan rakannya di pusat bandar raya ini, sebelum diajak ke banglo terbiar itu. 
Menurutnya, mereka berjalan secara berkumpulan dan tiba di banglo berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah malam untuk merasai pengalaman luar biasa kerana ia dikaitkan dengan pelbagai cerita mistik. 
“Saya difahamkan mangsa berada di kumpulan sama, namun saya tidak perasan kerana tidak mengenalinya. 
“Kami naik ke tingkat atas dan turun dengan selamat. Cuma ada kejadian mengerikan ketika kumpulan lain memasuki sebuah bilik di villa itu menyebabkan kami semua menjerit dan lari menyelamatkan diri. 
“Memang benar ia pengalaman menakutkan dan kami hanya berada di dalam rumah itu dalam tempoh kurang setengah jam sebelum pulang dengan selamat,” katanya. 
Ibu Mohammad Izzat Izuddin, Norhayati Mohamad, 38, berkata, dia bimbang keselamatan anak ketiga daripada tujuh beradik itu. 
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa Mohammad Izzat Izuddin pada jam 3.30 petang Sabtu lalu di rumahnya di Jalan Teratai Kuning, Kampung Hajah Hasnah, Majidee, di sini. 
“Pada keesokan hari, saya baru sedar anak tidak pulang ke rumah dan hingga kini tidak menerima sebarang maklumat mengenainya. 
“Saya dimaklumkan anak saya bersama rakannya ke Villa Nabila, namun hanya dia seorang tidak pulang ke rumah,” katanya. - myMetro

Orang ramai bertumpu ke Villa Nabila, banglo yang disenaraikan sebagai lokasi berhantu. Foto: myMetro

Sepasukan peronda dihantar ke tempat kejadian untuk menyuraikan orang ramai. Foto: myMetro


JOHOR BAHRU - Di sebalik cerita pelik dan menakutkan, Villa Nabila di Jalan Skudai berhampiran Teluk Danga di sini, terus menerima kunjungan orang ramai sejak awal malam dan kehadiran tetamu tidak diundang yang silih berganti itu tidak berkurangan hingga tengah malam tadi. 
Menjelang tengah malam ini, dianggarkan 400 orang kebanyakannya remaja bertumpu ke kawasan banglo yang disenaraikan sebagai lokasi berhantu oleh sebuah portal pelancongan berpangkalan di Amerika Syarikat, Expedia. 
Tanpa takut atau bimbang dengan khabar angin tentang kehilangan 23 daripada 30 remaja di Villa Nabila itu, orang ramai melanggar garisan kuning yang dipasang pihak berkuasa untuk meninjau persekitaran dan dalaman banglo usang itu. 
Malah, ada remaja yang menjerit dan membuat bising di dalam banglo berkenaan untuk tujuan bersuka-suka dan membuat kecoh. 
Kira-kira 11.15 malam tadi, sepasukan peronda dihantar ke tempat kejadian untuk menyuraikan orang ramai yang menceroboh ke kawasan larangan itu. 
Bagaimanapun, kehadiran anggota polis itu tidak menghalang lebih ramai orang berkunjung ke kawasan persekitaran Villa Nabila. 
Kenderaan pengunjung yang diletakkan di bahu jalan itu juga mengakibatkan kesesakan hingga dua kilometer di Jalan Skudai menghala Tampoi berikutan pengguna jalan raya turut memperlahankan kenderaan untuk melihat orang ramai yang berkumpul di situ. 
Polis Johor menafikan dakwaan di laman Facebook (FB) bahawa seramai 23 daripada 30 remaja yang dikatakan memasuki Villa Nabila hilang sejak pagi Sabtu lalu. 
Sebaliknya, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, siasatan polis mendapati hanya seorang remaja dilaporkan hilang dan siasatan masih diteruskan bagi memastikan remaja lelaki itu berada di banglo berkenaan atau tidak. 
Katanya, laporan diterima daripada Norhayati Mohamad, 38, yang mendakwa anak lelakinya Mohammad Izzat Izuddin Husin, 16, tidak pulang ke rumah sejak petang kelmarin. - myMetro

Orang ramai berpusu-pusu ke Villa Nabila semalam. Foto: tengoktvonline.blogspot

Mohamad Izzat Izzudin Hussin, 16, dilaporkan hilang pada hari Sabtu lalu. Imej: Google

Polis berada di lokasi remaja hilang. Imej: Google


JOHOR BAHRU - Sebuah vila terbiar yang terletak di Jalan Skudai di sini menjadi tumpuan ramai semalam selepas seramai 23 remaja dikatakan hilang setelah memasuki rumah agam itu pada malam Sabtu lalu. 
Banglo dikenali Villa Nabila yang didirikan di kawasan elit bersaiz empat buah padang bola sepak itu sememangnya cukup terkenal dengan cerita mistik selepas ditinggalkan kosong lebih 40 tahun lalu. 
Polis yang menerima laporan berhubung kejadian itu mengesahkan hanya seorang lelaki hilang bukannya sekumpulan seperti yang didakwa. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, Mohamad Izzat Izzudin Hussin, 16, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Hajah Hasnah, Majidee di sini pada pukul 3.30 petang, Sabtu lalu. - Kosmo! Online

Mohamad Izzat Izzudin Hussin yang dilaporkan hilangditemui bersama teman wanitanya di Desa Mutiara


JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Shariff mengesahkan remaja berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang kononnya disorokkan di Villa Nabila ditemui bersama teman wanitanya di Desa Mutiara pada jam 12 tengah malam tadi. 
Sehubungan itu beliau berkata orang ramai dinasihatkan menghentikan khabar angin mengenai villa berkenaan kerana menganggu tugasan polis. 
"Rumah berkenaan adalah milik persendirian jadi kita tak boleh sita. Bagaimanapun kita terpaksa bertindak buat kerja kerana ia mengakibatkan kesesakan teruk di hadapan kediaman itu. 
"Hentikan juga penyebaran di laman sosial. Malah kita akan serahkan kepada SKMM untuk mengambil tindakan kepada pemilik akaun laman sosial yang menyebarkan maklumat palsu," katanya. - myMetro

Tidak balik ke rumah kerana takut dimarahi ibu sebab balik lewat pagi


JOHOR BAHRU - Pencarian polis ke atas seorang remaja yang dilaporkan hilang selepas mengunjungi sebuah vila dikenali Villa Nabila di Jalan Skudai di sini berakhir apabila lelaki itu ditemui di rumah kenalan wanitanya semalam. 
Mohamad Izzat Izzudin Husin, 16, yang keluar dari rumah keluarganya di Kampung Hajah Hasnah, Majidee di sini Sabtu lalu dijumpai di Flat Desa Mutiara 4 di sini pada pukul 12.30 tengah malam, kira-kira 24 jam selepas ibunya membuat laporan polis. 
Jarak rumahnya dengan lokasi ditemui ialah 10 kilometer. 
Menurut remaja itu, dia tidak menyangka kehilangannya menjadi hebahan di internet dan akhbar. 
"Saya terkejut orang kata saya hilang, sebenarnya saya tidur di rumah rakan. Saya tidak tahu orang mencari saya sehingga polis datang. 
"Saya buat keputusan tidur di rumah kawan kerana bimbang dimarahi ibu sekiranya sampai rumah lewat pagi (Ahad)," katanya ketika ditemui. - Kosmo! Online

Mohamad Izzat: Kami bukan mahu melihat hantu, tetapi pergi ke situ sekadar suka-suka


JOHOR BAHRU - “Kami bukan mahu melihat hantu, tetapi pergi ke situ sekadar suka-suka,” kata Mohamad Izzat Izuddin Hussin, 16, yang disangka hilang dan disorok hantu di banglo usang Villa Nabila di Jalan Skudai di sini, tapi sebenarnya bermalam di rumah kawan. 
Mohamad Izzat yang dilaporkan hilang sejak tengah malam Sabtu lalu sebelum dikesan, awal pagi semalam berkata, tiada kejadian tidak diingini berlaku di banglo berkenaan ketika dia bersama kira-kira 30 rakannya berkunjung ke situ. 
Menurutnya, selepas keluar dari Villa Nabila awal pagi Ahad lalu, dia dan beberapa rakan sempat ke Masjid Ayer Molek untuk solat sebelum makan di sebuah restoran makanan segera.  
“Saya bimbang dimarah ibu kerana pulang lewat lalu mengambil keputusan tidur di rumah kawan, namun tidak sangka ia menyebabkan kekecohan,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Sentral, di sini, bersama ibunya, semalam. 
Mohamad Izzat berkata, dia hanya sedar keluarga mencarinya selepas diberitahu rakan polis datang mencarinya di rumah. 
“Selepas ke Villa Nabila, saya tidak pulang ke rumah di Kampung Melayu Majidee kerana sudah lewat. Saya bimbang dimarahi ibu dan tidak dapat menghubunginya kerana tidak ingat nombor telefon. 
“Saya tiba di rumah rakan kira-kira jam 5 pagi dan terus tidur kepenatan. Saya tidak sedar orang ramai mencari saya kerana menyangka hilang. 
“Saya terkejut apabila ada anggota polis ke rumah rakan untuk mencari saya dan memohon maaf kerana menyusahkan banyak pihak,” katanya. 
Pelajar tingkatan empat itu berkata, dia dan rakan berkunjung di banglo usang itu kerana mahu menghabiskan masa sempena cuti sekolah. 
“Biasanya kami berjalan sekitar bandar, tetapi kali ini ke Villa Nabila yang berhampiran Teluk Danga kira-kira jam 12 tengah malam selepas seorang kawan memberi cadangan,” katanya. 
Sementara itu, ibunya, Norhayati Mohamad, 38, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada polis kira-kira jam 2 pagi memaklumkan anak ketiga daripada tujuh beradik itu ditemui di rumah rakannya di Flat Taman Desa Mutiara, Tebrau, di sini. - myMetro

Villa Nabila sebelum ini menjadi tumpuan orang ramai. Foto: The Star


JOHOR BAHRU - Banglo terbiar, Villa Nabila di Jalan Skudai di sini, yang mendapat perhatian ramai penyebaran khabar angin melalui Internet kononnya 23 remaja disembunyikan makhluk halus tengah malam Sabtu lalu, kembali sunyi selepas pihak berkuasa mengesahkan dakwaan itu fitnah semata-mata. 
Kawasan banglo terbiar seluas dua padang bola sepak itu sebelum ini menjadi antara lokasi tumpuan mereka yang ingin meneroka misteri yang dikaitkan dengan pelbagai kisah mistik. 
Bagaimanapun, ia kembali sunyi apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) memasang pagar di pintu masuk utama bagi mengelak pencerobohan. 
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bertindak memasang pagar zink pada petang kelmarin. 
Datuk Bandar MBJB Ismail Karim berkata, kerja memasang zink itu dilakukan petang kelmarin selepas pihaknya mengeluarkan notis kepada pemilik villa berkenaan supaya membersih dan menutup bangunan. 
“Sepatutnya pemasangan pagar dibuat selepas seminggu notis dikeluarkan, namun kami memagarnya segera memandangkan orang ramai masuk ke vila itu hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan. 
“Buat masa ini kami buat pagar di kawasan pintu masuk utama dulu dan jika ada keperluan barulah kami memasang pagar pada laluan masuk dari arah belakang,” katanya. 
Villa Nabila yang terbiar sejak 40 tahun lalu menjadi tumpuan apabila seorang remaja lelaki dilaporkan ‘hilang’ selepas memasuki premis itu bersama beberapa rakannya awal pagi Sabtu lalu. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.