Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 8 Oktober 2013

Rel Kereta Api Ditemui Di Hutan Pelangai

Shariffudin membersihkan rel sambil diperhatikan Rosli dan rakan media. Foto: Sinar Harian

Rosli menunjukkan rel kereta api yang ditemui dalam Hutan Pelangai. Foto: Sinar Harian


KUALA PILAH - Seorang penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) teruja apabila menemui semula rel kereta api Kuala Pilah yang lama terkubur sejak 1909. 
Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi berkata, dia terpaksa meredah Hutan Pelangai untuk mencari rel kereta api bagi menyiapkan penyelidikannya. 
"Usaha saya tidak sia-sia apabila setelah seharian meredah hutan dan terserempak dengan seekor babi, akhirnya saya berjaya menemui sebahagian rel kereta api. 
“Penemuan ini dapat melengkapkan penyelidikan saya tentang susur galur sejarah kereta api Kuala Pilah," katanya. 
Tambah Mohd Rosli, dia mengambil cuti selama seminggu dalam usaha mencari rel lama itu dan banyak bertanya dengan orang di kawasan itu untuk mendapatkan maklumat. 
“Saya diberitahu di sebelah kiri kawasan ini dahulunya landasan kereta api dan sebelah kanannya, sawah padi,” katanya. 
Selama beberapa jam meredah hutan itu seorang diri, beliau berehat di sebatang pokok kundang untuk menghilang rasa letih. 
"Saya mencari tempat redup untuk berehat. Saya ternampak sepohon pokok kundang dan berehat di bawahnya dan saya dapati saya duduk di atas rel kereta api yang selama ini saya cari. 
“Saya sangat teruja kerana hasrat untuk mencari rel kereta api akhirnya berhasil namun saya terpaksa pulang kerana hari sudah lewat petang,” katanya. 
Dalam pada itu, Mohd Rosli bersama rakannya, Shariffudin Abd Latif, 63, dan dua rakan medianya sekali lagi meredah hutan berkenaan untuk melihat secara terperinci rel kereta api itu pada Jumaat lepas. 
“Memandangkan kawasan itu agak jauh dari jalan utama, kami terpaksa meredah anak sungai dan melalui ladang kelapa sawit. 
“Pada mulanya, saya kurang pasti laluan masuk ke hutan kerana sewaktu kali pertama dulu, saya ikut arah Kampung Gentam. Selepas mengamati secara terperinci, akhirnya saya berjaya menemui kawasan itu. 
Kata Mohd Rosli, penyelidikan yang dijalankan akhirnya ada bukti dan fakta tepat dan ia menambah keyakinan untuk berkongsi kewujudan rel kereta api itu kepada umum. 
"Besi rel itu masih lagi kukuh dan padat walaupun usianya telah mencecah 104 tahun. 
"Selain itu, turut dijumpai galang kereta api Kuala Pilah sekali gus mengukuhkan kedudukan sebenar rel kereta api di situ," katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.