Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 24 Oktober 2013

Pengawal Keselamatan Tembak Mati Pegawai Bank


Allahyarham mangsa, Norazita Abu Talib bersama anak perempuannya. Foto: mysumber.com

Rakaman CCTV wajah suspek. Foto: thestar


SUBANG JAYA – Seorang pegawai bank menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila mukanya pecah selepas ditembak oleh pengawal keselamatan premis tersebut yang sebelum itu telah memaksa mangsa membuka peti besi untuk melarikan sejumlah wang semalam. 
Kejadian pada pukul 6.20 petang di Jalan USJ Central 2 di sini itu berlaku apabila Norazita Abu Talib, 37, diarahkan membuka peti besi berisi wang di bank berkenaan oleh suspek yang bersenjatakan selaras pump gun. 
Mangsa merupakan ibu kepada dua cahaya mata dan telah bekerja di bank tersebut selama 16 tahun. 
Difahamkan, ketika kejadian, terdapat lima pekerja di bank tersebut termasuk mangsa dan suspek. - Kosmo! Online

Keadaan di luar bank selepas kejadian tembak dan rompakan. Foto: melvister.com

Mayat mangsa dikejarkan ke hospital. Foto: negarakita.com

Kad pengenalan suspek. Foto: informasi.my


SUBANG JAYA: "Pak Cik Wan ada menghubungi isterinya beberapa minit sebelum kejadian," kata Mohd Fakri Azad M Azhar Syawal, 22, anak saudara kepada pegawai operasi sebuah bank, Norazita Abu Talib, 37, yang maut ditembak dalam kejadian rompakan di bank itu, di cawangan Jalan USJ Sentral 2, di sini, semalam. 
Dalam kejadian kira-kira jam 6.18 petang itu, mangsa maut di tempat kejadian selepas ditembak penjenayah berusia 37 tahun yang juga pengawal keselamatan bank berkenaan bersenjatakan pump gun di bahagian kepala kiri. 
Menurutnya, bapa saudaranya itu menghubungi Norazita sebelum berpesan supaya berhati-hati ketika memandu pulang ke rumah kerana hujan. 
“Bapa saudara saya bimbang kerana mak cik (Norazita) rabun dan sudah tentu sukar untuk memandu dalam keadaan hujan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. 
Bercerita lanjut, Mohd Fakri berkata, Pak Cik Wan menghubungi Norazita sekali lagi namun panggilan kedua itu tidak dijawab. 
“Tidak lama kemudiannya, Pak Cik Wan memberitahu saya bahawa dia dihubungi pihak bank namun pengurusan bank berkenaan tidak memaklumkan apa yang berlaku sebaliknya mengarahkannya segera ke bank berkenaan. 
“Dia (Pak Cik Wan) bergegas ke bank itu namun tidak mengesyaki apa yang berlaku dan terkejut selepas dimaklumkan kejadian sebenar sebaik tiba di lokasi kejadian,” katanya. 
Tambahnya, mangsa meninggalkan sepasang cahaya mata iaitu seorang perempuan berusia 10 tahun dan lelaki berusia 7 tahun. 
"Pak Cik Wan masih lagi dalam keadaan terkejut dan ibarat kehilangan separuh jiwa kerana amat menyayangi isterinya. Buat masa ini dua anaknya masih belum diberitahu tentang kejadian itu," katanya. 
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan penjenayah terbabit. 
“Suspek masih bersenjata dan kami harap orang ramai berhati-hati selain menyalurkan maklumat segera sekiranya bertemu lelaki terbabit,” katanya yang turut mengedarkan gambar suspek di lokasi kejadian kepada media. 
Katanya, sehingga kini, pihaknya masih belum dapat memastikan jumlah wang dilarikan suspek dan berkemungkinan bernilai ratusan ribu ringgit. 
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK). Mayat mangsa juga dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya. - myMetro

Jenazah dimasukkan dibawa balik selepas bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Serdang, semalam. Foto: Sinar Harian


SERDANG - Panggilan singkat Norazita yang beria-ia benar hendak tahu sejauh mana kasih suaminya, rupanya petanda ajal wanita itu hendak pergi buat selama-lamanya. 
Suaminya, Irwan Kamarudin, 37, sama sekali tidak menyangka itulah panggilan terakhir dan paling singkat daripada isteri tersayang. 
“Abang masih sayang saya?” Begitu pertanyaan Norazita dan berkali-kali dia mengulang soalan itu menerusi panggilan telefon kepada suaminya sekitar jam 5 petang, kira-kira sejam sebelum dia ditembak mati oleh perompak. 
"Kemudian saya jawab, 'abang sayang awak seperti kita mula berkahwin dulu. Tidak pernah berubah kasih sayang abang pada awak," ucap Irwan dalam nada suara menahan sebak. 
Dalam kejadian sekitar 6.20 petang kelmarin, isterinya, Norazita Abu Talib, 37, mati tragis ditembak perompak dalam kejadian rompakan di bank tempatnya bekerja. 
"Tetapi saya tidak boleh bercakap lama dengan isteri saya, kerana waktu itu saya sedang bekerja," luah Irwan yang bekerja sebagai pemandu peribadi di sebuah syarikat di Bukit Jelutong. 
Sambungnya, sekitar 6.20 petang, dia beberapa kali menghubungi Norazita untuk bertanya sama ada isterinya itu sudah pulang ke rumah ataupun belum tetapi panggilan tidak berjawab namun pada ketika itu dia tidak mengesyaki sebarang perkara buruk sehinggalah seorang pengurus bank menjawab panggilan itu dan memintanya segera datang ke bank tersebut. 
"Saya tanya dia apa yang berlaku tapi dia tidak jawab soalan saya, cuma suruh saya datang ke sana. Beberapa minit kemudian, seorang kawan beritahu saya yang dia mendengar ada rompakan di bank isteri saya bekerja, menerusi laman sosial Facebook. 
"Ya ALLAH, ketika itulah hati saya mula terdetik memikirkan sesuatu dan menjadi tidak tenteram," katanya. 
Sehinggalah pada waktu dia sampai, dia begitu terkejut setelah melihat ramai polis di tempat kejadian dan polis tidak membenarkannya masuk ke dalam bank itu. 
Jantungnya berdebar dan katanya, dia bertanyakan keadaan isterinya tetapi polis mengatakan isterinya berada dalam keadaan baik. 
“Pada awalnya, seorang anggota polis memberitahu, isteri saya baik saja, tetapi kira-kira 9 malam, salah seorang anggota polis beritahu yang isteri saya sudah tiada lagi (mati ditembak). 
"Pada saat mendengar berita itu, hati saya bagaikan hancur. Sedih dan pilu berpadu," luah Irwan dan ini bermakna panggilan singkat sejam sebelum kejadian itulah kali terakhir dia mendengar suara Norazita. 
Irwan benar-benar tidak menyangka nasib malang menimpa Norazita sedemikian rupa kerana isterinya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum ajal, dan kesedihan apalagi yang boleh diceritakan saat mendengar khabar, isterinya telah mati ditembak. 
Menceritakan kisah isterinya itu, Irwan berkata, Norazita memang seorang yang agak pendiam, namun sangat baik hati dengan orang lain dan tidak menyangka Norazita terkorban secara kejam di tangan perompak. 
Menurutnya, dia sudah 13 tahun mendirikan rumah tangga bersama arwah dan dikurniakan dua cahaya mata bernama Nurnisa Nabilah, 12, dan Muhd Hazimy, 8. 
“Arwah akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Air Itam Labu, Kampar pada hari ini (semalam),” katanya di Jabatan Forensik, Hospital Serdang, semalam. 
Sementara itu, berkongsi sedih dengan ayahnya, anak sulung arwah, Nurnisa Nabilah berkata dia telah kehilangan ibu yang selama ini menjadi tempat bermanja. 
“Walaupun ibu seorang yang garang, tapi dia sangat sayangkan saya dan Hazimy. 
"Sekarang mak dah tak ada,” kata kanak-kanak itu dalam nada sayu. 
Dalam kejadian kelmarin, Norazita yang bekerja sebagai pegawai bank di Ambank USJ, ditembak mati oleh perompak yang juga pengawal keselamatan di bank yang sama. 
Seisi rakyat Malaysia turut merasai kekejaman yang berlaku terhadap wanita itu apabila perompak berkenaan tergamak menembaknya tanpa sebab sedangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Norazita langsung tidak melawan. 
Lebih mengerikan kerana insiden tembak itu dimuat naik menerusi laman sosial Facebook yang memaparkan Norazita ditembak pada muka hingga menyebabkan separuh dan otaknya hancur. 
Dalam pada itu, perompak kejam tersebut berjaya lari dengan membawa wang rompakan itu dan kini polis sedang memburu pembunuh Norazita. Al Fatihah. - Sinar Harian

Suami serta dua anak Allahyarham menabur bunga rampai ke pusara Norazita. Foto: Sinar Harian

Ibu Allahyarham, Norsham terpaksa di papah oleh sanak saudaranya sebaik tiba di kediamannya, semalam. Foto: Sinar Harian


KAMPAR - Ahli keluarga mangsa tembakan, Norazita Abu Talib, 37, menyifatkan insiden pembunuhan pegawai bank itu sebagai tindakan kejam. 
Sepupu, Musa Othman, 50, berkata, meskipun mereka reda dengan kematian berkenaan, namun terkilan dengan insiden yang dilakukan tanpa rasa perikemanusiaan itu. 
“Pada mulanya kami sangka ia kematian biasa, tak sangka Allahyarham pergi dalam keadaan tragis begini. 
“Dia cuma seorang perempuan, kenapa masih ada orang sanggup lakukan sebegitu? Kalau nak kata marah, memang kami marah, geram pun ada, beberapa saudara lain ada yang tak sanggup nak lihat gambar kejadian pun,” katanya ketika ditemui di Kampung Air Itam Labu, di sini, semalam. 
Musa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Poliklinik Kampar berkata, berita kematian itu hanya diketahui kira-kira jam 8 malam sebelum memaklumkan kepada ibu dan bapa Norazita. 
Katanya, ibu Allahyarham, Norsham Abd Kadir, 63, rebah di kediaman sebaik mengetahui insiden itu sebelum dibawa ke Kuala Lumpur bersama suaminya, Abu Talib Md Isa, 75. 
“Pada mulanya mereka dimaklumkan Allahyarham kena tembak, hanya pada panggilan kedua, barulah kami dimaklumkan yang Allahyarham sudah tiada,” katanya. 
Kali terakhir dia bertemu dengan anak bongsu daripada lima beradik itu ketika cuti Aidiladha, 15 Oktober lepas. 
Suasana pilu dan sedih menyelubungi kampung halaman sebaik jenazah Allahyarham tiba kira-kira jam 7 malam menggunakan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. 
Jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Itam Labu kira-kira jam 7.15 malam untuk disemadikan. 
Sempena cuti Aidiladha lepas, Allahyarham dikatakan menyatakan keinginan untuk makan ikan tilapia kegemarannya. 
Musa berkata, keinginan itu disuarakan kepada ibunya sementelah Allahyarham sukar mendapatkan ikan itu melainkan di kampungnya sahaja. 
“Mujur secara kebetulan saya dapat ikan itu di kolam berhampiran dan memang niat saya untuk berikan kepada dia dan kakak saya di belakang rumah. 
“Saya bersyukur apabila keinginan dia dapat dipenuhi sebelum pergi,” katanya. 
Musa berkata, lagak Norzita yang diibaratkan orang mengidam itu begitu asing kerana Allahyarham jarang bersikap sedemikian. 
Katanya, ketika cuti itu juga, Allahyarham turut menunjukkan sikap pelik apabila membasuh kereta Toyota Wish miliknya dalam hujan. 
“Dalam hati sudah berdetik, mungkin dia buang tabiat basuh kereta pada waktu itu, tetapi tidaklah menegur pula,” katanya. 
Seorang lagi sepupu mangsa, Suhana Abd Aziz, 48, menyifatkan Allahyarham sebagai pendiam, namun mementingkan hubungan kekeluargaan. 
Katanya, meskipun tidak terlalu akrab, namun setiap kali cuti, mereka kerap bertemu di kampung. 
“Suaminya orang sini juga, jadi mereka sekeluarga memang selalu balik kalau cuti panjang dan perayaan. 
“Allahyarham memang tak banyak cakap tapi mesra dengan ahli keluarga dan saudara lain. 
“Saya tak sangka, dia pergi dalam keadaan zalim begitu, sampai sekarang saya tak sanggup nak tengok gambar kejadian, terlalu kejam,” katanya. 
“Perkara dah berlaku, apa pun kami reda dan terima ketentuan ini,” itu kata luahan yang dapat dilontarkan bapa Allahyarham, Abu Talib Md Isa, 75. 
Abu Talib ketika ditemui di kediamannya di Kampung Air Itam Labu, di sini, kelihatan tenang meskipun suara tangisan silih berganti mengiringi jenazah Allahyarham. 
Menurutnya, tiada perasaan marah atau dendam terbit kepada suspek atas insiden itu, sebaliknya menganggap ia satu takdir. 
“Nak marah macam mana.. Biarlah polis yang menyiasat, pakcik serahkan kepada polis sahaja,” katanya. 
Beliau berkata, Allahyarham memang dikenali sebagai seorang yang komited bekerja. 
“Dia memang begitu, tunggu sampai semua kerja betul-betul siap baru akan balik,” katanya. 
Kali terakhir mereka bertemu pada cuti Aidiladha lepas apabila arwah sekeluarga bercuti selama tiga hari di kampung berkenaan. - Sinar Harian




KUALA LUMPUR - Pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai wanita dalam kejadian rompakan di Ambank cawangan Subang Jaya Rabu lepas, melarikan wang tunai berjumlah RM450,000. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superitendan Tan Ah Chua ketika dihubungi Bernama hari ini berkata, maklumat itu disalurkan oleh pihak bank kepada polis. 
Mengenai identiti sebenar suspek yang menggunakan nama Ardi Hamza itu, beliau berkata perkara berkenaan masih dalam siasatan. 
"Polis sedang menunggu pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara," katanya. 
Dalam kejadian 6.18 petang itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita. 
Mangsa yang sudah berkerja selama 16 tahun di bank itu meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek. - Bernama

FB yang dipercayai milik suspek. Sumber: EraPasca

Ardi Hamza dengan pakaian seragam pengawal keselamatan. Foto: EraPasca

Bergaya dengan pump gun. Foto: EraPasca

Perempuan ini dipercayai isteri Ardi. Sumber: EraPasca


KUALA LUMPUR - Akaun Facebook, dipercayai milik Ardi Hamza, 37, suspek utama pembunuhan kakitangan Ambank, Norazita Abu Talib, menjadi perhatian orang ramai sejak kelmarin. 
Laman berkenaan yang menggunakan nama Ardi Ode Putra Katela itu, menggunakan gambar profil mirip wajah suspek yang diedarkan polis sejurus pembunuhan pada Rabu lalu. 
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata polis yang turut memantau, percaya akaun Facebook terbabit milik suspek. 
Berdasarkan semakan BH terhadap laman itu, pemiliknya memuat naik status terakhir, dua hari sebelum pembunuhan terbabit, dengan tulisan, “Jum Blik kampung kita.... mat mlam all” (jom balik kampung kita, selamat malam semua). 
Sehingga jam 9 pagi semalam, seramai 186 pelayar internet berkongsi status terakhir lelaki itu sambil mengecam pembunuhan yang dilakukan dan mengajak orang ramai membantu polis menjejaki suspek. 
Himpunan gambar yang disimpan dalam akuan itu antara lain menunjukkan suspek memakai seragam pengawal keselamatan, lengkap memegang senjata api jenis Pump Gun dan dipercayai dirakamkan ketika bertugas di bank. 
Antara gambar lain yang dimuat naik lelaki itu termasuklah lebih tiga keping gambar longgokan wang tunai dan aktivitinya bersama rakan ketika bersenam dalam gimnasium. 
Berdasarkan bahasa digunakan pada status dan kebanyakan komen dalam laman itu, menunjukkan pemilik akaun terbabit berasal dari Indonesia, sekali gus menguatkan lagi kenyataan polis sebelum ini bahawa suspek berasal dari Sulawesi, Indonesia. 
Dalam kejadian di USJ Sentral, Subang Jaya, jam 6.20 petang Rabu lalu, Norazita, 37, yang juga Pegawai Operasi Ambank Cawangan USJ, maut ditembak di kepala dari jarak dekat oleh pengawal keselamatan tempat kerjanya. 
Suspek kemudian melarikan wang tunai RM450,000 dari bilik kebal bank berkenaan yang sebelum itu dibuka oleh mangsa untuk menyimpan wang. 
Dalam usaha memburu suspek, setakat ini polis menahan tiga individu termasuk isterinya pada hari kejadian kerana dipercayai turut bersubahat dan menemui wang tunai RM30,000. 
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut mengesahkan suspek terbabit menggunakan MyKad palsu berdasarkan nombor dokumen itu tidak wujud dalam sistem maklumat jabatan itu. - Berita Harian 29.10.2013

FB yang dikaitkan dengan Ardi, suspek utama pembunuhan pegawai AmBank. Sumber: EraPasca


KUALA LUMPUR - Seramai 11 individu dipercayai ahli keluarga dan rakan suspek utama kes pembunuhan kakitangan AmBank ditahan sehingga kini, di dua negeri bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. 
Semua suspek iaitu lima perempuan dan enam lelaki berusia 24 hingga 44 tahun itu ditahan di Selangor dan Johor termasuk tiga daripada mereka ditangkap ketika hari pembunuhan itu. 
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, ketika mengesahkan perkara itu berkata, tangkapan terbaru membabitkan seorang lelaki di Johor petang kelmarin, manakala yang lain ditangkap di Selangor. 
“Semua mereka yang juga warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan polis kerana percaya individu terbabit turut mempunyai kaitan dalam kejadian pembunuhan Rabu lalu. 
“Siasatan sehingga kini masih dijalankan dan beberapa lagi individu lain termasuk suspek utama masih menjadi buruan polis,” katanya ketika dihubungi BH, semalam. 
Dalam kejadian di USJ Sentral, Subang Jaya pada jam 6.20 petang, Rabu lalu, kakitangan AmBank, Norazita Abu Talib maut ditembak di kepala dari jarak dekat oleh pengawal keselamatan tempat kerjanya. 
Suspek kemudian melarikan wang tunai RM450,000 dari bilik kebal berkenaan yang sebelum itu dibuka mangsa untuk menyimpan wang. 
Akhbar semalam melaporkan, akaun Facebook dipercayai milik suspek utama pembunuhan itu mula menjadi perhatian orang ramai sejak Ahad lalu. 
Laman itu yang menggunakan nama Ardi Ode Putra Katela menggunakan gambar profil mirip wajah suspek yang diedarkan polis sejurus pembunuhan berlaku. 
Ditanya sama ada suspek utama sudah melarikan diri ke negara jiran melalui jalan tikus sejak kes berkenaan, Abdul Rahim menolak andaian berkenaan, sebaliknya beliau menjelaskan suspek dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang. 
Katanya, ia berdasarkan kawalan ketat di semua pintu sempadan sama ada laluan tikus atau laluan utama, sekali gus menghalang buruan polis itu meloloskan diri. - Berita Harian 30.10.2013


Polis mengklasifikasikan suspek kes tembak pegawai AmBank Rabu lalu, sebagai penjenayah berbahaya. Foto: EraPasca


KUANTAN - Polis mengklasifikasikan suspek kes tembak Pegawai Operasi AmBank cawangan USJ Sentral, Subang Jaya, Rabu lalu, sebagai penjenayah berbahaya kerana masih memiliki senjata pump gun. 
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin (gambar), berkata, pasukan khasnya juga bekerjasama dengan polis di setiap negeri termasuk anggota keselamatan yang menjaga sempadan negara bagi memastikan suspek tidak dapat meloloskan diri. 
Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya belum memerlukan bantuan polis antarabangsa (Interpol) bagi memburu suspek berusia 36 tahun yang menembak mati Norazita Abu Talib, 37, Rabu lalu. 
“Suspek ini penjenayah berbahaya dan boleh bertindak agresif sehingga membahayakan keselamatan orang awam. Jadi, orang ramai diminta menghubungi polis jika mempunyai maklumat bagi memastikan suspek diberkas. 
“Kita perlukan bantuan orang ramai bagi mempercepatkan siasatan kes ini dan berdasarkan pengamatan, kita percaya suspek masih berada dalam negara dan kita akan jejak sampai berjaya menangkapnya,” katanya 
selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Sempena Persidangan Agung Pusat Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Pegawai Diwartakan (PPKP/CPW), Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Inspektor (PPKP/CI) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRPD) Ke-86, semalam. 
Turut hadir, Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani. - Berita Harian 30.10.2013




KUALA LUMPUR - Kumpulan AmBank menamatkan serta-merta perkhidmatan firma keselamatan Kawalan Prima Sdn Bhd di semua cawangan bank, anak syarikat dan insuran milik kumpulan itu susulan kejadian tragik bunuh dan rompak pegawai AmBank Norazita Abu Talib, cawangan USJ Sentral, 23 Oktober lalu oleh pengawal keselamatan tempat kerjanya. 
Dalam kenyataannya, semalam, tindakan itu dilakukan segera susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta pelanggan syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan itu supaya berhenti menggunakan khidmat syarikat berkenaan. 
“Kumpulan kami sudah mendapatkan pengganti pengawal keselamatan lain daripada syarikat berwibawa bagi memastikan keselesaan pelanggan berurusan di semua premis kami. 
“Keutamaan kami memastikan keselamatan pekerja dan pelanggan kami,” kata di sini, semalam. 
Dalam kejadian jam 6.18 petang itu di AmBank Cawangan Subang Jaya, Selangor, Norazita, 37, meninggal dunia selepas ditembak suspek ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal bersama seorang lagi pegawai wanita. 
Suspek kemudian melarikan wang tunai RM450,000 dan siasatan mendapati dia bukan rakyat Malaysia berasal dari Sabah, tetapi rakyat negara jiran yang menggunakan kad pengenalan palsu ketika memohon kerja sebagai pengawal keselamatan. 
Susulan kejadian itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati syarikat pengawal keselamatan terbabit melakukan beberapa kesalahan termasuk menggaji pendatang tanpa izin dan individu yang mempunyai rekod jenayah. 
Atas kesalahan itu, KDN membatalkan lesen syarikat keselamatan itu pada 25 Oktober lalu kerana melanggar beberapa syarat, termasuk tidak membuat tapisan keselamatan terhadap petugas selain melanggar syarat Akta Agensi Pengendalian 1971. - myMetro 1.11.2013




KUALA LUMPUR - Suspek yang dikehendaki polis bagi kes rompak dan tembak mati seorang pegawai bank AmBank di Subang Jaya, 23 Oktober lalu, berjaya diberkas di Kota Tinggi, awal pagi tadi. 
Bertindak atas maklumat, Pasukan Cantas Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menangkap seorang lelaki di Kampung Belungkor, Kota Tinggi pada jam 7 pagi tadi, demikian menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.  
"Pihak polis percaya dengan penahanan suspek utama ini, kes berkenaan berjaya diselesaikan," katanya.  
Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitter rasmi beliau. 
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang turut memberikan kerjasama sehingga tertangkapnya suspek berkenaan. - Berita Harian 10.11.2013

Pengawal keselamatan yang membunuh Norazita dikawal ketat oleh polis. Foto: Berita Harian

KOTA TINGGI: Segelintir penduduk mendengar bunyi tembakan di kawasan berhampiran Kampung Tanjung Belungkor di sini, pagi tadi pada operasi menahan seorang suspek kes tembak mati pegawai bank di Subang Jaya. 
Seorang nelayan, Shamsudin Mohd Kassim, 47, berkata, dia mendengar tiga das tembakan. 
Menurutnya, dia yang pulang dari laut kira-kira jam 3 pagi tadi, sedang tidur ketika mendengar bunyi tembakan itu. 
"Kawasan ini kebiasaannya sunyi dan aman pada waktu malam biar pun terdapat beberapa kuari berhampiran kerana ianya tidak beroperasi paca waktu malam. 
"Oleh itu, saya terkejut mendengar tembakan secara tiba-tiba. Ketika itu, hujan lebat melanda kawasan ini," katanya. - myMetro 10.11.2013

Suspek kes rompakan dan bunuh pegawai AmBank Subang Jaya dikawal ketat semasa keluar dari mahkamah. Foto: Bernama


PETALING JAYA - Suspek utama dalam kes menembak mati pegawai AmBank, Norazita Abu Talib ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini. 
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Petaling Jaya, Nazri Omran dan suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 
Suspek yang memakai T Shirt berwarna hitam dan berseluar jeans biru dibawa ke Kompleks Mahkamah Majistret di sini pada jam 3.17 petang. 
Dia dikawal ketat oleh lebih sepuluh anggota polis bersenjata dibawa ke Mahkamah Majistret dengan tangan digari ke belakang. 
Suspek kemudian dibawa keluar pada jam 3.40 petang dengan kereta polis dan diiringgi lima kereta polis yang lain. 
Dalam kejadian 23 Okt lalu, Norazita meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak oleh suspek di Subang Jaya. 
Suspek juga melarikan diri dengan hasil rompakan wang tunai RM450,000. - myMetro 10.11.2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.