Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 3 Mac 2013

Aktiviti Penduduk Lahad Datu Berjalan Seperti Biasa

Orang ramai membeli barangan keperluan dengan kuantiti yang banyak di sebuah pasaraya disebabkan bimbang dengan situasi yang berlaku ketika tinjauan di sini, hari ini. Foto: Sinar Harian


LAHAD DATU - Aktiviti masyarakat di Lahad Datu hari ini berjalan seperti biasa walaupun terdapat sebilangan kecil kedai yang tutup. 
Tinjauan Bernama sejak pukul 8 pagi tadi mendapati banyak kedai, termasuk restoran dikunjungi oleh orang ramai, khususnya yang berkeluarga dan mempunyai anak kecil. 
Ketika ditemui di sebuah pasar raya besar di sini, Sapardi Sanang, 41, berkata beliau mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membawa keluarga berbelanja. 
"Biasalah ni, ramai orang datang berbelanja di hujung minggu. Kebetulan pula baru terima gaji. 
"Memang setiap bulan selepas terima gaji, orang ramai yang datang (ke pasar raya) luar biasa. Lebih-lebih lagi hari ini cuti rehat," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 
Ditanya mengenai pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, yang terletak di kawasan terpencil kira-kira 130 kilometer dari sini, Sapardi berkata beliau yakin pasukan keselamatan negara dapat mengawal keadaan bagi memastikan masyarakat di situ menjalani kehidupan seharian dengan aman. 
Di Kampung Tanduo, anggota Unit Komando sedang melakukan kawalan. Foto: Bernama

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang sibuk memunggah bekalan ketenteraan dari pesawat hari ini. Foto: Sinar Harian
Fatihah Abdullah, 30, berkata kunjungannya ke pasar raya itu merupakan rutinnya setiap Ahad. 
Beliau yang membeli barangan untuk keluarganya, berkata beliau masih berasa selamat meluangkan hujung minggu bersama dua anak kecilnya membeli barangan keperluan. 
Cuaca panas terik juga tidak menghalang Ariany Abdul Rahman, 36, membawa anaknya yang berusia empat bulan untuk keluar bersiar-siar. 
Ibu kepada dua anak itu berkata beliau mengambil peluang hari Ahad bersama keluarganya untuk membeli-belah bukan sahaja di pasar raya itu, tetapi juga di kedai-kedai lain di pusat bandar. 
"Sekali sekala kita keluar ni memang seronok. Anak-anak pun seronok dapat beli barang baru yang mereka suka," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.