Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 27 Mac 2013

Kereta Perompak Masuk Longkang

Ruang pameran menempatkan gajet telekomunikasi yang dipecahkan perompak. Foto: Sinar Harian

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Alor Gajah, Asistan Superintendan Md Dom Dollah, meninjau kereta dinaiki tiga perompak.

ALOR GAJAH - Sekumpulan perompak gagal melarikan semua gajet yang dicuri dari sebuah kedai alat telekomunikasi di sini, apabila kereta yang dinaiki terbabas memasuki longkang di deretan kedai sebuah taman perumahan, awal pagi semalam. 
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, tiga perompak terbabit menaiki Perodua Kancil putih yang diletakkan di tepi kedai sebelum pergerakan mereka disedari polis peronda dari jauh. 
Jelasnya, perompak berkenaan melarikan wang tunai anggaran RM300, 19 telefon bimbit pelbagai jenis, 49 kad penyimpan data, empat headphone, tiga beg silang dan tiga alat pemain cakera yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM8,000. 
Tambahnya, perompak terbabit masuk ke dalam kedai berkenaan melalui pintu hadapan dengan mengumpil bahagian bawah pintu besi itu menggunakan peralatan membaiki kenderaan dan memecahkannya. 
“Seorang daripada mereka menunggu dalam kereta sementara dua lagi perompak melakukan kegiatan pecah kedai sebelum melarikan barangan yang dijual di premis itu,” katanya. 
Kata sumber, ketika memasukkan barang curi ke dalam kenderaan, perompak tersebut bergegas masuk ke dalam kereta untuk melarikan diri selepas menyedari kelibat polis peronda yang terpandangkan kegiatan mereka. 
Menurutnya, dalam keadaan kelam kabut perompak yang memandu terus menghala ke arah belakang kedai namun sebuah kereta diletakkan di belakang kedai menghalang laluan berkenaan. 
“Akibat panik dan takut, kereta itu terbabas masuk longkang dan mereka bertindak meloloskan diri ke arah taman perumahan berhampiran,” katanya. 
Sumber berkata, pemeriksaan awal dalam kereta berkenaan menemui sembilan telefon bimbit dan sebahagian kad penyimpan data serta alat pemain cakera selebihnya dipercayai telah dilarikan perompak terbabit. 
Tambahnya, turut ditemui di lokasi kejadian adalah peralatan membaiki kereta dan satu tukul besi dipercayai digunakan untuk mengumpil dan memecahkan cermin almari yang menempatkan gadjet telekomunikasi. 
“Kereta berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk siasatan lanjut dan polis kini sedang giat memburu kumpulan perompak terbabit,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan kejadian. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.