Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 24 Mac 2013

Potong Kemaluan Bapa Kerana Ikut Ajaran Sesat

Seorang lelaki potong kemaluan bapanya kerana terpengaruh dengan ajaran sesat melalui internet. Imej: google

Pengikut ajaran sesat membunuh diri secara beramai-ramai di Jonestown, Amerika Selatan pada tahun 1978

ACP K. Manoharan. Foto: Sinar Harian

Mangsa dan suspek dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Foto: imej google

Keadaan mangsa kritikal ketika tiba di hospital

DUNGUN - Akibat terpengaruh dengan ajaran sesat yang dipelajari menerusi internet, seorang anak sanggup memotong kemaluan bapanya sebelum bertindak memotong kemaluannya sendiri di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya, di sini awal hari ini. 
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, suspek yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di ibu negara turut bertindak memaksa abang iparnya memotong kemaluan sendiri namun lelaki tersebut berjaya melarikan diri. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata, suspek yang menetap di Balakong, Selangor pada mulanya pulang untuk bercuti bersama keluarganya di kampung sejak minggu lepas. 
Namun selepas lima hari bercuti di kampung, suspek mengambil keputusan menghubungi ahli keluarganya yang lain untuk berkumpul di rumah tersebut bagi menyampaikan 'amanat' yang mustahak. 
"Ketika sebahagian ahli keluarga berkumpul sejak petang semalam, suspek mula berkongsi dan berceramah mengenai ajaran sesat yang dipelajarinya dengan mengatakan dunia akan kiamat pada Jumaat. 
Bagaimanapun suspek tidak memberikan tarikh sebenar hari kiamat seperti yang didakwa berlaku. 
"Suspek kemudiannya secara tiba-tiba bertindak agresif dengan merotan dan memukul bapanya bagi membuatkan warga emas itu menangis untuk 'mengeluarkan semangat Imam Nawawi' daripada badan bapanya, namun gagal," kata Manoharan ketika ditemui di pejabatnya di sini. 
Manoharan berkata setelah gagal membuatkan bapa menangis, suspek meminta sebilah pisau dari abang iparnya sebelum meluru masuk ke bilik tidur bapanya dan bertindak memotong kemaluan bapanya sebelum memotong kemaluannya sendiri. 
Akibat kejadian itu, suspek dan mangsa yang berusia 67 tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat mengalami pendarahan yang banyak. 
Beliau berkata suspek dan mangsa kini masih berada dalam keadaan kritikal dan pihak hospital sedang berusaha untuk menyambung semula kemaluan dua beranak itu yang terputus. 
"Justeru, kita percaya suspek terpengaruh dengan ilmu sesat yang dipelajari menerusi internet hasil siasatan yang dijalankan," katanya. 
Kes disiasat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. 
Sementara itu, isteri suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Suzi, 33, berkata suaminya mula menunjukkan perubahan sejak dua bulan lalu. 
Namun beliau tidak mengsyaki sesuatu yang pelik dan hanya menyangka suaminya ingin berubah dan mendekatkan diri kepada Tuhan. 
"Suami telah balik ke kampung sejak lima hari lalu dan dia ada mengajak saya pulang namun saya kata tidak dapat pulang bersamanya kerana anak masih bersekolah. 
"Saya tiba di kampung suami kira-kira pukul 5 pagi tadi dan terkejut ketika sampai ahli keluarga menyuruh segera ke Hospital Dungun sebelum mendapati suami dan ayah mertua saya cedera," katanya ketika ditemui di hospital. - Bernama

Kemaskini 25.3.2013
Isteri mangsa masih trauma dengan tragedi yang berlaku
DUNGUN - “Dia seorang anak yang baik, tak sangka dia sanggup bertindak begini,” luah ibu kepada seorang lelaki yang memotong kemaluan bapanya dalam satu kejadian, di sini, awal pagi kelmarin. 
Dalam kejadian itu, suspek, 40, dikatakan naik angin sebelum bertindak memukul bapanya, selain turut menendang mangsa. 
Tidak cukup dengan itu, suspek kemudiannya masuk ke dapur dan mengambil pisau pemotong sayur lalu bertindak memotong kemaluan bapanya, sebelum turut memotong kemaluannya sendiri. 
Menurut isteri mangsa, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising. 
Isteri peneroka Felda itu menceritakan, sebaik tersedar dari tidur, dia melihat anaknya sedang membelasah suaminya, lalu dia bertindak menjerit sekuat hati untuk menghalang anak lelakinya itu daripada terus memukul bapanya. Keadaan suspek ketika itu seolah-olah dirasuk. 
Wanita berkenaan memberitahu, walaupun cuba menghalang, namun anaknya itu tetap memukul bapanya dan sekali lagi dia terkejut apabila suspek yang bersenjatakan pisau yang diambil dari dapur, bertindak menyerang bapanya sebelum memotong kemaluan mangsa. 
“Dia macam tidak sedarkan diri, selepas potong kemaluan bapanya, dia potong kemaluan sendiri pula. 
"Saya macam tidak percaya dia sanggup bertindak begitu kerana sebelum ini dia tidak pernah menderhaka pada kami,” kata ibu malang itu. 
Selepas tragedi berdarah itu, suspek dan bapanya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut. 
Menurut warga emas itu, anak lelakinya itu difahamkan pulang bercuti di rumahnya di Felda Kerteh Enam sejak beberapa hari lalu, manakala isteri dan anak-anaknya masih berada di Kuala Lumpur kerana sesi cuti persekolahan baru bermula. 
Ibunya memberitahu, sebelum ini anak lelakinya itu tidak pernah berperangai sedemikian dan sejak pulang, tiada perubahan ditunjukkan oleh suspek. 
"Sejak pulang bercuti di kampung, dia kelihatan biasa sahaja.
“Cuma yang pelik pagi kelmarin, saya lihat dia sedang menari-nari dalam rumah. Dia tak pernah berperangai begitu sebelum ini, tapi saya tak syak apa-apa kerana mengagak dia hanya main-main,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu. 
Sementara itu, isteri suspek yang hanya ingin dikenali sebagai Su berkata, suaminya itu pulang awal ke kampung, manakala dia pulang berasingan bersama anak-anak ekoran cuti sekolah baru bermula. 
Su berkata, kali terakhir dia menghubungi suaminya itu kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, sehari sebelum kejadian. 
Menurut Su, dalam perbualan telefon, suaminya itu menyatakan perasaan rindunya pada anak-anak dan meminta isterinya itu segera pulang ke kampung mentuanya di Felda Ketengah Jaya. 
Su berkata, ketika berada di rumahnya di Balakong, Selangor, tiada perubahan pelik ditunjukkan suaminya itu, cuma bapa kepada tiga anak itu sejak seminggu lalu kerap kali berulang ke masjid, selain tidak meninggalkan solat lima waktu. 
Menurut wanita yang berasal dari Machang Kelantan itu, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Dungun dan kejadian itu diketahuinya setelah dihubungi ibu mentuanya. 
“Bila saya tengok perubahan dia ke arah itu (kebaikan) saya bersyukur sebab dia semakin dekat dengan tuhan. 
"Namun saya terkejut apabila diberitahu ibu mentua, dia melakukan perkara yang tidak masuk akal ini,” katanya yang ditemui di pekarangan Unit Kecemasan Hospital Dungun. 
Dua beranak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. 
Mangsa, 67, yang putus kemaluan difahamkan dalam keadaan kritikal. - Sinar Harian

Kemaskini 4.12 pm 

KUALA TERENGGANU - Mangsa yang kemaluannya dipotong oleh anaknya masih kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata kemaluan mangsa berjaya disambung semalam namun lelaki berusia 67 tahun itu masih belum sedarkan diri. 
Pihak hospital juga berjaya menyambung semula kemaluan suspek dan dia kini dilapor stabil serta ditempatkan di wad biasa di hospital sama, katanya kepada pemberita hari ini. 
Menurut Manoharan, polis masih menunggu laporan daripada hospital untuk mengetahui sama ada suspek mengalami gangguan mental atau sebaliknya. 
"Pihak kami juga akan menahan suspek sebaik suspek pulih dari kecederaan dalam masa terdekat," katanya. - myMetro


Kemaskini 26.3.2013 
KUALA TERENGGANU - “Saya tidak tahu apa yang saya sudah buat pada ayah kerana ia berlaku di luar kawalan saya,” kata penyelia kilang berusia 40 tahun yang memotong alat sulit bapanya dalam kejadian di rumah keluarganya di FELDA Kerteh 6, Ketengah Jaya, Dungun, kelmarin. 

Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, bapa empat anak itu memotong kemaluan bapanya berusia 67 tahun sebelum memotong kemaluan sendiri bertujuan mengeluarkan ‘semangat Imam Nawawi’ selepas dipercayai terpengaruh dengan ajaran sesat. 

Lelaki itu yang ditemui di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia hanya tersedar selepas parah pada kemaluan dan celah kangkang ketika berada di hospital. 

“Ketika itu, saya tergamam apabila diberitahu yang saya memukul ayah dan memotong alat sulit kami kerana kejadian itu bukan dalam kawalan dan tidak tahu bagaimana ia terjadi. 

“Saya tidak dapat menahan sedih dan perasaan bersalah apabila ayah kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya yang masih diikat kedua-dua tangan dengan tali di katil wad. 

Adik lelaki itu yang enggan dikenali berkata, alat sulit bapa dan abangnya sudah disambung semula menerusi pembedahan kelmarin, namun bapanya masih ditempatkan di ICU berikutan parah. 

Harian Metro semalam melaporkan seorang penyelia kilang di Balakong, Selangor, bertindak luar kawalan apabila memotong kemaluan bapanya selepas taksub dengan ajaran sesat yang dipelajari melalui laman web. - myMetro

Kemaskini 30.3.2013
KUALA TERENGGANU - Mangsa ketaksuban ajaran sesat oleh anak sendiri yang dipotong kemaluan, berkemungkinan tidak akan pulih sepenuhnya. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mangsa berumur 67 tahun berkemungkinan berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan sampingan lain, kesan daripada kecederaan yang dialaminya. 
“Mungkin disebabkan faktor usia, mangsa tidak dapat pulih seratus peratus, masalah kesihatannya mungkin akan terjejas selepas ini. 
“Mangsa kini masih ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini," katanya, semalam. 
Menurutnya, walaupun keadaannya semakin stabil, namun mangsa masih memerlukan bantuan alat pernafasan. 
"Sementara itu, suspek berusia 40 tahun yang dilaporkan stabil kini difahamkan mengalami masalah tekanan emosi dan masih ditempatkan di wad biasa HSNZ. 
“Suspek dilaporkan dalam keadaan emosi tidak stabil, dipercayai mengalami masalah gangguan mental dan jika keadaannya berlarutan, berkemungkinan dia akan menjalani pemeriksaan mental,” katanya. 
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan gara-gara dipercayai terlalu taksub dengan ajaran sesat dipelajari melalui laman web, seorang anak tergamak memotong kemaluan bapanya yang juga seorang bilal masjid menggunakan sebilah pisau, kononnya untuk mengeluarkan semangat ‘Imam Nawawi’ di dalam badan. 
Ekoran kejadian itu, mangsa dilaporkan kritikal walaupun kemaluannya berjaya disambung semula kerana mengalami pendarahan serius semasa kejadian dan faktor usia. - Sinar Harian

Kemaskini 1.4.2013 

KUALA TERENGGANU - Mangsa yang kemaluannya dipotong oleh anak kandungnya masih belum sedarkan diri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata mangsa yang berusia 67 tahun itu kini stabil setelah menjalani pembedahan untuk menyambung kembali kemaluannya Ahad lepas. 
Beliau berkata pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada beberapa anggota keluarga mangsa bagi membantu siasatan. 
"Keadaan mangsa telah stabil namun masih tidak sedarkan diri manakala suspek pula mengalami gangguan emosi. 
"Walaupun emosi suspek masih belum stabil namun siasatan lanjut berhubung kes itu tetap dijalankan dan penahanan akan dilakukan sebaik suspek pulih daripada kecederaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 
Manoharan berkata setakat ini pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada pihak hospital untuk mengetahui keadaan ebenar suspek. 
Pada 24 Mac lepas seorang penyelia di sebuah kilang di ibu negara bertindak memotong kemaluan bapanya sebelum memotong kemaluannya sendiri. 
Dalam kejadian 1.30 pagi di kediaman keluarganya di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya, Dungun, suspek yang berusia 40 tahun itu dipercayai terpengaruh dengan ajaran sesat yang dipelajarinya menerusi Internet. 
Suspek sebelum itu dikatakan bertindak agresif dengan merotan dan memukul bapanya bagi membuatkan warga emas berkenaan menangis untuk mengeluarkan "semangat Imam Nawawi" daripada badan bapanya. 
Setelah gagal membuatkan bapanya menangis, suspek kemudian meminta sebilah pisau daripada abang iparnya sebelum meluru masuk ke bilik tidur bapanya dan bertindak memotong kemaluan warga emas itu sebelum memotong kemaluan sendiri. 
Dia juga turut memaksa abang iparnya berbuat demikian namun lelaki itu berjaya melarikan diri. - Bernama

Kemaskini 6.4.2013 
 
KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas yang kemaluannya dipotong oleh anak kandung sendiri bulan lalu dan terpaksa diberi rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini kini sudah pun sedarkan diri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Ma noharan berkata, keadaan warga emas itu stabil setelah dia menjalani pembedahan untuk menyambung kemaluannya yang terputus dalam kejadian pada 24 Mac lepas.
Beliau berkata, mangsa berusia 67 tahun itu mula se darkan diri pada Rabu lalu.
“Sementara itu suspek yang berusia 40 tahun yang kemaluannya turut cedera akibat mahu dipotong sendiri dengan pisau terpaksa menjalani pembedahan sekali lagi kerana belum sembuh sepenuhnya, “ katanya kepada pem berita hari ini.
Menurut beliau, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada pihak hospital untuk mengetahui keadaan sebenar suspek. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.