Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 18 Mac 2013

Rahsia Tauke Rempah Jenama Cik Nor

Abdul Rahim dan Norisah mahu pastikan pengguna mendapat rempah yang terjamin halal. Foto: Sinar Harian

Rempah siap dikisar halus disusun mengikut jenis dan berat sebelum dimasukkan ke dalam pek kecil. Foto: Sinar Harian

Rempah kari ikan, kicap bercili dan daging antara jenama Cik Nor yang boleh didapati di Lembah Klang. Foto: Sinar Harian


NIAT mereka hanya satu, iaitu mahu menghasilkan rempah yang terjamin halal bagi kegunaan saudara Islam yang lain. 
Hasrat itu masih kekal dan menjadi motivasi kepada pasangan Abdul Rahim Yamman, 62, dan Norisah Napiah, 57, pemilik Sumayyah Enterprise yang menghasilkan pelbagai rempah di bawah jenama Cik Nor. 
Seperti tiada apa yang mampu mematahkan semangat mereka, pasangan itu kini ingin maju setapak lagi dengan berusaha mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi meluaskan pasaran mereka. 
“Kami nak besarkan perniagaan dan menembusi pasar raya besar tapi benda paling penting adalah sijil halal. Sebelum ini kami beroperasi dari rumah sebelum mula menyewa kilang ini pada penghujung 2009. 
“Sudah RM40,000 pinjaman bank dibuat untuk mengubah suai premis ini mengikut spesifikasi Sirim Bhd bagi memastikan produk kami layak menerima cop halal Jakim. Insya-ALLAH kami akan menerima sijil halal dua bulan lagi,” kata Abdul Rahim. 
Sumayyah Enterprise kini beroperasi di kilang satu tingkat setengah di Salak Selatan, Kuala Lumpur disewa daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Kilang itu mampu menghasilkan lebih 1,000 kilogram rempah setiap bulan. 
"Saya mula berniaga rempah selepas suami saya pencen sebagai pegawai kerajaan pada 2006. Pada awalnya kami ambil terus rempah dari Pulau Pinang sebelum mula buat sendiri pada 2007,” kata Norisah. 
Norisah berkata, dia mahu membuat rempah secara besar-besaran selepas melihat ada pihak kurang yakin dengan perniagaan rempah. 
“Semasa saya sertai satu majlis di Kuala Lumpur, ada seorang wakil agensi datang dan tanya: “Apa matlamat makcik buat rempah ni?”. 
“Saya jawab, saya buat rempah kerana nak pastikan orang Islam mendapat produk halal,” ceritanya yang menggunakan resipi turun temurun untuk menghasilkan rempah itu. 
“Memang banyak rempah di pasaran sekarang ini mempunyai sijil halal tetapi kami mahu menambahkan rempah halal supaya pengguna mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan produk terjamin halal buatan orang Islam sendiri, dan bukan hanya produk halal dikeluarkan syarikat bukan Islam,” katanya. 
Selain menjadi pembekal rempah secara pukal kepada pengusaha katering atau kedai makan, Abdul Rahim dan Norisah yang menetap di Bandar Tun Razak turut menjual sendiri rempah jenama Cik Nor keluaran mereka di lapan pasar tani sekitar Lembah Klang. 
“Di pasar tani, kami jual rempah mengikut gram, bukan rempah di dalam paket kerana pelanggan lebih suka begitu. Memang seronok meniaga di pasar tani, terutama apabila tahu pelajar atau diplomat Malaysia di luar negara pun akan datang beli rempah kami bila mereka balik Malaysia. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.