Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 6 Mac 2013

Khabar Dari Manila

Tunjuk perasaan yang membantah tindakan ketenteraan Malaysia di luar Kedutaan Malaysia di Manila semalam.-AFP

Tunjuk Perasaan Di Hadapan Kedutaan Malaysia  
MANILA - Kira-kira 40 aktivis berhaluan kiri dan Islam menunjuk perasaan di luar Kedutaan Malaysia di sini semalam bagi mendesak tindakan ketenteraan Malaysia ke atas para pengikut Sultan Jamalul Kiram III di Kampung Tanduo, Sabah dihentikan. 
"Hentikan pembunuhan rakyat Filipina di Sabah," jerit para penunjuk perasaan sambil membakar gambar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjabat tangan dengan Presiden Filipina, Benigno Aquino III. 
Kedutaan Malaysia terpaksa ditutup ekoran bantahan tersebut. 
Para penunjuk perasaan itu turut menyelar pentadbiran Aquino kerana tidak menyokong perjuangan adik Jamalul Kiram, Raja Muda Agbimuddin dan para pengikutnya di Sabah. 
"Pertahankan kedaulatan negara kita," kata salah satu sepanduk yang dibawa penunjuk perasaan itu. 
Pihak keselamatan bertindak mengawal kawasan kedutaan semasa tunjuk perasaan itu berlangsung. - Agensi / Kosmo!

Nur Misuari bersama isterinya, Tarhati Ibrahim Arsad di Lapangan Terbang Manila. Foto: Philstar

Jamalul Kiram III yang mengaku Sultan Sulu. Foto: imej carian google

Misuari menunjukkan solidariti dengan Jamalul Kiram III di Manila. Foto: globalnation.inquirer

Misuari Beri Amaran Kepada Malaysia

MANILA - Pengerusi dan pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari memberi amaran kepada pihak berkuasa Malaysia supaya tidak membunuh para pengikut Sultan Jamalul Kiram III di Kampung Tanduo, Sabah, lapor portal berita ABS-CBNnews.com semalam. 
Misuari turut menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak mengapa-apakan adik Jamalul Kiram, Raja Muda Agbimuddin. 
"Sejurus anda berbuat demikian ia sama dengan mengisytihar perang terhadap orang kami dan MNLF. Ia menjadi tugas untuk kami melindungi orang kami," katanya. 
"Setiap titik darah mereka adalah suci buat kami,' tambah Misuari. 
Misuari bagaimanapun menafikan beliau merupakan dalang dalam kejadian pencerobohan para pengikut Jamalul Kiram di Sabah. 
"Menjadi pembiaya kewangan bukannya satu persoalan." 
"Kenapa saya perlu menjadi pembiaya para pengikut Sultan? Hanya kira-kira 200 orang (pengikut Jamalul Kiram yang menceroboh Sabah). Itu bukannya cara saya," katanya kepada pemberita semasa menemui sultan pengganas itu di rumahnya di sini. 
Jamalul Kiram yang mendakwa sebagai Sultan Sulu mengarahkan pengikut-pengikutnya yang diketuai adiknya menceroboh Lahad Datu pada Februari lalu kerana mendakwa ia merupakan tanah warisan Kesultanan Sulu. 
Misuari berkata, sebagai pemimpin MNLF, dia mampu untuk menggerakkan seramai 4,000 orang untuk memburu anggota-anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang pernah menjadikan warga asing sebagai tebusan di Mindanao. 
Namun, beliau tidak menafikan sebahagian pengikut Jamalul Kiram merupakan anggota MNLF. 
"Mereka (anggota-anggota MNLF) pergi ke sana (Sabah) tanpa pengetahuan saya. 
"Saya tidak mengarahkan sesiapa untuk menyertai mereka," katanya. 
Misuari pernah ditangkap di Malaysia pada tahun 2001 kerana dituduh mengetuai pemberontakan yang menyebabkan kira-kira 100 orang terbunuh di selatan Filipina. 
Bagaimanapun, sebuah mahkamah telah membebaskan Misuari kerana tiada bukti yang mencukupi bagi mendakwa beliau menjadi dalang dalam serangan di Pulau Jolo. 
Sementara itu, Presiden Filipina, Benigno Aquino III sebelum ini berkata, krisis yang berlaku jelas menunjukkan ada konspirasi sehingga menyebabkan Jamalul Kiram dan para pengikutnya membuat tuntutan ke atas Sabah. 
Aquino menyatakan Jamalul Kiram perlu membelanjakan sekurang-kuranya 100,000 peso (RM7,615) bagi menyewa sebuah bot besar untuk menghantar para pengikutnya ke Lahad Datu. 
Menurutnya, keluarga Kiram III menggunakan dua buah bot besar dan sebuah bot laju ke Sabah. 
Aquino menjelaskan, Jamalul Kiram sendiri tidak mungkin mampu untuk membiayai operasi itu kerana beliau menerima bantuan kebajikan daripada pemerintah bagi menjalani rawatan dialisis. - Agensi / Kosmo!

Abraham Idjirani yang menjadi jurucakap Jamalul Kiram III. Foto: Rappler

Abraham Idjirani di samping Jamalul Kiram III. Foto: aljazeera

'Jurucakap Kesultanan Sulu' Nafi Raja Muda Terbunuh  
MANILA - Kesultanan Sulu menafikan laporan akhbar Malaysia bahawa Azzimudie Kiram, yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu, telah terbunuh dalam serangan pasukan keselamatan Malaysia pagi ini.
MenurutInterAksyon.com, portal berita dalam talian saluran TV Filipina TV5, jurucakap kesultanan Abraham Idjirani telah bercakap dengan Azzimudie melalui telefon di hadapan pemberita semasa taklimat media di Manila petang ini. 
"Datu Raja Muda (Azzimudie) dan para pengikutnya semua masih hidup," Idjirani dipetik sebagai berkata. 
Beliaumengumpamakan Azzimudie "seperti musang", kerana dia sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mengelakkan pasukan keselamatan Malaysia. 
Utusan Malaysia, dalam SMS berita petang ini, memetik sumber tentera sebagai berkata Azzimudie dipercayai telah terbunuh dalam serangan udara hari ini. - Malaysiakini

Penyokong Jamalul Kiram III memegang sebuah poster semasa protes di hadapan Masjid Biru di Taguig, Manila pada 1 Mac 2013

Sumber: The Malaysian Insider

10 Ribu Rakyat Sulu Belayar Ke Sabah Untuk Bantu 


KUALA LUMPUR, 5 Mac — Ribuan penduduk Tausug atau lebih dikenali sebagai Sulu telah belayar ke Sabah untuk membantu sahabat militan Filipina mereka itu berikutan serangan besar-besaran pasukan keselamatan Malaysia sejak pagi tadi, lapor The Philippine Inquirer hari ini. 
Dakwaan yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Islam Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Habib Hashim Mudjahab, itu bercanggah dengan laporan kebanyakan media yang pihak berkuasa Malaysia dan Filipina yang menghalang laluan masuk ke Lahad Datu, di mana militan berkenaan berkubu. 
“Kami tidak mampu menghalang orang-orang kami. Kami sedih, dan ramai orang kami, termasuk mereka yang bukan pejuang, pergi ke Sabah untuk membantu tentera sultan,” kata Mudjahab dipetik akhbar tersebut. 
Namun Inquirer turut melaporkan penafian berkenaan pergerakan tersebut daripada Ketua Angkatan Tentera Mindanao Barat Lt. Gen, Rey Ardo, dan juga pemangku Gabenor Wilayah Autonomi Muslim Mindanao Mujib Hataman. 
Kedua-dua pemimpin itu berkata mereka tidak pasti berkenaan perkara itu. 
Jelas Mudjahab, bagaimanapun, 10,000 Tausug daripada Basilan, Sulu, Tawi-Tawi dan Zamboanga telah meninggalkan Filipina sejak malam tadi dalam menggunakan bot pancung melalui “pintu belakang selatan.” - laluan yang menjadi laluan pelayar. 
Pegawai rasmi MNLF berkata halangan tentera laut juga tidak akan berkesan kerana mereka tidak biasa dengan perairan tersebut dan boleh melepasinya tanpa rasa curiga. 
“Ia soal maruah dan harga diri, dan orang-orang kami sedia untuk berkorban,” tambahnya. 
Awal hari ini, pemimpin MNLF, Nur Misuari menafikan penglibatan dalam ketegangan di Sabah dalam satu sidang media, yang masih berterusan. - The Malaysian Insider


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.