Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 22 Mac 2013

10 Maut Akibat Rusuhan Kaum Di Myanmar

Dua penduduk memerhatikan masjid terbakar dalam rusuhan yang melanda Meikhtila, tengah Myanmar

Seorang lelaki berdiri di hadapan masjid yang dibakar

Pergaduhan antara penduduk Buddha dan Muslim menyebabkan perintah berkurung dikuatkuasakan selama dua hari

Rusuhan ini membabitkan penduduk yang berlainan agama

Lebih 200 penduduk bergaduh di jalanan selepas satu pertikaian di sebuah kedai emas milik peniaga Islam

YANGON - Perintah berkurung dikuatkuasakan di bandar di tengah Myanmar selepas rusuhan yang bertukar ganas menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh termasuk seorang sami Buddha, kata seorang ahli parlimen tempatan semalam. 
Keganasan yang berlaku di bandar Meiktila adalah yang terburuk sejak pertempuran antara penduduk Buddha dan Islam di negeri barat Rakhine, tahun lalu. 
Ahli parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Win Htein, berkata beliau melihat mayat di tempat kejadian dalam pergaduhan terbaru di bandar Meiktila semalam. 
“Lebih 10 orang terbunuh,” katanya kepada AFP melalui telefon dari bandar terbabit yang juga kawasan parlimen diwakilinya. 
Lebih 200 penduduk bergaduh di jalanan selepas satu pertikaian di sebuah kedai emas milik peniaga Islam yang bertukar ganas, kata satu kiriman di halaman Facebook Polis Myanmar. 
Polis melaksanakan perintah berkurung pada tengah malam untuk mengawal keadaan selepas penunjuk perasaan membakar beberapa masjid. 
“Tiga masjid musnah dibakar,” kata seorang pegawai polis tempatan kepada AFP melalui telefon, tetapi menambah bahawa suasana kembali tenang di kawasan terbabit. 
“Apa yang berlaku sekarang adalah ketegangan agama. Kami cuba memulihkan semula keadaan menjadi tenang. Saya tidak pernah melihat konflik seperti ini di Meiktila sepanjang hidup saya,” kata Win Htein kepada AFP sambil menambah keadaan sebelumnya agak tegang. 
Rusuhan berlaku berikutan ketegangan antara penduduk Islam dan Buddha di Myanmar di mana konflik di Rakhine menyebabkan sekurang-kurangnya 180 penduduk terbunuh dan lebih 110,000 hilang tempat tinggal sejak Jun 2012. 
Satu laporan dalam halaman Facebook polis lewat kelmarin berkata bahawa kemarahan merebak selepas seorang lelaki cedera ketika pertengkaran di kedai emas. 
Laporan itu menyatakan bahawa kekecohan bertukar ganas apabila orang ramai mula memusnahkan bangunan di kawasan terbabit. 
Sekurang-kurangnya enam orang dimasukkan ke hospital dan dua mangsa iaitu seorang sami Buddha dan seorang lelaki Islam mati akibat kecederaan. 
“Keganasan mungkin menjadi lebih buruk, semua orang di sini menjadi agresif,” kata seorang penduduk tempatan Hein Thu Aung, 29, kepada AFP. - AFP / Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.