Keadaan di Hospital Lahad Datu susulan insiden tembakan di Kampung Tanduo. - Foto ihsan Ares Arapa/@AdrianNCF |
Keadaan anggota polis di pos kawalan utama di Kampung Tanduo, Lahad Datu, hari ini. Foto: Bernama |
Kenderaan untuk membawa dua anggota polis yang terkorban di Kampung Tanduo. Foto: Bernama |
LAHAD DATU - Dua anggota tentera Malaysia yang cedera dalam insiden tembakan di Kampung Tanduo, tempat kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina berkubu, diterbangkan ke Hospital Lahad Datu.
Mereka dibawa dengan sebuah helikopter tentera pada pukul 1.50 tengah hari ini.
Sebaik tiba, seorang daripada mereka diusung dengan katil bergerak manakala seorang lagi dibawa dengan kerusi roda menuju ke wad kecemasan hospital berkenaan.
Kedua-dua mereka dilihat mempunyai kesan darah pada pakaian celoreng mereka dengan wajah menahan kesakitan, menurut wartawan Bernama di hospital itu. - Bernama
2.49pm
LAHAD DATU - Dua komando polis terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina, di sini hari ini.
Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo.
Wartawan Bernama yang berada di kawasan Felda Sahabat 17 di perkampungan itu berkata mayat dua anggota keselamatan itu diusung oleh polis dan dimasukkan ke dalam sebuah trak polis untuk dibawa ke Hospital Lahad Datu.
"Sehingga kini tiada pengesahan polis, kami hanya melihat mayat dengan boot hijau diusung ke dalam trak tersebut," katanya yang terpaksa keluar dari kawasan Felda itu setelah diarahkan pihak berkuasa.
Pada 2 petang, beliau berkata pihak berkuasa mengarahkan wartawan keluar kerana khuatir keselamatan mereka berikutan insiden tembakan masih berlaku.
Setakat ini, tiada pihak berkuasa boleh mengesahkan identiti anggota yang maut. - Bernama
5.00pm
Anggota tentera bersiap ke Kampung Tanduo untuk menghadapi penceroboh yang berkubu di kampung itu, hari ini. - Foto Bernama |
Dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut dalam insiden tembakan membabitkan kedua-dua pihak di Kampung Tanduo di sini hari ini.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu turut menyebabkan tiga lagi anggota pasukan keselamatan cedera, kata polis.
Kesemua 12 penceroboh rakyat asing yang terbunuh itu adalah antara 180 pengikut 'Sultan Sulu' yang dikepung pasukan keselamatan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.
Mereka cuba keluar daripada kepungan pasukan keselamatan dan mula melepaskan tembakan apabila terserempak dengan anggota keselamatan yang sedang berkawal, kata Pasuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Bercakap pada sidang akhbar di sini, beliau berkata insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.
Menceritakan semula kejadian itu, Hamza berkata kumpulan penceroboh rakyat asing yang terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.
"Pihak komando polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran antara kedua pihak," kata Hamza.
Hamza berkata, turut ditemui pada kumpulan kecil penceroboh itu ialah beberapa laras senjata api antaranya M16, pistol dan rifel SLR, peluru dan beg-beg pakaian.
Beliau berkata, polis kini mengepung Kampung Tanduo, yang masih diduduki sebahagian anggota kumpulan itu, dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan semakin diperketatkan.
"Polis telah mengawal segala laluan dan sukar untuk pihak penceroboh untuk keluar atau masuk ke kawasan kampung berkenaan," katanya.
Hamza turut menafikan laporan termasuk yang disiar laman sosial dan agensi berita asing bahawa terdapat anggota kumpulan penceroboh itu menyerah diri dan melarikan diri melalui jalan laut.
Dalam pada itu, Hamza turut menegaskan bahawa polis tidak mengeluarkan sebarang arahan perintah berkurung di Lahad Datu ekoran insiden itu.
"Saya diberi kuasa untuk melaksanakan perintah itu dan tiada sebarang perintah itu dikeluarkan seperti yang dilaporkan," katanya sambil memberitahu bahawa keadaan di Kampung Tanduo kini terkawal dan tenang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata beliau telah memberi mandat kepada ketua polis negara dan panglima angkatan tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu dan tiada kompromi lagi.
Najib juga dilaporkan berkata kumpulan penceroboh itu sepatutnya menerima tawaran menyerah diri dan keluar daripada kawasan itu secepat mungkin.
Sementara itu, mayat kedua anggota polis yang terkorban itu dibawa ke Hospital Lahad Datu. Dua anggota polis yang cedera pula diterbangkan ke hospital yang sama untuk dirawat manakala seorang lagi diterbangkan ke sebuah hospital di Sandakan.
Pasukan keselamatan mula mengepung Kampung Tanduo pada 11 Februari apabila kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke kawasan itu pada 9 Februari dan menjadikan beberapa premis termasuk rumah dan surau di kampung berkenaan sebagai pangkalan mereka.
Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.
Kumpulan itu yang didakwa diketuai Agbimuddin Kiram mendakwa mereka adalah tentera 'Raja Sulu' dan menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.
Sejak itu, Malaysia mengadakan beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari lepas sebagai tarikh akhir untuk pengusiran mereka.
Bagaimanapun Malaysia melanjutkan lagi tempoh pengusiran mereka kepada 26 Februari sementara menunggu sebuah kapal tentera Filipina tiba untuk membawa kumpulan penceroboh itu pulang ke tanah air mereka.
Isnin lepas, Hamza berkata, polis akan bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan rakyat Filipina itu.
Hamza menegaskan pihaknya akan menggunakan undang-undang negara untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada orang yang tidak berkenaan memasuki kawasan itu. - Sinar Harian
Jenazah Polis Terkorban Tiba Di Subang Esok
KUALA LUMPUR - Jenazah dua anggota polis komando VAT 69 yang terkorban dalam insiden tembakan membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah, hari ini, dijadual diterbangkan ke ibu negara pagi esok (2.3.2012).
Penerbangan itu pada asalnya dijadual tiba lewat malam ini.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yusoff memberitahu Bernama jenazah dijadual tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada kira-kira 9 pagi esok.
Anggota yang terkorban dari Kem Ulu Kinta itu ialah Insp Zulkifli Mamat, 29, dan Kpl Sabarudin Daud, 46.
Allahyarham Zulkifli, yang berasal dari Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu, meninggalkan seorang balu, Noraziah Noor dan dua anak lelaki berusia empat dan satu tahun.
Allahyarham Sabarudin yang berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor pula meninggalkan balu, Nurunisa Abu Bakar dan tiga anak dua lelaki dan seorang perempuan. - Bernama
Isteri Komando Pengsan Terima Berita Kematian Suami
IPOH - Noraziah Nor, 29, isteri kepada anggota komando Insp Zulkifli Mamat, 30, tidak dapat menahan sebak dan pengsan sejurus menerima berita kematian suaminya.
"Nak balik, Azi nak balik, tolong bawa Azi balik, tolonglah sesiapa hantar Azi balik...," begitulah rintihan Noraziah yang dilihat tidak berhenti-henti menangis ketika ditemui di kediaman bapa angkat pasangan itu di Bandar Baru Putra, Bercham di sini.
Noraziah yang merupakan guru di sebuah sekolah di Tanjung Rambutan terpaksa dipimpin beberapa jiran dan anggota keluarga kerana pengsan sebelum dihantar ke klinik berhampiran.
Pasangan yang menetap di Bandar Baru Putra, Bercham itu mempunyai dua cahaya mata iaitu Mohammad Akmaluddin, 5, dan Mohammad Akhil, setahun dan Noraziah kini mengandung anak ketiga.
Zulkifli, adalah antara dua anggota komando yang terkorban dalam insiden tembakan membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah hari ini.
Sementara itu, bapa angkat pasangan itu, Sjn Hussain Harun, 53, yang merupakan jurulatih pusat latihan Pasukan Gerakan Am (PGA), Hulu Kinta berkata beliau menerima berita itu selepas solat Jumaat sebaik sahaja Noraziah datang ke rumahnya.
"Saya cukup terkejut apabila mengetahui berita ini dan Aziah terus pengsan sebaik memberitahu kami.
"Saya mengenali arwah pada tahun 2004 semasa dia menyertai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) UUM dan saya merupakan pengajar untuk pandu arah peta," katanya sambil memberitahu kali terakhir beliau bertemu arwah ialah minggu lepas sebelum bertolak ke Lahad Datu.
Ibu angkat Allahyarham Noor Ainita Mohamad, 49, berkata Allahyarham seorang yang baik hati dan peramah.
"Arwah memang rapat dengan suami saya...sekiranya ada masalah arwah akan datang rumah dan cerita masalah dia pada kami. Kehilangannya sangat dirasai," katanya. - Bernama
Kpl Azman Hanya Cedera, Keluarga Kesal Laporan Media
LAHAD DATU - Keluarga seorang daripada anggota polis yang cedera dalam insiden tembakan membabitkan kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo di sini hari ini, kesal dengan laporan media yang mengatakan anggota polis berkenaan terbunuh dalam kejadian itu.
Madun Buyung, 57, dari Kampung Tabanak, Lahad Datu, keluarga terdekat kepada Kpl Azman Ampong, meminta media massa supaya lebih berhati-hati sebelum menyiarkan laporan mereka.
"Semua media mesti pastikan maklumat mereka tepat. Dapatkan pengesahan daripada pihak doktor terlebih dahulu sebelum menyiarkan laporan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Lahad Datu di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah media elekronik kononnya Azman terbunuh dalam insiden itu sedangkan anggota berkenaan cuma cedera di tangan dan kaki.
Azman adalah antara tiga anggota polis yang cedera dan menerima rawatan di hospital di sini.
Madun berkata laporan tidak tepat itu telah meresahkan anggota keluarganya.
"Setelah mendengar laporan itu di televisyen, saya bergegas ke hospital (Lahad Datu) dan apabila tiba di sini saya dapati anak saudara saya ini dalam keadaan stabil," katanya. - Bernama
Khatijah menahan sebak menatap gambar anaknya yang terkorban. Foto: Sinar Harian |
BESUT - Ibu pegawai polis yang terkorban di Lahad Datu, Sabah, Inspektor Zulkifli Mamat, 29, tidak menyangka rupa-rupanya rasa berdebar dan mata berkelip-kelip sejak tiga hari lalu memberi khabar buruk buatnya sekeluarga.
Khatijah Ismail, 64, berkata, dia tidak tahu kenapa dia berperasaan sedemikian, tetapi seolah-olah memberi petanda buruk.
“Saya dapat berita kematian anak ketiga saya apabila diminta pulang oleh anak saudara ketika saya mengikuti program kemasyarakatan berhampiran rumah.
"Memang benarlah apa yang saya takutkan apabila betul-betul berlaku kejadian buruk terhadap anak lelaki saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Kubang Ikan, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Inspektor Zulkifli adalah antara anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam kejadian tembakan yang turut membunuh 12 penceroboh bersenjata rakyat asing itu.
Menurut Khatijah yang tidak mampu menahan kesedihan akibat kehilangan anak lelakinya itu berkata, dia turut menghubungi isteri Zulkifli, Nor Aziah Nor, 28, yang berada di Ipoh, Perak.
Katanya, kali terakhir anaknya itu menghubunginya adalah pada Jumaat lalu ketika dia mahu berlepas ke Lahad Datu.
“Dia beritahu hendak ke sana dan saya doakan dia selamat pergi dan balik. Arwah juga kata akan pergi sekejap sahaja dan akan pulang menemui saya semula," katanya dalam nada sebak.
Khatijah berkata, anak ketiga daripada enam beradik itu adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah di sini dan melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).
“Zulkifli seorang anak yang baik dan bersopan santun serta amat mesra dengan adik-beradik,” katanya.
Jenazah Zulkifli dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor dekat rumahnya hari ini selepas tiba dengan penerbangan dari Lahad Datu.
Allahyarham akan dikebumikan dengan penuh adat istiadat Polis Diraja Malaysia dan dianggap sebagai pahlawan negara. - Sinar Harian
Ins Zulkifli Minat Kerjaya Beruniform Sejak Sekolah Rendah
Allahyarham Insp Zulkifli Mamat. Foto: Sinar Harian |
BESUT - "Tiada perkataan diucapkan, hanya tangisan yang saya dengar daripada menantu saya ketika saya menghubunginya petang tadi," kata Khatijah Ismail, ibu kepada anggota komando polis yang terkorban dalam kejadian tembakan dengan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah semalam.
Khatijah, 64, berkata, dia menghubungi menantunya yang tinggal di Ipoh itu apabila diminta berbuat demikian oleh seorang anak saudaranya untuk mendapatkan berita lanjut mengenai kejadian itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi semalam, Insp Zulkifli Mamat, 29, adalah antara anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam kejadian tembakan yang turut membunuh 12 penceroboh bersenjata rakyat asing itu.
Khatijah, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Ikan dekat Gong Bayor di sini, berkata beliau mendapat perkhabaran sedih itu ketika mengikuti satu program anjuran Pergerakan Wanita Umno Besut di kampungnya kira-kira pukul 4 petang.
"Ketika itu Mak Cik sedang mengikuti satu program kemasyarakatan apabila saya dipanggil oleh seorang anak saudara yang menyuruh saya menelefon isteri arwah di Perak untuk mengetahui berita lanjut," katanya.
Khatijah berkata, dia terus menghubungi isteri arwah, Noraziah Nor, 29, yang merupakan seorang guru di Ipoh, tetapi tidak mendengar sebarang suara daripadanya kecuali tangisan.
"Bila saya mendesak, dia (Noraziah) memberitahu suaminya telah terkorban dalam insiden serangan di Lahad Datu. Mak cik terkejut dan terus rebah pengsan," katanya.
Khatijah memberitahu bahawa anak ketiga daripada enam beradik itu menyertai perkhidmatan polis kerana amat berminat dengan kerjaya yang memakai uniform sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Zulkifli adalah graduan Universiti Malaya dan berkahwin dengan Noraziah yang berasal dari Perlis. Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki berumur lima dan satu tahun dan Noraziah kini mengandung anak ketiga.
"Zulkifli seorang anak yang baik dan bersopan santun serta amat mesra dengan adik-beradik," kata Khatijah.
Khatijah berkata sebelum bertolak ke Lahad Datu Jumaat lepas, arwah menghubunginya dan meminta Khatijah mendoakan keselamatannya dan berharap ibunya tidak bimbang.- Bernama
Baca juga cerita lain tentang pencerobohan di Lahad Datu di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.