Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 6 Mac 2013

Perkembangan Ops Daulat Di Lahad Datu

Kenderaan berat membawa kereta perisai condor menuju ke Felda Sahabat 16. Foto: Sinar Harian

Kenderaan anggota tentera keluar dari Kampung Tanduo setelah menghantar anggota tentera. Foto: Bernama

Anggota komando Angkatan Tentera Malaysia menaiki helikopter Nuri untuk dihantar menggempur penceroboh. Foto: Sinar Harian

Helikopter Nuri sedang berlegar di udara Kampung Tanduo. Foto: Sinar Harian

Anggota keselamatan sedang berkawal bagi menghalang pencerobohan menyusup keluar. Foto: Sinar Harian


Tiada Mayat Pengganas Sulu Ditemui

KUALA LUMPUR - Drama pencerobohan kumpulan pengganas Sultan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah mencapai kemuncak semalam apabila pasukan keselamatan melancarkan serangan melalui Ops Daulat secara besar-besaran di kawasan yang ditawan sejak 22 hari lalu. 
Gerakan pukul 7 pagi itu bermula dengan serangan bom MK81 seberat 113 kilogram sebutir itu berlangsung hampir 30 minit membabitkan lapan jet pejuang masing-masing tiga buah F/A-18D Hornet dan lima buah Hawk 208. 
Sebaik serangan udara yang dibuat dalam lingkungan empat kilometer di kampung itu tamat, pasukan infantri Rejimen Askar Melayu Diraja pula melepaskan tembakan mortar untuk melumpuhkan saki-baki musuh. 
Selepas itu, anggota komando Tentera Darat dan polis bersama kenderaan perisai Condor memasuki lokasi serangan untuk operasi penggeledahan kawasan yang diserang. 
Bagaimanapun, sehingga lewat malam tadi, polis mahupun pihak tentera tidak mengumumkan mengenai penemuan mayat atau senjata api puak pengganas. - Kosmo

Ketua Pengganas Sulu Berjaya Loloskan Diri

LAHAD DATU - Ketika pihak berkuasa melancarkan serangan besar-besaran untuk menggempur kubu pengganas Sultan Sulu di Kampung Tanduo di sini semalam, ada maklumat mengatakan ketua kumpulan pengganas dan beberapa orang kanannya telah melarikan diri dari kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu. 
Adik Sultan Jamalul Kiram III, Raja Muda Azzumuddie, 60-an, yang mengetuai operasi pencerobohan ke Sabah pada 12 Februari lalu dipercayai sedang bersembunyi di kawasan Kampung Tanjung Batu di sini yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari Kampung Tanduo. 
Kampung Tanduo merupakan kawasan pertama diceroboh Azzumuddie bersama 180 pengikutnya yang lengkap bersenjata. Mereka menyusup masuk dengan menaiki bot pancung dari kepulauan Sulu ke Sabah. 
Ada maklumat mengatakan Azzumuddie telah terselamat ketika serangan menggunakan pesawat pejuang, kereta perisai dan askar berjalan kaki yang dilancarkan pihak berkuasa tepat pukul 7 pagi semalam. 
Teori bagaimana mereka melarikan diri terbahagi kepada tiga. Pertama, pengganas telah membuat laluan bawah tanah dan laluan tikus ekoran mereka telah berkubu di kawasan kampung tersebut sejak lebih tiga minggu lalu. 
Kedua, keluasan kawasan tersebut menyebabkan pihak berkuasa menghadapi sedikit kekangan untuk mengawal keseluruhan tempat. Jadi mereka boleh melarikan diri ke kawasan yang tidak dikawal untuk bersembunyi. 
Teori terakhir pula ialah pengganas mengambil kesempatan keluar dari kampung ketika pihak berkuasa mengeluarkan arahan kepada penduduk supaya mengosongkan rumah. Mungkin mereka ikut jalan berlainan dengan penduduk untuk mengelakkan daripada dicekup. - Kosmo!

Ops Daulat Diteruskan Selepas Operasi Pembersihan Fasa Pertama Selesai

Anggota tentera menaiki kereta perisai Condor mencari saki baki penceroboh bersenjata dari yang masih bersembunyi.

LAHAD DATU: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata Ops Daulat masih diteruskan selepas operasi pembersihan (mopping-up) fasa pertama di beberapa kawasan yang dikenal pasti selesai. 
Beliau berkata, operasi pembersihan itu bertujuan memastikan tahap bahaya di kawasan kecil yang dikenal pasti sebelum langkah penggeledahan seterusnya dijalankan. 
"Apabila operasi pembersihan fasa pertama ini selesai, satu kumpulan lain yang akan mengambil alih operasi penggeledahan secara terperinci," katanya. 
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama dengan Ketua Polis Negara, Tan Seri Ismail Omar, di sini, sebentar tadi.

Seorang Pengganas Sulu Ditembak Mati Hari ini 

KUALA LUMPUR — Seorang penceroboh bersenjata dipercayai mati ditembak ketika cuba menyerang hendap pasukan keselamatan pada hari kedua Ops Daulat di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pagi ini. 
Bagaimana pengganas yang ditembak itu sempat dibawa lari oleh rakan-rakannya yang lain, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pagi ini. 
Ismail mengesahkan kumpulan penceroboh kini menyamar dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan.
Dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, pasukan polis dan tentera yang meneruskan operasi susulan dan penggeledahan ditembak oleh kumpulan pengganas itu, sebelum pasukan keselamatan membalas tembakan. 
"Seorang musuh telah ditembak,” kata Ismail, pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin. 
Ismail juga mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan negara yang terkorban atau cedera dalam operasi pagi ini.— BERNAMA

Laporan Dakwa 30 Pengganas Sulu Terbunuh



KOTA KINABALU - Laporan akhbar tempatan hari ini mendakwa seramai 30 orang penceroboh Sulu terbunuh dalam serangan besar-besaran melalui Ops Sulu, yang kemudiannya dinamakan Ops Daulat, di pantai timur Sabah semalam. 
“Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan pengganas Sulu yang berjaya ditumpaskan ATM dan PDRM sehingga kini ialah 49 orang, manakala di pihak anggota keselamatan negara tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku dalam operasi itu,” laporan Utusan Malaysia dipetik. 
Laporan yang tidak menyatakan sumber maklumat itu juga menyebut, terdapat “khabar” yang menyatakan pemimpin kumpulan berkenaan Raja Muda Azzumudie terbunuh namun perkara itu tidak disahkan. 
Sementara itu laporan akhbar Berita Harian pula yang memetik sumber mendakwa pasukan keselamatan, yang menjalankan operasi pembersihan selepas pengeboman semalam, menjumpai antara 20 hingga 30 mayat musuh. 
Sementara itu, akhbar The Star pula hari ini melaporkan pasukan tentera memindahkan penduduk dari dua buah kampung berdekatan - Kampung Labian dan Kampung Batu. 
Penduduk tempatan sebelum ini mendakwa kumpulan penceroboh memasuki kawasan tersebut dan menawan penduduk. Pasukan keselamatan, setakat malam tadi, masih belum menyatakan jumlah rasmi yang ditemui dalam operasi besar-besaran diketuai pasukan polis. 
Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar hari ini pula sekadar menyebut bahawa seorang penceroboh dipercayai maut selepas berbalas tembak dalam kawasan operasi pada kira-kira jam 6.45 pagi ini. 
"Dengan situasi semasa ini pasukan keselamatan telah memperluaskan kawasan operasi sehingga melebihi 4 kilometer persegi sepertimana yang telah dinyatakan semalam," kenyataannya dipetik. 
Ismail juga tidak memberi sebarang pengesahan mengenai status Azzumudie Kiram, yang dilaporkan terbunuh dalam operasi semalam. 
Laporan mengenai kematian Azzimudie itu dinafikan media Filipina yang memetik kenyataan jurucakap kesultanan Sulu. 
Menurut InterAksyon.com, portal berita dalam talian saluran TV Filipina TV5, jurucakap kesultanan Abraham Idjirani telah bercakap dengan Azzimudie melalui telefon di hadapan pemberita semasa taklimat media di Manila petang semalam. 
Lapan buah pesawat tentera Malaysia semalam dilaporkan menggugurkan sekurang-kurangnya enam bom pemusnah di kawasan yang didakwa diduduki Azzimudie dan pengikutnya di Kampung Tanduo. - Malaysiakini

Tembak Menembak Di Tiga Lokasi Tanjung Batu, Lahad Datu

KUALA LUMPUR - Tembak menembak antara anggota keselamatan dan kumpulan pengganas berlaku di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah petang ini tatkala pasukan keselamatan meneruskan operasi susulan dan penggeledahan dalam Op Daulat. 
Pasukan keselamatan negara mula membuat pemeriksaan di perkampungan itu pada pukul 3 petang untuk menjejaki musuh yang memasuki kawasan kampung berkenaan. 
"Pada kira-kira 4.15 petang berlaku tembak menembak di tiga lokasi kampung itu dan kami percaya ada musuh yang gugur, tetapi waktu ini saya tidak dapat sahkan jumlah musuh yang terkena tembakan," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar. 
Ismail, pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain pada pukul 6 petang ini, berkata tiada anggota keselamatan yang cedera dalam kejadian itu dan tiada yang dijadikan tawanan pihak musuh. 
Semalam, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Feb lepas. 
Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan rumah ke rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung itu bagi memburu kumpulan pengganas itu. 
Kawasan operasi kini diperluas setiap dua kilometer berikutan pasukan keselamatan mengesan kumpulan pengganas sedang bergerak ke tempat-tempat tertentu Zulkifeli berkata pasukan keselamatan kini memperluaskan kawasan operasi dan penggeledahan untuk mencari senjata api yang dipercayai ditanam di kawasan terbabit. 
"Kami yakin masih ada saki baki pengganas di kawasan Kampung Tanduo," katanya. 
Kedua-dua pimpinan tertinggi pasukan keselamatan negara itu turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak menghantar SMS kepada mereka memberi sokongan dan semangat serta diiringi doa untuk keselamatan dan kejayaan pasukan keselamatan dalam Op Daulat. 
"Kami berdua ucap berbanyak terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan sokongan dan doa untuk meningkatkan semangat kami," katanya. - Bernama


Seorang Anggota Kumpulan Penceroboh Terbunuh Di Lahad Datu
Lelaki ini ditahan di Felda Beach Resort yang menjadi kawasan larangan. Foto: Bernama


KUALA LUMPUR - Seorang penceroboh bersenjata dipercayai mati ditembak ketika cuba menyerang hendap pasukan keselamatan pada hari kedua 'Op Daulat' di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pagi ini. 
Bagaimana pengganas yang ditembak itu sempat dibawa lari oleh rakan-rakannya yang lain, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pagi ini. 
Ismail mengesahkan kumpulan penceroboh kini menyamar dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan. 
Dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, pasukan polis dan tentera yang meneruskan operasi susulan dan penggeledahan ditembak oleh kumpulan pengganas itu, sebelum pasukan keselamatan membalas tembakan. 
"Seorang musuh telah ditembak," kata Ismail, pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin. 
Ismail juga mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan negara yang terkorban atau cedera dalam operasi pagi ini. 
Semalam, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari lepas. 
Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan rumah ke rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung itu bagi memburu kumpulan pengganas itu. 
Kawasan operasi kini diperluas setiap dua kilometer berikutan pasukan keselamatan mengesan kumpulan pengganas sedang bergerak ke tempat-tempat tertentu. 
Ismail sekali lagi menasihatkan penduduk di kawasan sekitar agar berhati-hati dan dapatkan apa-apa maklumat di pos taktikal pasukan keselamatan dan balai polis berdekatan. 
"Sekali lagi saya minta kerjasama orang ramai agar tidak cemas walaupun musuh bergerak lebih luas kerana pasukan keselamatan masih mengawal," katanya. - Bernama


13 Mayat Penceroboh Ditemui
Imej: Sinar Harian

LAHAD DATU - Tiga belas mayat pengganas bersenjata ditemui di Kampung Tanduo dalam operasi susulan dan penggeledahan hari ini selepas gerakan ofensif dilancar pasukan keselamatan negara terhadap kubu kumpulan penceroboh di kampung itu. 
Satu daripada mayat itu adalah pengganas yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan pasukan keselamatan pada pukul 6.45 pagi ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 
Bercakap pada sidang akhbar bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada pukul 4 petang ini, Ahmad Zahid berkata sembilan daripada mayat itu ditemui dalam sebuah liang kubur yang ditutup dengan kepingan papan. 
Beberapa keping gambar Op Daulat yang dirakam pasukan keselamatan diedar kepada media, antaranya mayat pengganas yang di dalam sebuah kubur. 
Turut diedar ialah gambar anggota forensik diserang penceroboh ketika memeriksa sebuah kubur di kampung itu dan senjata yang dirampas pasukan keselamatan. 
Serentak itu, Ahmad Zahid membidas sikap media sosial yang memperlekehkan barisan hadapan pasukan keselamatan kononnya ia adalah sandiwara. 
"Gambar-gambar ini menunjukkan pasukan keselamatan kita mempunyai kebolehan yang tinggi dalam menjalankan operasi ini. Ia bukan sandiwara," katanya. 
Sementara itu, Hishammuddin berkata berlaku dua pertempuran di sekitar kampung berkenaan ketika anggota tentera dan polis menjalankan operasi susulan dan penggeledahan. 
"Pada 6.45 pagi tadi pasukan kita telah bertempur dengan pasukan penceroboh dan pasukan keselamatan kita menembak mati seorang anggota kumpulan penceroboh itu. 
"Pada 1.45 tengah hari pasukan forensik kita diserang kumpulan penceroboh ketika menjalankan siasatan di kawasan kubur di mana mayat anggota mereka ditanam di kawasan kampung itu," katanya yang mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera. 
Beliau berkata operasi bersama polis dan tentera itu turut menemui pelbagai senjata api milik kumpulan pengganas rakyat asing itu.- Bernama

Empat Lelaki Disyaki Penceroboh Ditahan Polis
Mereka ini ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh Sulu

Mereka disyaki menyamar sebagai penduduk tempatan

Mereka ditahan di Jalan Lapangan Terbang, kira-kira lima kilometer dari Pekan Semporna.

Salah seorang lelaki yang ditahan polis memakai baju T yang tertera gambar seorang menteri persekutuan

SEMPORNA - Polis menahan empat lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh yang terlibat dalam kejadian serangan hendap di Kampung Sri Jaya Simunul, di sini, Sabtu lepas. 
Empat lelaki yang ditahan dalam operasi khas oleh sekumpulan anggota polis dari jabatan cawangan jenayah berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah itu berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an. 
Menurut polis, operasi yang dijalankan di Jalan Lapangan Terbang, kira-kira lima kilometer dari Pekan Semporna, bertujuan menangkap penceroboh yang didakwa menyamar sebagai penduduk kampung di beberapa kawasan di Semporna. 
"Bertindak hasil maklumat awam dan maklumat risikan yang dikumpul sejak beberapa hari lepas, kami berjaya menahan empat lelaki untuk siasatan," kata pegawai berkenaan. 
Beliau berkata operasi itu bermula pada pukul 12 tengah hari dan berakhir 1.15 tengah hari. 
Tinjauan Bernama di lokasi operasi mendapati dua rumah diperiksa dan polis berjaya menahan dua lelaki di rumah itu manakala seorang lelaki ditahan ketika keluar dari belukar dan seorang lagi ditahan dalam pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan yang mencurigakan. 
Dalam kejadian Sabtu lepas, enam anggota polis terkorban dalam serang hendap oleh kumpulan pengganas bersenjata. Kejadian pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan enam pengganas terbunuh. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.