Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 29 September 2013

Dua Tayar Belakang Lori Tangki Tercabut

Dua tayar belakang lori tangki yang dipandu Manivannan tercabut. Foto: Sinar Harian

Hasbullah (tengah) dan Manivannan (kiri) menunjukkan tayar pertama yang tercabut dan merempuh gerai makan. Foto: Sinar Harian


KUALA PILAH – "Saya suruh pemandu itu berhenti, tapi dia terus memecut laju," kata seorang penduduk yang terpaksa mengejar sebuah lori tangki selepas tayarnya tercabut dan terpelanting lalu terkena deretan gerai makan di Taman Putra, dekat sini, kelmarin. 
Dalam kejadian kira-kira 5 petang, Hasbullah Abd Jalil, 45, berkata, dia berada di sebuah warung dan terkejut dengan dentuman kuat ketika sebuah lori tangki membawa muatan kimia melalui kawasan berkenaan. 
"Saya terus berlari ke gerai itu dan mendapati satu tayar lori sudah berada dalam gerai yang belum dibuka. Ketika itu, saya lihat peralatan dalam gerai seperti meja, kerusi dan tiang sudah rosak," katanya. 
Menurutnya, dia percaya pemandu lori berkenaan tidak menyedari kejadian itu.Dia kemudian bertindak mengejar dengan motosikalnya. 
“Ketika saya mengekori lori itu dalam jarak kira-kira lima kilometer, tiba-tiba saya ternampak satu lagi tayarnya tercabut dan terpelanting ke sebelah kanan jalan," katanya. 
Bagaimanapun, Hasbullah berkata, dia akhirnya berjaya memintas lori berkenaan dan meminta pemandu berhenti. 
Sementara itu, pemandu lori berkenaan, M Manivannan, 34, berkata, dia yang dalam perjalanan dari Kemaman, Terengganu ke Nilai, sememangnya tidak sedar tayar kenderaan berkenaan tercabut. 
"Saya hanya sedar pemandu lain memberi lampu ke arah saya tetapi masih tidak dapat menangkap apa yang berlaku. 
"Saya hanya sedar selepas didatangi seorang lelaki (Hasbullah). Dia juga membawa saya ke gerai di Taman Putra,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.