Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 5 September 2013

Tauke Restoran Ditembak Di Dada

Polis meneliti kesan-kesan tembakan di lokasi kejadian di Kawasan Perniagaan Taman Merak. Foto: Sinar Harian

Mazlan (kiri) meneliti kereta mangsa di Kawasan Perniagaan Taman Merak. Foto: Sinar Harian

Motosikal yang digunakan suspek ditinggalkan di Jalan Perusahaan Bukit Minyak. Foto: Sinar Harian


NIBONG TEBAL - Seorang lelaki cedera parah akibat ditembak di bahagian dada ketika sedang memberhentikan keretanya di Kawasan Perniagaan Taman Merak petang semalam. 
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 3.15 petang, mangsa yang merupakan pengusaha restoran terkena satu das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki bermotosikal. 
Difahamkan, mangsa yang berusia 40-an itu memberhentikan keretanya untuk ke restoran berhampiran dan bertemu rakannya sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Honda. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, salah seorang suspek dipercayai melepaskan empat das tembakan ke arah cermin depan dan sisi kereta mangsa. 
"Salah satu das tembakan mengenai dada mangsa dan suspek kemudiannya melarikan diri sehingga ke Jalan Perusahaan Bukit Minyak. 
"Walau bagaimanapun, motosikal terbabit mengalami kerosakan dan ditinggalkan kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian. 
"Kedua-dua suspek meninggalkan motosikal mereka di tepi jalan sebelum dipercayai diambil oleh rakan mereka dengan menaiki sebuah kereta," katanya. 
Beliau berkata, polis turut menemui sarung pistol, dua topi keledar dan baju yang ditinggalkan suspek di kawasan itu. 
"Mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan kini dilaporkan stabil. 
"Siasatan awal mendapati motosikal dan kereta yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu. 
"Tidak mustahil kes ini mempunyai kaitan dengan kejadian tembakan rambang yang mencederakan enam pelanggan di kedai kopi milik mangsa di Taman Kasawari, Simpang Ampat pada 23 Ogos lalu," katanya. 
Mazlan memaklumkan, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan pihak polis turut akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lokasi kejadian. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.