Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 16 Februari 2013

Ditembak Dan Ditetak Ketika Sarapan Di Warung

Anggota polis menjalankan siasatan di tempat seorang pesara tentera ditembak dan ditetak sampai mati. Foto: Kosmo!

Penduduk kampung melihat kesan darah di warung tempat Sauti mati dibunuh di Kampung Kemasin, Bachok semalam. Foto: Kosmo!

Polis mengusung jenazah mangsa untuk dibawa ke hospital. Gambar kecil: Keadaan dalam warung. Foto: Sinar Harian


BACHOK – Kerisauan seorang wanita mengenai keselamatan ahli keluarganya selepas rumahnya dikepung sekumpulan lelaki malam kelmarin ternyata berasas apabila suaminya mati akibat ditembak dan ditetak ketika sedang bersarapan di sebuah warung di Kampung Kemasin dekat sini semalam. 
Kejadian pukul 9 pagi itu mengakibatkan seorang pesara tentera, Sauti Muda, 57, mati di warung milik sepupunya. 
Ketika kejadian, mangsa sedang bersarapan bersama isterinya, Sarinah Abdullah (gambar kecil), 40, dan beberapa penduduk lain di situ. 
Mengimbau semula kejadian itu, Sarina memberitahu, dia dan arwah suaminya keluar rumah untuk membeli nasi berlauk di Beris Kubur Besar sebelum singgah di warung itu untuk makan. 
Jarak antara warung dan rumahnya kira-kira 100 meter. 
Katanya, ketika sedang asyik menyuap nasi, dia melihat dua lelaki berusia lingkungan 30-an memberhentikan motosikal di depan warung dengan sepucuk pistol terselit di pinggang penunggang manakala pembonceng pula membawa sebilah pedang. 
“Penjenayah kemudian terus melepaskan tembakan ke arah suami dalam jarak enam meter. Arwah kemudian melompat masuk ke dapur untuk bersembunyi di bawah meja. 
“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian turut masuk dan melepaskan beberapa das tembakan lagi sebelum rakannya yang turut masuk lalu menetak suami saya dengan pedang,” ceritanya yang memberitahu mereka bersarapan di situ setiap pagi. 
Tambahnya, malam sebelum kejadian, rumahnya telah dikepung sekumpulan lelaki dan seminggu lalu, anak lelakinya yang berusia 16 tahun turut dikejar beberapa lelaki dipercayai rakan penjenayah namun sempat menyelamatkan diri. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab. Rahim Che Ghani berkata, identiti kedua-dua penjenayah itu telah dikenal pasti dan mereka disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah dan dadah. 
“Mereka dikenali beberapa penduduk kerana tidak memakai topeng atau menutup muka sewaktu kejadian. Kita percaya kejadian itu bermotifkan dendam,” katanya yang menyiasat kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 
Tinjauan Kosmo! ke lokasi kejadian mendapati beberapa kelongsong peluru ditemui di tepi jalan dan dalam warung berkenaan termasuk kesan tembakan yang menembusi kerusi plastik. 
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dibedah siasat. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.