|
Jenazah selamat tiba di Lapangan Terbang TUDM, Subang tengah hari ini. Foto: Facebook PDRM |
|
Keranda ditutup dengan bendera Malaysia diturunkan daripada pesawat TUDM. Foto: Facebook PDRM |
|
Penghormatan terakhir terhadap Arwah Insp Zulkifli Mamat dan Arwah Kpl Sabarudin Daud. Foto: Facebook PDRM |
|
Anggota keluarga Allahyarham komando yang terkorban ditenangkan ketika melihat jenazah di balai ketibaan. Foto: Facebook PDRM |
|
Ibu Allahyarham, Inspektor Zulkifli Mamat ditenangkan oleh ahli keluarga selepas tidak dapat mengawal perasaan sedih. Foto: Sinar Harian |
SUBANG- Jenazah dua anggota polis komando VAT 69 yang terkorban dalam insiden tembakan membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah semalam, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, tengah hari tadi.
Pesawat Charlie yang membawa jenazah tiba kira-kira jam 12.35 tengah hari. Penerbangan itu pada asalnya dijadual tiba lewat malam tadi.
Seramai 500 anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia menyambut ketibaan jenazah. Ahli keluarga kedua-dua anggota terbabit juga hadir.
Turut memberi penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Selangor juga hadir sama.
Kira-kira jam 1.05 tengah hari kedua-dua jenazah selamat dibawa ke balai ketibaan dan doa dibacakan.
Anggota yang terkorban ialah Insp Zulkifli Mamat, 29, dan Kpl Sabarudin Daud, 46.
Allahyarham Zulkifli, yang berasal dari Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu, meninggalkan seorang balu, Noraziah Noor dan dua anak lelaki berusia empat dan satu tahun.
Allahyarham Sabarudin yang berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor pula meninggalkan balu, Nurunisa Abu Bakar dan tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.