Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 2 Mac 2013

Wang Simpanan Peniaga Pasar Malam Disamun

Keadaan bilik berselerak selepas dimasuki pencuri. Foto: Sinar Harian


KUANTAN - Keinginan sepasang suami isteri untuk beristirahat setelah penat berniaga pasar malam terbantut sebaik melangkah masuk ke bilik tidur mereka yang berselerak seperti digeledah sehinggakan semua barang-barang peribadi mereka memenuhi setiap ruang lantai. 
Mereka pada awalnya langsung tidak menyedari kediaman terletak di Jeram Batang, Sungai Lembing, dekat sini dimasuki pencuri ketika pulang berniaga memandangkan tiada kesan umpil dan kerosakan pada mana-mana pintu di rumah berkenaan. 
Terkejut dengan keadaan itu, Kamarudin Muda, 59, dan isteri Maharon Awang Ngah, 51, kemudiannya melakukan pemeriksaan dan mendapati wang tunai yang disimpannya telah lesap kira-kira RM600. 
Lebih mendukacitakan, wang berkenaan yang dikumpulkan bersama merupakan hasil daripada perniagaannya yang menjual sayur-sayuran kampung. 
Niat mereka adalah untuk membaiki kereta yang semakin uzur dan selebihnya wang tersebut akan dijadikan modal membeli petai pada minggu akan datang. 
Sebelum kejadian, pasangan berkenaan dikatakan keluar rumah kira-kira jam 3.30 petang untuk berniaga di tapak pasar malam di kawasan Felda Bukit Goh, di sini dan pulang semula kira-kira jam 8.00 malam. 
Bukan hanya bilik utama tetapi tiga buah bilik lain turut mengalami keadaan yang sama malah ada yang lebih teruk digeledah pencuri tersebut sehinggakan ada sesetengah perabot mengalami kerosakan. 
Pasangan tersebut tidak menduga kejadian seumpama itu terjadi memandangkan ia merupakan kali pertama berlaku selama mereka menetap di rumah tersebut hampir lima tahun. 
Selain itu, mangsa turut memberitahu dia mengesyaki suspek mungkin antara mereka yang mungkin biasa dengan rumah tersebut memandangkan keadaan di luar dan dalam rumah sama seperti mana ketika ditinggalkan tanpa sebarang kerosakan. 
Mereka kemudiannya segera membuat laporan polis di Pejabat Polis Sungai Lembing pada hari yang sama kira-kira jam 8.30 malam. 
Menurut Kamarudin, memandangkan masalah kesihatan yang menyukarkannya keluar mencari pucuk paku, dia sejak dari awal sudah berat hati untuk tidak berniaga pada hari tersebut. 
“Mungkin saya sudah mendapat petanda awal rumah saya akan dimasuki pencuri supaya tidak keluar berniaga kerana memang tidak sedap hati untuk keluar mencari pucuk paku selain merasa sakit-sakit di bahagian tangan pada mulanya. 
“Tetapi disebabkan secara tiba-tiba ada orang menghantar petai untuk dijual maka saya rasa rugi pula sekiranya tidak keluar berniaga memandangkan sudah ada barang. 
“Walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan saya kuatkan semangat pula dan terus mengajak isteri untuk pergi menjual hasil,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 
Katanya, tidak sangka pula kepulangan daripada mencari rezeki disambut dengan malapetaka sedemikian rupa. 
“Kami sedikit terkilan memandangkan terlalu mengikut perasaan untuk keluar berniaga tanpa mempedulikan masalah kesihatan dan diberi kejutan pula dengan kejadian ini. 
“Namun sedikit sebanyak turut berasa bersyukur memandangkan hanya mengalami kehilangan wang ringgit dan terselamat daripada berselisih dengan pencuri berkenaan. 
“Kita pun tidak tahu macam keadaan saya dan isteri sekiranya pencuri itu masuk ketika kami ada di rumah, mungkin akan berlakunya pula kejadian tidak diingini,” katanya. 
Tambahnya, setakat ini tiada barang-barang berharga lain yang hilang melainkan wang tunai sahaja dan selepas daripada kejadian tersebut tahap keselamatan rumah akan dipertingkatkan. 
“Dalam waktu terdekat ini, dengan bantuan anak-anak juga saya akan memasang jeriji besi atau menukar pintu yang mempunyai ciri-ciri keselamatan lebih tinggi. 
“Dengan cara ini mungkin sedikit-sebanyak dapat membantu kejadian seperti ini daripada terus berulang,” katanya. 
Sementara itu, Maharon berkata, walaupun kejadian sudah berlaku lebih daripada 24 jam namun hatinya masih berdebar dan bimbang kejadian tersebut berulang kembali. 
“Walaupun kejadian ini mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak tetapi bagi saya ia satu perkara besar memandangkan ia kali pertama saya berhadapan dengan situasi ini. 
“Saya bimbang pencuri tersebut akan datang semula ke rumah ini berikutan ada perasaan tidak puas hati dan masih tidak memperoleh apa yang dihajatinya. 
“Mungkin juga mereka akan mencari sesuatu lebih berharga daripada diperoleh kali ini,” katanya. 
Katanya, bermula daripada kejadian tersebut perasaan fobia menghantui apabila memikirkan kejadian buruk boleh berlaku sekiranya rumah dimasuki pencuri. 
“Memang saya menjadi takut untuk tinggal berseorangan di dalam rumah, sebab pencuri ni boleh buat apa sahaja termasuk mencederakan kita, tambahan lagi mereka sekarang ada yang masuk rumah orang dengan membawa senjata. 
“Memang sedih hasil titik peluh diambil orang tetapi saya turut risau tahap keselamatan ketika berada dalam rumah sendiri. 
“Kalau boleh nak ikut ke mana sahaja suami pergi dan tidak mahu tinggal berseorangan di rumah,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.