Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 5 Mac 2013

Khabar Dari Lahad Datu

Sekumpulan anggota 21 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem 8 Briged Pengkalan Chepa berlepas ke Lahad Datu semalam. Foto: Bernama

Kereta perisai dibawa ke Felda Sahabat 16, Lahad Datu bagi menghadapi 150 penceroboh bersenjata. Foto: Bernama


7.52 AM

KUALA LUMPUR: Pasukan keselamatan lancar serangan jam 7 pagi ini terhadap kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu kenyataan sebentar tadi.


8.05 AM
KUALA LUMPUR: Pasukan keselamatan pada jam 7 pagi tadi melancarkan serangan di Kampung Tanduo, Lahad Datu ke atas penceroboh kumpulan bersenjata demi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana dituntut oleh rakyat Malaysia. 
Datuk Seri Najib Razak berkata demikian dalam kenyataan penuh Perdana Menteri susulan serangan di Lahad Datu, sebentar tadi. - Berita Harian
8.14 AM 

LAHAD DATU: Kedengaran beberapa letupan bom dipercayai daripada jet pejuang tentera dijatuhkan di Kampung Tanduo, dekat sini yang menjadi lokasi persembunyian kumpulan penceroboh dari Selatan Filipina. 
Sejak jam 7 pagi tadi, kedengaran empat kali bunyi bom dari hotel wartawan yang membuat liputan yang terletak kira-kira 20 km dari lokasi kejadian. - Berita Harian

8.49 AM


LAHAD DATU - Kenderaan Ambulans dan kakitangan bahagian kecemasan Hospital Lahad Datu dalam keadaan bersiap sedia sejak awal pagi ini. 
Keadaan itu disaksikan wartawan BH Online ketika berada di lokasi ketika ini. - Berita Harian

10.19 AM

LAHAD DATU - Serangan udara dihentikan sebentar tadi dan kini disusuli operasi darat pasukan keselamatan di lokasi persembunyian penceroboh besenjata di Kampung Tanduo, dekat sini. 
Sementara itu, satu sidang media mengenai operasi serangan ke atas kumpulan penceroboh dari Selatan Filipina itu dijadual diadakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, di Hotel Residen Felda Sahabat, jam 11 pagi ini. - Berita Harian

10.44 AM

LAHAD DATU - Lima ambulans bergerak ke FELDA Sahabat dari Hospital Lahad Datu sambil diiringi kereta peronda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada jam 8.57 pagi tadi. 

Keadaan di Hospital Lahad Datu ketika ini masih lengang dan kelihatan beberapa anggota keselamatan berkawal di sekitar hospital berkenaan. - Berita Harian  
10.45 AM
LAHAD DATU - Pihak keselamatan memperketatkan kawalan keselamatan di zon merah susulan serangan ofensif yang dilancar ke atas penceroboh bersenjata di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo di Lahad Datu hari ini. 
Helikopter Nuri sedang meninjau kawasan Felda Sahabat
Tinjauan Bernama mendapati pasukan keselamatan meletakkan zon penampan bagi membezakan kawasan perang dan ruangan untuk orang awam di laluan masuk ke Kampung Tanduo, Labian dan Tanjung Batu yang dikawal ketat oleh anggota keselamatan terdiri daripada tentera dan polis. 
Kawasan itu menjadi zon larangan masuk bagi orang awam dan pihak tidak berkaitan. 
Sementara itu, masyarakat setempat termasuk di kawasan berjiran seperti Felda Sahabat 16 pula mengambil langkah keselamatan dengan berkurung di dalam rumah. 
Tinjauan Bernama di bandar Lahad Datu, kira-kira 130 kilometer dari kawasan pencerobohan kumpulan bersenjata terbabit, mendapati keadaan seperti biasa dan orang ramai masih keluar dengan urusan masing-masing. 
Walaupun masih banyak premis perniagaan ditutup, operasi beberapa kedai runcit, kedai kasut dan kedai telekomunikasi di Bandar Sri Perdana berjalan seperti biasa. 
Awal pagi ini pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif dari udara dan darat ke atas penceroboh yang menjadikan Kampung Tanduo sebagai kubu mereka sejak 9 Februari lepas. 
Serangan itu dilancar selepas kumpulan terbabit tetap enggan menyerah diri sekalipun telah diminta berbuat demikian oleh pasukan keselamatan. 
Sehingga kini, lapan anggota pasukan Polis Diraja Malaysia terkorban ketika mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman kumpulan penceroboh terbabit yang mendakwa mereka 'Tentera Sulu'. - Bernama

11.02 AM

LAHAD DATU - Pekerja ladang kelapa sawit dilihat berkumpul di bawah satu pondok sementara. Mereka diminta menangguhkan tugas sementara polis memperluaskan kawalan di sekeliling ladang tersebut yang terletak hampir dengan kawasan pertempuran. - Malaysiakini
11.10 AM
LAHAD DATU - Bercakap dalam satu akhbar, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata operasi masih berjalan dan pihak keselamatan yang terdiri daripada anggota PDRM dan tentera mendapat tentangan dalam bentuk beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh pihak musuh. 
Katanya, ketika ini pasukan keselamatan sedang menjalankan pengeledahan terhadap beberapa buah rumah di kampung tersebut. 
Ketika sidang akhbar itu diadakan, beliau berkata, setakat ini tidak ada kehilangan nyawa di pihak keselamatan di pihak PDRM dan tentera. - Malaysiakini

11.35 AM

LAHAD DATU - The Star yang memetik sumber polis melaporkan, kumpulan penceroboh bersenja di Kampung Tanduo berjaya ditewaskan sepenuhnya. 
Ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa pasukan kita, lapor laman itu. - Malaysiakini

11.54 AM


Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata operasi bersama antara polis dan tentera masih menerima tentangan musuh yang melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan negara. Pasukan Malaysia kini menjalankan operasi 'mopping up'. Tiada korban di pihak kita direkodkan setakat ini namun di pihak musuh masih belum diketahui. 
Ismail meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi mengenai jumlah kemalangan kerana akan menjejaskan Ops Sulu ini. 
Katanya, operasi ini hanya difokuskan di Kampung Tanduo. - Malaysiakini

12.44 PM 
Laman The Philippine Inquirer menyiarkan laporan mendakwa Askar Diraja Sulu tidak bercadang untuk menyerah walau digempur pasukan keselamatan Malaysia. 
Laporan itu menyebut, jurucakap kesultanan Sulu Abraham Idjirani memberitahu satu stesen radio bahawa kumpulan itu akan terus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. 
Idjirani yang memetik Azzimudie Kiram mendakwa bom yang dilepaskan jet Malaysia jatuh ke kawasan berkenan tetapi tidak mengenai kumpulan bersenjata Sulu. 
InterAksyon.com juga menerbitkan laporan sama pada jam 10.46 pagi ini. 
"Tidak. Tidak menyerah," kata Idjirani, yang menambah Azzimudie dalam perbualan terakhir mereka melalui telefon memberitahunya bahawa mereka akan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. 
Laporan itu tidak menyatakan masa panggilan telefon itu dibuat. 
Idjirani juga dilaporkan berkata, mereka akan mencari jalan untuk keluar dari keadaan bahaya demi kelangsungan kumpulan itu. 
"Ini hanya bermakna merka hanya takut kepada kita... Jika mereka berani, mereka tidak akan guna pasukan besar untuk mengelakkan tuduhan (bertindak) keterlaluan. Mereka menunjukkan kepada dunia bahawa apa yang mereka lakukan keterlaluan." - Malaysiakini
12.50 PM 
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata makanan disediakan untuk penduduk yang tersesar. 
"Mereka ditempatkan dalam dewan... berdekatan dan kami membantu mereka. Tiada masalah makanan atau air," katanya.
1.00 PM 
Dalam satu lagi laporan pada 12.43pm, Philippine Daily Inquirer melaporkan dakwaan Azzimudie, yang mengetuai kumpulan bersenjata Sulu di Lahad Datu memberitahu jurucakap kesultanan Sulu Abraham Idjirani bahawa mereka sedang "beristirahat". - Malaysiakini


1.08 PM 
The Star dalam laporan di Twitter menyebut, Semporna diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan Ops Sulu di Tanduo. - Malaysiakini

1.15 PM 
Pegawai-pegawai Jabatan Penerangan mengedarkan jaket kuning terang bertulis 'media' kepada wartawan di pusat media. 
"Ini adalah permintaan pihak polis, jadi kita mematuhinya. Ia akan lebih mudah mengenal pasti petugas media," jelas seorang pegawai. - Malaysiakini

1.30 PM 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan Zahid Hamidi tiba di Felda Sahabat dengan helikopter dan diiringi ke bilik taklimat. - Malaysiakini

1.42 PM 
ABS-CBN melaporkan bahawa Filipina meminta pihak berkuasa Malaysia untuk membantu menyediakan perjalanan keluar yang selamat dari Sabah untuk wanita Filipina dan mereka yang bukan penceroboh bersenjata. 
Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario (kanan) telah meminta rakan sejawatannya dari Malaysia untuk berbuat demikian supaya mereka dibenarkan meninggalkan kawasan pertempuran di sana. 
Del Rosario juga meminta Jabatan Hal Ehwal Luar di Manila untuk menyampaikan nota kepada duta Malaysia ke Filipina untuk berhubung rayuan tersebut. 
Menteri Luar Malaysia, Datuk Anifah Aman berkata beliau akan menyampaikan permintaan itu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zamid Hamidi. - Malaysikini

1.54 PM 
Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menasihatkan warganya agar tidak mengunjungi kawasan pantai timur Sabah, termasuk bandar Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. 
Satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat kedutaan berkenaan menyebut menjangkakan lebih banyak insiden keganasan akan berlaku di kawasan terbabit. - Malaysiakini

Penduduk Tinggalkan Kampung Halaman


Sebahagian penduduk Kampung Tanjung Labian dan Tanjung Batu menyelamatkan diri daripada penceroboh bersenjata. Foto: myMetro

LAHAD DATU - “Kamu pergi buat laporan polis kerana saya mahu berunding dengan polis,” kata seorang lelaki yang mengetuai sekumpulan 100 penceroboh dari Sulu, Filipina yang masuk ke rumah beberapa Kampung Tanjung Batu, dekat sini, semalam. 
Ludokus Laku, 33, berkata, lelaki berusia pertengahan umur itu memperkenalkan dirinya sebagai Haji Musa masuk ke rumahnya ketika dia bersama ayah dan dua rakan menikmati sarapan, jam 8 pagi. 
Menurutnya, lelaki itu bersama tiga pengikutnya masuk dalam rumahnya melalui pintu belakang dan mengarahkan dia serta tiga yang lain berdiam diri. 
“Lelaki itu yang memakai kopiah putih dan berselepang serta bersenjata kemudian bersalam dengan kami dan memperkenalkan diri sebagai Haji Musa. “Dia menyuruh saya membuat laporan polis mengenai kehadirannya di kampung kami dan memberitahu ingin mengadakan rundingan dengan polis,” katanya. 
Ludokus berkata, selepas lelaki itu berkata demikian, dia terus keluar daripada rumah dan menyedari pergerakannya tidak dihalang dia berlari ke jalan utama masuk ke kampung itu. - myMetro


Penceroboh Masuk Dua Kampung Lagi


Sebahagian penduduk di Kampung Labian berkumpul di Dewan Embara Budi di Felda Sahabat, Lahad Datu semalam.

LAHAD DATU - Penduduk di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian di sini semalam gempar apabila menerima maklumat mendakwa sekumpulan 40 individu bersenjata mencurigakan yang menaiki dua buah bot mendarat di kawasan tersebut. 
Kehadiran kumpulan yang didakwa mempunyai kaitan dengan pengganas Sultan Sulu tersebut kemudian dilaporkan oleh seorang penduduk berusia 36 tahun di sebuah balai polis di sini. 
Sumber memberitahu, lelaki tersebut memberitahu dia menerima panggilan daripada seorang ketua kampung pada pukul 8.45 pagi semalam yang mendakwa melihat kehadiran sekumpulan lelaki yang menaiki dua buah bot besar kelmarin. 
"Laporan itu juga menyebut lelaki bersenjata tersebut telah membeli makanan secara pukal sekaligus menggemparkan penduduk di dua buah kampung tersebut" katanya. 
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Tanjung Labian dikenali sebagai Ridal, 32, mendakwa, dia terdengar bunyi teriakan orang yang berlari menuju ke sebuah dewan. 
"Kami kemudian nampak ada beberapa penduduk Kampung Tanjung Batu yang sama-sama menuju ke dewan. Mereka kata ternampak sekumpulan lelaki keluar dari kawasan ladang kelapa sawit menuju ke Kampung Tanjung Batu," katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata, pihaknya sudah menghantar sepasukan anggota untuk memantau kawasan terbabit. 
"Kita sedang menyiasat jika ada kumpulan yang benar-benar telah memasuki kedua-dua kampung berkenaan," kata beliau. 
Bagaimanapun, menurut beliau, pada masa ini, keadaan di kedua-dua kampung itu terkawal dengan pasukan keselamatan sedang membuat kawalan rapi. 
Dengan perkembangan terbaharu itu, pihak penceroboh kini telah masuk ke lima buah kampung dengan didahului Kampung Tanduo sejak 12 Februari lalu sebelum diikuti Kampung Seri Jaya, Siminul dekat Semporna dan Kunak. 
Kampung Tanjung Batu dan Kampung Labian terletak kira-kira empat kilometer dari Kampung Tanduo. 
Luas kawasan yang diceroboh kira-kira 500 meter persegi. 
Ketika pertempuran antara pengganas Sultan Sulu dengan pihak polis di Kampung Tanduo, dua anggota polis Komando VAT 69 telah disahkan meninggal dunia. Mereka ialah Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46. 
Zulkifli kemudian dinaikkan pangkat kepada Asisten Superintendan manakala Sabarudin pula mendapat pangkat Sarjan. 
Tiga pula cedera iaitu Koperal Azman Ampong, 38, Koperal Mohd. Tarmizi Hashim, 32, dan Konstable Mohamad Qaiyumaiqal, 22. 
Polis yang membuat serangan balas kemudian telah menembak mati seramai 12 orang pengganas. 
Sementara itu di Kampung Seri Jaya pula, seramai enam anggota termasuk seorang pegawai disahkan meninggal dunia. 
Mereka ialah Superintendan Ibrahim Lebar, 52; Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27; Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48; Koperal Salam Togiran, 42; Asisten Superintendan Michael Padel, 36, dan Sarjan Baharin Hamit, 49. 
Jumlah pengganas yang dibunuh juga seramai enam orang. - Kosmo!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.