|
Anggota polis sedang bersiap sedia untuk memulakan operasi memburu pengganas pagi tadi |
|
Anggota polis ini terlibat dengan operasi di laut |
|
Mayat pengganas ini bersama dua mayat rakannya yang lain telah diserahkan penduduk kepada pihak berkuasa |
|
Penduduk Kampung Seri Jaya bergegas meninggalkan rumah selepas mendengar kampung mereka akan dibakar pengganas Sultan Sulu semalam. |
|
Para penduduk kampung memunggah barang-barang mereka untuk berpindah ke tempat lain. Foto: myMetro |
Penduduk Bimbang Pengganas Sulu Bakar Kampung Mereka
SEMPORNA - Tragedi berdarah yang mengorbankan enam anggota polis di Kampung Seri Jaya, Simunul di sini menakutkan penduduk kampung selepas mereka mendengar khabar angin kumpulan pengganas itu merancang membakar kampung mereka.
Seorang penduduk, Nazmah Datugis, 40, berkata, sejak tercetus khabar angin itu, dia dan ahli keluarga membuat keputusan meninggalkan kampung itu buat sementara kerana bimbang dengan khabar angin tersebut.
"Kami terpaksa meninggalkan rumah kerana kumpulan tersebut tidak berhati perut dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh," kata Nazmah yang sedang berkemas untuk meninggalkan kampungnya semalam.
Wandi Ipong, 52, pula berkata, khabar angin sejak kelmarin itu membuatkan dia dan penduduk kampung berasa tidak selamat walaupun menyedari pihak polis memberi jaminan keadaan di kampung tersebut masih terkawal.
"Kami dan beberapa penduduk tidak sanggup menanggung risiko untuk terus tinggal di sini," kata Wandi.
Tambah Wandi lagi, dia dan keluarga akan berpindah buat sementara waktu ke rumah kenalannya di kampung berhampiran dan hanya akan pulang semula selepas keadaan benar-benar aman.
Sementara itu, Ketua Kampung Seri Jaya, Panglima Ramlee Saraman berkata, beliau tidak dapat menghalang tindakan beberapa penduduk yang ingin berpindah ke tempat lain.
"Saya sudah menasihati semua penduduk supaya bertenang namun ada sebahagian penduduk tetap mahu pindah," kata Ramlee.
Sementara itu, tinjauan di pekan Semporna mendapati walaupun keadaan tenang namun penduduknya hidup dalam keadaan berjaga-jaga.
Beberapa kedai dilihat hanya membuka separuh premis untuk urusan perniagaan.
Selain itu, difahamkan, sebahagian nelayan turut enggan turun ke laut kerana bimbang dengan kejadian berdarah yang merebak ke sini.
Seorang nelayan, Ibrahim Jailani, 40, berkata, nelayan-nelayan terutamanya dari Kampung Seri Jaya mengambil keputusan untuk tidak menangkap ikan sejak Sabtu lalu.
"Jika esok keadaan lebih tenang, baru nelayan bercadang turun ke laut. Hasil tangkapan ikan merupakan sumber pendapatan penduduk di sini," katanya ketika ditemui semalam.
Bagi Abdullah Sapayani, 55, pula, walaupun tiada serangan terbaharu di pekan ini namun penduduk masih berada dalam ketakutan.
"Tindakan polis menyerbu dan menembak balas tindakan kumpulan pengganas yang membunuh anggota polis merupakan tindakan tepat," kata Abdullah.
Seorang suri rumah, Norpaidah Samat, 40, berkata, sejak tinggal di sini pada tahun 1970, ini merupakan insiden berdarah pertama yang dilaluinya.
Sejak tercetus pergolakan itu, Norpaidah berkata, dia sekeluarga terpaksa menggunakan tilam dan kusyen tempat duduk untuk diletakkan di dinding rumah sebagai benteng.
"Saya takut. Anak-anak saya juga ramai yang masih kecil," katanya. - Kosmo!
Penduduk Semporna Masih Bimbang Keselamatan Mereka
Walaupun pertempuran di Kampung Sri Jaya Simunul di Semporna berakhir pada malam Ahad lalu, tetapi kebimbangan masih menyelubungi perkampungan di kawasan pantai, di mana sebahagian besar penduduknya telah dipindahkan untuk mengelak kemungkinan ada lagi pencerobohan oleh militan asing.
Ramai penduduk kampung semalam mengangkut barangan dan perabot rumah mereka, termasuk set sofa dan televisyen, dengan trak 4WD dan lori kecil untuk dihantar ke rumah saudara-mara mereka dan ke tempat tinggal sementara mereka.
Beberapa penduduk kampung sebenarnya telahpun mula membungkus barangan mereka sejurus selepas tembakan pertama didengar pada hari Sabtu lalu.
Mereka bimbang tentang keselamatan diri mereka, dan seperti yang mereka duga, pertempuran berlaku kemudiannya, dengan ramai daripada mereka masih tidak pasti tentang situasi tersebut ketika khabar angin mula merebak di sekitar kawasan kampung itu.
Seorang penduduk Kampung Sri Jaya Simunul, Hakim Abdul Wahab, berkata masih terdapat penceroboh bersembunyi di salah sebuah rumah di kampung itu, di mana rumah-rumah dibina di atas tiang kayu di permukaan laut.
"Polis memberitahu kami bahawa penceroboh telah bersembunyi di rumah tersebut dan tiada siapa yang dibenarkan untuk mendekatinya kerana bimbang mereka bersenjata," kata Wahab kepada Malaysiakini ketika ditemubual di pintu masuk ke kampungnya petang semalam.
Malam tadi, beberapa tembakan didengar oleh wartawan yang menginap di sebuah hotel di bandar di Semporna, yang terletak kira-kira 2km dari Kampung Sri Jaya Simunul. - Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.