|
Presiden Barack Obama tiba di lapangan terbang Pulkovo, Saint Petersburg kelmarin bagi menyertai sidang kemuncak G20 |
|
Sebaik tiba, Obama bergegas turun dari pesawat rasminya, Air Force One |
|
Obama dilaporkan akan berhujah mengenai tindakan ketenteraan terhadap rejim Syria yang didakwa menggunakan senjata kimia |
|
Seorang pembantu Obama berkata, masih tiada rancangan perbincangan dua hala di antara pemimpin dari AS dan Rusia itu |
|
Istana yang menjadi tempat untuk jamuan makan malam ini dibina pada tahun 1715 oleh Tzar pertama Rusia, Peter Yang Agung |
|
Presiden Rusia Vladimir Putin berjalan dengan ahli-ahli Sidang Kemuncak G20 selepas hari pertama G20 di St Petersburg, Rusia |
|
Pandangan umum meja makan sidang kemuncak G20 di Peterhof Palace pada 5 September 2013 di Saint Petersburg |
|
Istana Constantine di St Petersburg, tempat sidang untuk pemimpin-pemimpin G20 |
|
Suasana persidangan yang dipengerusikan oleh Presiden Vladimir Putin dari Rusia selaku tuan rumah |
|
Semasa sidang Presiden Obama duduk bersebelahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dari Indonesia |
|
Di luar sidang, seorang pekerja seni dozen dari Muzei Vlasti cuba untuk mengadakan bantahan |
|
Polis Rusia juga menahan seorang aktivis pembangkang yang cuba memaparkan kartun menunjukkan G20 pemimpin |
SAINT-PETERSBURG - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama tiba di sini kelmarin bagi menyertai sidang kemuncak G20 di Rusia di mana beliau dilaporkan akan berhujah mengenai tindakan ketenteraan terhadap rejim Syria yang didakwa menggunakan senjata kimia.
Dengan raut wajah serius, Obama kelihatan bergegas turun dari pesawat rasminya, Air Force One yang mendarat di lapangan terbang Pulkovo, Saint Petersburg menjelang majlis perasmian G20 oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin pada tengah hari.
Seorang pembantu Obama berkata, masih tiada rancangan perbincangan dua hala di antara pemimpin dari AS dan Rusia itu ekoran kedua-duanya mempunyai pandangan berbeza berhubung krisis di Syria.
Namun, Obama dan Putin dikatakan mempunyai peluang mengadakan perbincangan di luar mesyuarat dengan ketua-ketua negara G20.
Timbalan Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Ben Rhodes menyatakan bahawa para pegawai AS akan meneruskan perbincangan dengan Rusia mengenai asas- asas dakwaan penggunaan senjata kimia oleh rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Namun Rhodes berkata, AS enggan berdebat mengenai sama ada serangan benar-benar akan dilancarkan ke atas negara Asia Barat itu.
Menurut Rhodes, Obama menerima kenyataan bahawa tidak semua anggota G20 akan bersetuju mengenai rancangannya ke atas Syria terutama Rusia.
Bagaimanapun, Obama dilapor akan menjelaskan tentang rancangan semasa AS kepada sekutu-sekutu negara itu dan rakan-rakan G20.
Beliau juga dilaporkan ingin mengetahui jenis sokongan diplomatik dan politik yang bakal dinyatakan anggota-anggota G20 berhubung situasi di Syria.
Perancis sebelum ini menyokong rancangan AS menyerang Syria. Namun, beberapa kuasa besar G20 termasuk China dan Jerman dengan tegas menyuarakan bantahan mereka.
Obama turut terlepas sokongan sekutu rapatnya, Britain apabila wakil-wakil rakyat negara itu mengundi untuk tidak terlibat dalam tindakan ketenteraan ke atas Syria.
Rejim Bashar didakwa melakukan serangan gas sarin pada 21 Ogos lalu yang meragut 1,429 nyawa termasuk 400 kanak-kanak di pinggir bandar Damsyik.
Perang saudara di Syria yang memasuki tahun ketiga telah mengorbankan lebih 110,000 orang serta menyebabkan kira-kira dua juta rakyatnya melarikan diri ke negara-negara jiran.
Dalam perkembangan berkaitan, Kesatuan Eropah (EU) menggesa kumpulan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan segera hasil siasatan mengenai serangan senjata kimia itu.
Gesaan tersebut dibuat supaya komuniti antarabangsa boleh memutuskan tindakan yang perlu diambil berhubung konflik di Syria.
Presiden EU, Herman Van Rompuy ketika berada di Saint Petersburg semalam berkata, masih terlalu awal untuk mengenakan tinda- kan ketenteraan ke atas negara bergolak itu walaupun AS dan Perancis bersedia untuk bertindak.- Agensi/Kosmo! Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.