|
Tanah kubur yang digali dikapankan semula sebelum dikebumikan. Foto: Sinar Harian |
|
Praktikal dijalankan dengan memindahkan kubur lama di tepi jalan. Foto: Sinar Harian |
|
Hanya dengan menggali kubur lama sedalam setengah meter, tanah bercampur tulang ditemui. Foto: Sinar Harian |
|
Tiga kubur lama di halaman rumah Khatijah yang masih tidak dialihkan. Foto: Sinar Harian |
|
Petugas pejabat agama (dua, kiri) menunjukkan tanah yang bercampur tulang si mati kepada Khatijah (tiga, kiri). Foto: Sinar Harian |
KUALA PILAH – Sebuah kubur lama berusia lebih 100 tahun yang terletak di tepi jalan masuk ke Kampung Bukit Temensu dialihkan bagi menghormati jenazah.
Abu Hashim Othman, 89, berkata, kubur itu milik nenek mertuanya dikenali sebagai Petah yang meninggal dunia lebih 100 tahun dan dikebumikan di pekarangan rumahnya.
Menurutnya, pada masa itu, jenazah saudara mara boleh dikebumikan di kawasan rumah.
"Malah di kawasan ini ada 23 lagi kubur lama masih belum dialihkan berikutan memerlukan kos tinggi.
“Kami pindahkan jenazah Petah kerana ia mengganggu laluan masuk ke Kampung Bukit Temensu. Lebih elok dipindahkan ke tanah perkuburan orang Islam Sepam kariah Senaling,” katanya ditemui di kawasan rumah anaknya, Khatijah Abu Hashim, 70.
Sementara itu, Khatijah berkata, rumahnya dibina pada 1997 dan pada waktu itu sudah mengetahui terdapat kubur lama di kawasan tanah tersebut.
Menurutnya, sebelum ini, dia pernah berhajat untuk memindahkan kubur lama dengan merujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah.
"Namun selepas pihak pejabat agama memaklumkan segala kos pemindahan kubur lama perlu ditanggung oleh pihak tuan rumah, makcik terpaksa batalkan hajat itu.
“Makcik memang tiada wang, jadi makcik biar sahaja kubur di tepi jalan, namun dilindungi dengan pengadang bagi mengelakkan kenderaan yang melalui kawasan itu tidak memijak tanah kubur terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Khatijah berkata, baru-baru ini, pejabat agama memaklumkan akan mengadakan bengkel dan praktikal memindahkan kubur lama.
“Bila mereka minta kebenaran untuk menjadikan kubur arwah Petah sebagai praktikal kepada peserta bengkel, makcik sangat gembira,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah, Mohammad Hatta Ghazali berkata, kawasan Kuala Pilah memang terkenal dengan kubur lama malah kedudukannya yang berada di kawasan rumah juga menjadi kebiasaan.
Menurutnya, kebiasaannya pemindahan kubur lama bergantung kepada tujuan ahli keluarga terbabit. "Kadangkala pemindahan kubur lama dilakukan bagi memberi ruang kepada projek pembangunan dan jalan raya. Jadi, untuk menghormati jenazah, ia dipindahkan di tempat yang sesuai mengikut kariah masjid.
“Dahulu kita memindahkan kubur lama menggunakan jentolak, tetapi apabila mengetahui teknik betul, sebenarnya lebih mudah,” katanya.
Mohammad Hatta berkata, jenazah yang lama akan naik ke atas tanah dan bukan lagi 2.1 meter seperti mana dikebumikan pada awalnya.
“Sebagai contoh kubur ini berusia lebih 100 tahun. Kita baru menggali kubur itu setengah meter dan menjumpai tanah mengandungi tulang yang kelihatan berwarna putih.
"Oleh itu, sebenarnya tidak perlu menggali sedalam 2.1 meter dan proses pemindahan kubur menjadi tidak rumit,” katanya.
Selain itu, katanya, seramai lapan panel khas dilatih menerusi Bengkel Pemurnian Prosedur dan Teknik Pemindahan Kubur Lama anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah serta Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.
“Panel khas itu akan mengetuai proses pemindahan kubur seluruh negeri ini.
“Kita turut menjemput pihak Majlis Agama Islam Melaka (Maim) sebagai penceramah kerana mereka lebih berpengalaman,” katanya.
Kongsi ilmu melalui bengkel Penolong Setiausaha Wakaf dan Sumber Am Maim, Mohd Khabir Abdul Karim berkata, bengkel itu diadakan bagi berkongsi ilmu memandangkan sebelum ini, pihaknya sudah mengelolakan lebih 400 kubur lama sejak 80-an.
“Atas dasar pengalaman, kami mengadakan bengkel selama dua hari di Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah.
“Menerusi bengkel ini, peserta akan diberitahu secara terperinci bagi membolehkan mereka mengendalikan proses pemindahan kubur lama di negeri ini,” katanya.
Mohd Khabir berkata, proses itu tiada prosedur khusus hanya diadakan majlis tahlil sebagai tanda penghormatan kepada si mati.
“Memandangkan tiada rangka tulang, kita berpandukan kepada tanah. Jika tanah itu sudah kelihatan berwarna putih, kita akan ambil untuk dikebumikan semula,” katanya.
Katanya, kebiasaannya proses itu turut melibatkan mufti negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan penguatkuasa jabatan agama. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.