Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 22 September 2013

Pengalaman Pemandu Van Jenazah

Ismail (kiri) bersama rakan sekerjanya memeriksa kenderaan sebelum memulakan tugas di Hospital Sultanah Bahiyah. Foto: Sinar Harian

Ismail samping isterinya, Norma yang turut memberi semangat kepadanya. Foto: Sinar Harian

Membawa jenazah pada malam hari memang mencabar (gambar hiasan). Foto: Sinar Harian

Suasana dalam van jenazah (gambar hiasan). Foto: KualaLumpurPost


POKOK SENA - Kerjaya sebagai pemandu van jenazah tidaklah sehebat seperti bidang pekerjaan lain kerana tugasnya hanya membawa dan menghantar jenazah sahaja. 
Bagaimanapun, pekerjaan ini sebenarnya tersirat pelbagai dugaan yang perlu ditempuh hingga kadang kalanya sukar diterima akal. 
Sebagai pemandu van jenazah, seseorang itu memerlukan kesabaran dan keberanian kerana ia adalah antara kriteria yang perlu ada bagi menjawat pekerjaan itu. 
Ini diakui sendiri Ismail Hashim, 49, dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar yang mengalami pelbagai suka duka sebagai pemandu van jenazah sepanjang 25 tahun berkhidmat di bahagian itu sejak 1991 di Hospital Besar Pulau Pinang. 
Pada mulanya semasa mula bekerja, dia menganggap pekerjaan itu adalah mudah, iaitu hanya menurut arahan majikan sahaja bagi menghantar jenazah, tetapi selepas mula berkhidmat barulah tahu pelbagai dugaan dan tragedi yang dialaminya. 
Peristiwa pertama yang tidak dapat dilupakan sehingga sekarang ialah pada 1997, iaitu ketika menerima arahan menghantar jenazah lelaki berumur 90 tahun ke Padang Sanai, Padang Terap pada jam 3 pagi sambil diiringi dua waris jenazah. 
Dalam perjalanan, kedua waris itu duduk di bahagian belakang bagi menemani jenazah itu sambil membaca al-Quran dan sehinggalah sampai di pertengahan jalan di Kampung Rambutan, Kuala Nerang, tiba-tiba van itu berhenti secara tiba-tiba. 
Ismail berkata, dia cuba menghidupkan enjin beberapa kali sambil menghubungi ibu pejabat untuk mendapat bantuan, tetapi gagal sehinggalah dia turun dan pergi ke belakang serta mendapati pintu van belakang terbuka dan waris kedua itu juga turut menghilangkan diri. 
“Pada masa itu, suasana begitu sunyi dan tidak ada kenderaan yang melalui jalan itu. Saya masuk semula ke dalam van dan beberapa minit kemudian hadapan cermin van dipenuhi dengan belalang serta beberapa kala jengking. 
“Oleh kerana bimbang dengan keselamatan, saya menutup pintu dan hanya membaca ayat Kursi sahaja sehinggalah kedengaran azan barulah haiwan itu hilang secara tiba-tiba. Kemudian barulah waris jenazah itu turut datang melihat jenazah itu,” katanya. 
Selepas dimaklumkan kejadian itu, barulah waris itu menceritakan arwah bapa mereka mempunyai saka hingga mereka juga tidak sanggup menunggu di belakang kerana diganggu dan terpaksa meninggal van itu dan beredar ke sebuah rumah berhampiran jalan itu. 
Peristiwa kedua yang dialaminya ialah ketika mendapat arahan menghantar jenazah seorang perempuan tua ke sebuah feldapada jam 2 pagi. 
Selepas menghantar jenazah itu, dia singgah di tepi jalan untuk membuang air kecil dan selepas masuk ke dalam van, dia mendapati seorang perempuan berambut panjang duduk di sebelahnya sambil muka menghala ke arah luar. 
"Saya cuba tegur dan bertanya wanita itu hendak ke mana, tetapi dia hanya mendiamkan diri sehingga saya mula merasa seram dan membaca pelbagai ayat al-Quran, tetapi wanita itu masih tidak hilang. 
"Kenderaan juga tidak dapat bergerak laju sehinggalah sampai di pekan Pendang dekat tanah perkuburan Cina, barulah wanita misteri itu hilang. Selepas hilang, barulah saya lega," katanya yang kini bertugas sebagai pemandu ambulan di Bahagian Kecemasan HSB. 
Selain pengalaman menakutkan, dia juga turut mengalami peristiwa manis ketika membawa seorang jenazah lelaki tua ke Baling, Kedah. 
Selepas diarahkan mengangkat jenazah yang beratnya kira-kira 60kg pada jam 4 pagi, jenazah itu sangat ringan dan senang dibawa masuk ke dalam van. 
Kira-kira 10 minit perjalanan, terbau sesuatu yang sangat wangi dan begitu menyenangkan hinggalah sampai di rumahnya.
Di sana sudah ramai yang menunggu jenazah itu dan dimaklumkan dia adalah seorang kuat melakukan ibadat dan disenangi masyarakat sekitarnya. 
Ismail berkata, segala peristiwa yang berlaku kepadanya banyak memberi iktibar dan dia percaya semuanya itu adalah kehendak Allah yang Maha Berkuasa. 
Menurut Ismail, isterinya, Norma Awang Kechik, 53, juga turut memberi semangat sepanjang menjalani tugas sebagai pemandu van jenazah. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.