|
Zulkifli (kanan) menceritakan keadaan bapanya selepas mengalami muntah-muntah. Foto: Sinar Harian |
|
Isteri Ibrahim, Kamariah Abu Bakar, 56, (kanan) menunggu jenazah suaminya di HSAH semalam. Foto: Sinar Harian |
YAN - Gara-gara menjamu selera di satu majlis kenduri di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sabtu lalu, tiga maut manakala lebih 60 orang mengalami keracunan makanan.
Hidangan jamuan berlauk ayam masak merah, gulai terung ikan talam dan kerabu pucuk paku dikatakan menjadi menu utama yang dihidangkan kepada hadirin di majlis kenduri berkenaan.
Mangsa pertama, Nurshazana Mohd. Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak meninggal dunia kira-kira jam 12.45 tengah hari selepas mengalami sakit perut yang melampau.
Manakala mangsa kedua, Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, dari Kampung Singkir Lauk, Yan, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 petang ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan seorang lagi mangsa, Ibrahim Mohamad, 62, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.30 petang di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, hari ini.
Difahamkan kesemua mangsa menghadiri majlis kenduri yang sama dan mendapat simptom keracunan yang sama berpunca daripada makanan yang dimakan.
Seorang tetamu hadir ke kenduri berkenaan, Rozita Sharif, 38, berkata, selepas pulang daripada kenduri itu, dia berasa tidak sedap badan serta pening dan sakit perut.
“Awalnya saya hanya anggap sakit perut biasa dan cirit-birit biasa sahaja, tetapi dikejutkan dengan berita kematian anak jiran saya yang dikatakan meninggal selepas mengalami sakit perut.
“Sejurus itu saya terus datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat berkata, pihaknya mendapati kesemua mangsa mempunyai tanda-tanda mengalami keracunan dan meminta semua yang hadir ke kenduri terbabit supaya membuat pemeriksaan di hospital atau klinik berhampiran.
“Pihak hospital sedang menyiasat punca kejadian dan setakat ini kita menerima laporan tiga orang yang telah meninggal dunia.
“Mangsa mungkin mengalami dehidrasi yang teruk yang menyebabkan kehilangan air yang serius. Pihak hospital akan mengambil sampel najis mangsa untuk sahkan jenis kuman yang dijangkiti mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini. - Sinar Harian
|
Salah seorang mangsa keracunan, Rozita Sharif, sedang menerima rawatan di Hospital Yan. |
|
Lagi dua mangsa keracunan makanan sedang menerima rawatan di Hospital Yan. Foto: Sinar Harian |
SUNGAI PETANI – Mangsa terbaru keracunan makanan, Ibrahim Mohamad, 62, disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 6.30 petang tadi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
Jenazah yang dituntut keluarga akan dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu sebaik sahaja selesai bedah siasat di HSAH.
Anak mangsa, Zulkifli, 31, berkata, bapanya dikatakan mengalami cirit-birit sejak pagi Ahad lalu akibat dipercayai keracunan makanan selepas dikatakan menghadiri majlis perkahwinan berdekatan rumahnya di Kampung Huma, Tanjung Dawai, jam 6 petang Sabtu lalu.
“Pagi itu (Ahad), ayah dah mengalami cirit-birit serta beberapa kali masuk ke tandas, bagaimanapun keadaannya masih baik serta boleh bercakap seperti biasa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HSAH hari ini.
Menurut Zulkifli, keadaan Ibrahim dilihat semakin tidak bermaya beberapa jam selepas itu menyebabkan ahli keluarga membawanya ke Hospital Daerah Yan tengah hari semalam bagi mendapatkan rawatan.
“Walaupun dibenarkan pulang selepas ditambah air dalam badan, keadaan ayah semakin lemah serta tidak mampu berjalan menyebabkan ayah terus ditahan wad.
“Disebabkan makin kritikal, ayah kemudian dirujuk ke HSAH lebih kurang jam 2 petang tadi,” katanya.
Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia jam 6.30 petang.
Sementara itu, penduduk, Puan Md Noor, 55, berkata, anaknya yang berusia 25 tahun juga menerima rawatan di HSAH akibat keracunan selepas menghadiri kenduri yang sama.
“Anak kelima saya, Mohd Nazri Deraman, turut mengalami loya dan muntah serta cirit-birit dipercayai selepas makan kenduri.
“Nazri terlebih dahulu menerima rawatan di sebuah klinik di Semeling pada jam 9 malam semalam.
“Tetapi, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan keluarga membawanya ke HSAH pada jam 2 petang tadi,” katanya.
Mohd Nazri dikatakan makan kenduri pada jam 3 petang Sabtu lalu dan mula mengadu sakit pada jam 7 pagi keesokan hari.
“Tetapi Alhamdulillah selepas dimasukkan air dalam badan, dia dibenarkan pulang jam 7 malam tadi,” katanya.
Puan berkata, dia juga menghadiri majlis kenduri yang sama tetapi makan masakan yang disediakan lebih awal pada tengah hari.
“Saya juga ada cubit sikit ayam yang dimasak itu tetapi mujur tidak sakit,” katanya.
Difahamkan, majlis kenduri yang diadakan Sabtu lalu disediakan secara bergotong-royong tetapi dikatakan hanya tetamu yang menghadiri jamuan sebelah petang mengalami keracunan.
Sumber mengatakan, lebih ramai mangsa yang telah mendapatkan rawatan di klinik berhampiran serta hospital berdekatan, namun jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan berikutan tiada pengesahan dari mana-mana pihak.
Kejadian turut dipercayai meragut dua nyawa lain termasuk Mohd Noor Rahmat, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan dan Nor Syazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Merbok. - Sinar Harian
1.10.2013:
|
Kakitangan hospital mengusung jenazah seorang daripada tiga mangsa yang meninggal dunia. Foto: myMetro |
|
Foto: myMetro |
SUNGAI PETANI - Kegembiraan kira-kira 2,000 tetamu menghadiri satu majlis kenduri kahwin bertukar tragedi apabila tiga daripadanya maut manakala lebih 60 lagi terpaksa dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan selepas disyaki menjamah juadah ayam masak merah.
Kejadian di Kampung Huma, Tanjung Dawai Sabtu lalu itu mengorbankan nelayan, Ibrahim Mohamad, 62, penuntut Universiti Islam Antarabangsa, Nurshazana Mohd. Rashid, 24, dan pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Singkir, Mohd. Nor Rahmat Yusof, 11.
Ibrahim meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang semalam ketika dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, Nurshazana maut di rumahnya di Kampung Tempoyak, Bedong pada pukul 12.45 tengah hari manakala Mohd. Nor Rahmat pula di Hospital Yan di sini pada pukul 1 petang.
Setakat malam tadi, 59 mangsa termasuk tiga kritikal dirawat di Hospital Yan dekat sini dan HSAH. - Kosmo! Online
2.10.2013:
|
Mangsa keracunan makanan menerima rawatan di Hospital Yan |
SUNGAI PETANI - Bakteria salmonela dikenal pasti terkandung dalam hidangan ayam goreng masak merah yang disediakan secara gotong-royong sehingga menyebabkan kematian.
|
Dr Ismail Abu Taat |
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Ismail Abu Taat berkata, sebahagian daripada 130 bekalan ayam yang dihantar untuk majlis perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai Sabtu lalu juga didapati sudah busuk.
Menurutnya, hasil laporan siasatan terperinci yang dilakukan mendapati ayam yang busuk diasingkan manakala sebahagian yang masih elok digunakan untuk memasak.
“Ayam kemudian digoreng pada jam 9 pagi hingga 4 petang 27 September sebelum disimpan di suhu bilik,” katanya kepada media di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, semalam (1.10.2013).
Ismail berkata, keadaan penyimpanan yang tidak sesuai juga boleh menyebabkan bakteria merebak selain kaedah menyedia yang tidak cukup tempoh memasak juga boleh menjadi faktor penyakit berkenaan.
“Setelah disiasat mendapati, ayam goreng yang dicampurkan kuah sambal pada 28 September untuk dihidangkan kepada pengunjung majlis perkahwinan mengandungi mikroorganisme yang dipanggil salmonella,” katanya.
Ismail berkata, individu yang dikesan terkena jangkitan bakteria berkenaan akan mengalami simptom demam, cirit-birit, perut memulas dalam tempoh 12 jam selepas makan.
“Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa kehilangan banyak air dalam badan dan lebih serius boleh menyebabkan kematian sekiranya lambat menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini lebih kurang 270 mangsa menerima rawatan di beberapa hospital di negeri ini dan dua daripadanya masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Menurutnya, di HSAH, seramai 127 pesakit mendapatkan rawatan di mana 38 dimasukkan ke wad manakala 89 sudah dibenarkan pulang.
Daripada jumlah itu, katanya, seorang pesakit berusia 58 tahun berada di ICU manakala seorang lagi di ICU berusia 56 tahun baru sahaja dilaporkan meninggal dunia jam 7.15 malam semalam.
Sementara itu, katanya, di Hospital Daerah Yan, seramai 138 kes dirawat di mana 62 ditahan wad manakala 68 sudah dibenarkan pulang.
Katanya, seramai 18 kes dirujuk di lain-lain hospital.
Ismail bagaimanapun meminta orang ramai yang mengunjungi majlis kenduri terbabit supaya membuat pemeriksaan segera bagi memastikan tahap kesihatan mereka. - Sinar Harian
|
Sebahagian mangsa keracunan makanan yang dirawat di Hospital Yan semalam. |
SUNGAI PETANI - Kes keracunan makanan yang menimpa tetamu sebuah majlis perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai Sabtu lalu terus meragut nyawa apabila seorang lagi disahkan maut menjadikan jumlah korban setakat ini meningkat kepada empat orang.
Wan Razali Yaakob, 56, disahkan meninggal dunia pada pukul 7.15 malam tadi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini. Mangsa dimasukkan ke situ sejak pagi kelmarin. - Kosmo! Online
|
Sebahagian daripada mangsa keracunan makanan yang dirawat di Hospital Yan |
YAN - Tragedi keracunan makanan di majlis kenduri perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai, yang meragut tiga nyawa kelmarin menjadi sejarah hitam buat pengantin baru berkenaan.
Hasliyana Yusuf, 22, berkata, dia sedih dengan kejadian dan tidak menyangka majlis raja sehari bertukar menjadi tragedi hitam.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, trauma dan kesal dengan apa yang berlaku pastinya tidak dapat dilupakan.
“Kami sekeluarga begitu gembira dengan majlis yang diadakan memandangkan saya anak pertama yang melangsungkan perkahwinan.
“Namun, kejadian ini berubah menjadi nasib malang buat kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan, semalam.
Menurut bekas pelajar Politeknik Port Dickson itu, keluarganya sendiri turut mengalami keracunan sama.
“Mak, kakak dan adik saya turut mengalami keracunan dan ditahan di wad. Manakala keluarga sebelah suami saya tidak ada yang menerima kesan keracunan itu,” katanya.
Bapa pengantin, Yusuf Ahmad, 55, berkata, masakan yang disediakan kepada tetamu jemputan sempena kenduri itu dimasak oleh kakaknya dengan bantuan saudara-mara lain.
“Juadah yang kami sediakan ialah ayam masak merah, gulai ikan talang, kerabu pucuk paku dan sambal ikan bilis.
“Manakala ayam yang dijadikan juadah ditempah daripada dua pembekal dan satunya membekalkan ayam yang sudah berbau,” katanya. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.