Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 30 September 2013

Mendaftar Perniagaan



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyarankan peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara supaya mendaftarkan perniagaan masing-masing kerana ia dapat memberi pelbagai manfaat kepada golongan terbabit. 
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Mohd Naim Daruwish. Foto: Kosmo! Online
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Naim Daruwish berkata, perkara itu perlu dilakukan memandangkan mereka mewakili sebahagian besar daripada syarikat yang didaftarkan di bawah kategori pemilikan tunggal dan perkongsian. 
“Bayaran bagi pendaftaran itu tidaklah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan faedah yang dinikmati golongan terbabit iaitu RM30 bagi milikan tunggal dan RM60 (perkongsian),” katanya pada Bisnes Metro, baru-baru ini. 
Sehingga kini, SSM berjaya mendaftarkan kira-kira 5.1 juta syarikat dengan 1.5 juta daripada jumlah terbabit masih aktif di pasaran. 
Perniagaan runcit
Beliau berkata, kesedaran pendaftaran dalam kalangan peniaga dan penjaja kecil berada pada tahap baik, namun ia memerlukan kepada peningkatan jumlah bagi memastikan golongan itu mendapat perhatian dan hak sama seperti syarikat yang sah berdaftar. 
“Ketika ini, kami berjaya mencatatkan purata pendaftaran perniagaan milik tunggal dan perkongsian kepada 25,000 sebulan dan berharap jumlah terbabit akan membantu meningkatkan bilangan keseluruhan menjelang hujung tahun ini,” katanya. 
Tahun lalu, SSM memperkenalkan Pakej Insentif Pendaftaran dan Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan sebagai langkah meningkatkan pendaftaran golongan itu dan dalam masa sama mengurangkan beban kos pendaftaran yang dihadapi peniaga dan penjaja kecil. 
Perniagaan menjaja. Foto: Sinar Harian
Naim berkata, masih terdapat segelintir daripada golongan itu memandang ringan kelebihan mendaftarkan perniagaan masing-masing. 
Menurutnya, pendaftaran dengan SSM akan membolehkan golongan itu mewujudkan satu entiti undang-undang yang mana mereka boleh menjalankan urus niaga sah dengan pihak lain, sekali gus membolehkan tindakan diambil berdasarkan perjanjian yang dilakukan. 
“Ia dilihat memberi manfaat yang amat besar kepada diri sendiri dan pihak yang berurusan dengan mereka,” katanya. 
Pendaftaran ini juga melayakkan peniaga dan penjaja kecil dilindungi insurans secara automatik dan pada masa sama membolehkan mereka menikmati kemudahan ditawarkan kerajaan seperti pinjaman mikro kredit. 
“Ia juga memudahkan urusan mereka dengan pihak berkuasa tempatan dalam mendapatkan lesen perniagaan dan membolehkan kami turut sama memberikan latihan khusus kepada golongan terbabit,” katanya. 
Apa yang penting, pendaftaran peniaga dan penjaja kecil ini akan membolehkan pihak kerajaan dan agensi berkaitan mendapatkan maklumat tepat serta terkini mengenai butiran peniaga bagi memudahkan pelaksanaan perancangan dan program meningkatkan tingkat taraf perniagaan serta hidup golongan terbabit. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.