Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 31 Oktober 2013

Pengawal Keselamatan Larikan Sedulang Barang Kemas

Seorang pengawal keselamatan bersenjatakan pistol melarikan sedulang barang kemas (Foto hiasan). Sumber: Sinar Harian

Sedulang barang kemas (foto hiasan). Sumber: Kosmo!


PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan yang memiliki senjata api merompak sebuah kedai emas di KL Festival City Mall, dekat Setapak pada Khamis. 
Rompakan berkenaan berlaku pada pukul 9 pagi dan sumber polis mengesahkan suspek merupakan rakyat Sabah yang menggunakan kad pengenalan palsu. 
Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Asisten Supritendan, Khairi Ahrasa mengesahkan insiden berkenaan. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Zakaria Pagan berkata tiada kecederaan mahupun kematian dilaporkan. 
Beliau berkata suspek merupakan pengawal keselamatan peribadi kedai emas berkenaan. 
Pada 23 Oktober lalu, seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai bank Norazita Abu Talib selepas dia membuka pintu bilik kebal sebuah bank di Subang Jaya. 
Suspek berjaya melarikan diri dengan wang rompakan berjumlah RM450,000 daripada bilik kebal bank berkenaan. 
Bagaimanapun, polis berjaya menemui semula wang bernilai RM20,000 selepas menahan tiga ahli keluarga suspek dan usaha mengesan pengawal keselamatan berkenaan masih giat dijalankan. 
Suspek juga dilaporkan menggunakan kad pengenalan palsu dengan menggunakan alamat terakhir di Tawau, Sabah. - mStar Online

Polis sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian. Foto: The Star


KUALA LUMPUR - "Saya minta dia bawa MyKad ketika kerja hari ini, tetapi dia datang samun pula,” kata Robert Lourdusamy, mengimbas detik cemas kedai emas Tomei diuruskan beliau, disamun pengawal keselamatan bersenjatakan pistol, pagi semalam.  
Dalam kejadian jam 9.30 pagi di KL Festival City dekat Setapak itu, suspek mengacukan pistol ke dada pengurus kedai terbabit, ketika tujuh pekerjanya sedang menyusun barang kemas, sebelum merampas satu dulang berisi 93 utas rantai bernilai lebih RM150,000 sebelum melarikan diri dengan motosikal. - Berita Harian 1.11.2013



KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan yang baru sebulan bekerja tergamak menyamun kedai emas majikannya yang beroperasi di dalam pusat beli-belah KL Festival City, Setapak di sini semalam. 
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, suspek yang dikenali sebagai Hikman Jacob, 23, dari Sabah meluru ke arah pengurus premis lalu mengacu pistol ke arah mangsa. 
Ketika kejadian, selain mangsa, terdapat tujuh orang pekerja sedang menyusun barang kemas di ruang cermin pameran di aras bawah bangunan tiga tingkat tersebut. - Kosmo! Online

Asisten Komisoner Khairy Ahrasa. Foto: Sinar Harian

KUALA LUMPUR - "Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi". Itulah yang terjadi kepada pemilik sebuah kedai emas di pusat beli-belah KL Festival, Setapak di sini apabila pengawal keselamatan yang diupah menyamun kedai itu hari ini. 
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisoner Khairy Ahrasa berkata dalam kejadian 9 pagi itu, suspek yang lengkap beruniform bertindak mengacukan senjata api kepada empat pekerja premis berkenaan sebelum melarikan satu dulang berisi kira-kira 100 utas rantai leher. 
Beliau berkata kejadian yang mengambil masa kira-kira lima minit itu terjadi semasa pekerja premis berkenaan sedang melakukan kerja menyusun atur barang kemas sebelum suspek datang dan mengarahkan pekerja tersebut menyerahkan dulang berisi barang kemas. 
"Polis sedang menyiasat sama ada pengawal keselamatan tersebut melarikan diri dengan motosikal ataupun ada rakannya yang sudah menunggu di luar pusat membeli-belah itu. 
"Kita akan teliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terlebih dahulu," katanya kepada pemberita. 
Khairy berkata polis sedang menjalankan gerakan besar-besaran bagi mengesan suspek yang berusia 26 tahun dan dipercayai berasal dari Sabah. 
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek baru bertugas sebagai pengawal keselamatan di premis itu selama sebulan. 
Pihak polis sedang menyiasat latar belakang suspek serta rekodnya sebagai pengawal keselamatan dan sama ada dia mempunyai rekod jenayah lampau, katanya. 
"Kita akan semak dengan syarikat keselamatan yang mengupah suspek bekerja dan kita akan siasat senjata api yang digunakan suspek sama ada milik dia ataupun dibekalkan oleh syarikat keselamatan," katanya. 
Kes itu berlaku susulan kejadian seorang pengawal keselamatan menembak mati seorang pegawai wanita sebuah bank di Subang Jaya pada 23 Oktober lalu dan melarikan wang RM450,000. - Bernama/Sinar Harian




KUALA LUMPUR - Pengawal keselamatan yang melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Setapak, di sini, semalam, dikatakan sudah merancang jenayah itu bersama seorang wanita, dipercayai isterinya sejak sebulan lalu. 
Dalam kejadian jam 9.40 pagi semalam, pengawal keselamatan berusia 23 tahun itu melarikan 93 utas rantai emas pelbagai saiz bernilai lebih RM100,000 dalam tempoh dua minit dengan bersenjatakan pistol. 
Berdasarkan saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Siti, 20, yang bekerja di sebuah kios makanan berhampiran kedai emas itu, isteri suspek akan menemani suspek dari waktu pagi hingga habis tempoh bekerja sejak sebulan lalu. 
Menurutnya, dia juga pernah nampak suspek bersama isterinya yang dipercayai warga asing itu merakam gambar barang kemas yang dipamerkan di kedai itu, malah isterinya juga dilihat sering memerhati tindak-tanduk staf lain dan kamera litar tertutup (CCTV) yang berada dalam kedai. 
Katanya, ketika kejadian semalam, dia baru saja membuka kios dan nampak suspek keluar dari kedai emas itu dalam keadaan tergesa-gesa. 
“Saya ingatkan dia sedang mengejar pencuri, tapi rupa-rupanya dia pencuri sebenar. Ketika melarikan diri dia memegang pistol di tangan kanan manakala menggenggam barang kemas di tangan kiri dan menggunakan laluan staf untuk melarikan diri,” katanya.
Mengesahkan mengenai kelakuan mencurigakan suspek dan isterinya, pengurus cawangan kedai emas berkenaan, Robert Lourdusamy berkata, suspek baru saja mula bekerja di premis berkenaan sejak sebulan lalu dan sepanjang tempoh berkenaan, isterinya menjadi peneman setia kepada lelaki itu. 
Robert berkata, dia tidak pernah menghalang wanita itu datang ke kedai berikutan tidak pernah mengganggu hal kerja bagaimanapun selepas berlaku kejadian berkenaan, dia curiga dengan kehadiran wanita itu. 
Menceritakan kembali mengenai kejadian itu, Robert berkata, ketika itu dia bersama lapan pekerja termasuk suspek masuk ke dalam kedai kira-kira jam 9 pagi dan selepas menutup semua pintu, dia mengeluarkan barang kemas yang disimpan dalam peti simpanan dan letak di atas rak kaca. 
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk menjejaki suspek. - myMetro 1.11.2013

Sebuah makanan segera di LCCT, Sepang. (Foto hiasan). Sumber: booking.com

KUALA LUMPUR - Pengawal keselamatan yang disyaki menyamun kedai emas di pusat beli-belah KL Festival City, Setapak, Khamis lepas, ditahan di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang hari ini. 
Lelaki rakyat Filipina berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 7 pagi bersama seorang rakannya yang juga rakyat Filipina ketika menunggu penerbangan untuk ke Sabah. 
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata kedua-dua lelaki yang didapati menggunakan kad pengenalan palsu itu ditahan di sebuah restoran makanan segera di lapangan terbang berkenaan. 
"Suspek utama berusia 27 tahun itu mengaku melakukan samun di kedai emas berkenaan. Hasil siasatan lanjut, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Pandan Jaya. 
"Ia membawa kepada penemuan sepucuk pistol Smith and Wesson, lima butir peluru, satu sarung pistol dan beberapa tag harga rantai," kata Amar Singh ketika dihubungi Bernama. 
Beliau berkata suspek utama dan rakannya berusia 28 tahun itu menggunakan kad pengenalan palsu atas identiti dua lelaki Melayu tempatan. 
Dalam kejadian Khamis lepas, seorang pengawal keselamatan lengkap beruniform bertindak mengacukan senjata api ke arah empat pekerja premis berkenaan sebelum melarikan satu dulang berisi kira-kira 100 utas rantai leher. 
Kejadian yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit itu berlaku semasa pekerja premis itu sedang menyusun atur barang kemas sebelum suspek datang dan mengarahkan mereka menyerahkan dulang berisi barang kemas berkenaan. 
Amar Singh berkata dengan tangkapan itu, kes samun kedai emas membabitkan seorang pengawal keselamatan kedai itu sendiri dianggap selesai. 
Semalam, Bernama melaporkan dua lelaki ditahan dalam serbuan di Shah Alam dan Sentul bagi membantu siasatan kes samun kedai emas itu. - Bernama 3.11.2013

Norena Lamuddin, 27, berasal dari Lambitan, Filipina menggunakan kad pengenalan palsu dengan nama Hasnah Hassan


KUALA L.UMPUR - Polis semalam mengedarkan gambar dan nama seorang wanita dipercayai teman wanita pengawal keselamatan yang merompak kedai emas di pusat beli-belah KL Festival City, Setapak pada 31 Oktober lalu. 
Wanita yang dikenali sebagai Norena Lamuddin, 27, berasal dari Lambitan, Filipina itu dicari kerana dipercayai boleh membantu polis mencari sebahagian besar lagi barang kemas bernilai kira-kira RM150,000 yang disamun pengawal keselamatan itu. 
"Kami percaya wanita itu merupakan teman wanita kepada suspek utama dan semakan mendapati wanita itu juga menggunakan kad pengenalan palsu dengan nama Hasnah Hassan," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah. - Kosmo! Online 7.11.2013

KUALA LUMPUR - Dua pengawal keselamatan warga Filipina hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini berhubung rompakan rantai emas bernilai RM150,000, di kedai emas Tomei Gold & Jewellery di sini, akhir bulan lepas. 
Di Mahkamah Sesyen, Rakib Asla, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan merompak 93 utas rantai emas dengan mengacukan pistol jenis Revolver .38 special model Arminius kepada pengurus kedai emas itu, L. Robert, 52, di LotG-53 KL Festival City, Taman Danau Kota, Setapak, di sini. 
Tertuduh yang merupakan pengawal keselamatan kedai emas itu, didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum penjara seumur hidup dan dikenakan enam kali sebatan, jika sabit kesalahan. 
Rakannya, Hussin Jalain, 29, yang merupakan pengawal keselamatan di premis lain, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan menyimpan harta curi itu iaitu dua utas rantai emas bernilai RM3,000. 
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 
Hussin juga mengaku bersalah terhadap pertuduhan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan enam kali sebatan, jika sabit kesalahan. 
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di restoran makanan segera KFC di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang, pada jam 8.30 pagi, 3 November lepas. 
Pertuduhan terhadap Hussin dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shasheeta Mohamed Hanifah. 
Pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu dan selepas jurubahasa mahkamah bertanya sama ada mereka mengaku bersalah atau tidak, kedua-dua tertuduh mengangguk. 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norman Mohd Nasir memohon kepada Mahkamah Sesyen supaya tarikh jatuh hukum bagi kedua-dua kes itu berjalan pada hari sama. 
Hakim, Azman Mustafa menetapkan 19 November ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua lelaki itu yang tidak diwakili peguam. 
Kedua-dua tertuduh yang didakwa di mahkamah kira-kira 4 petang tadi dibawa ke Penjara Sungai Buloh. - Bernama 17.11.2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.