Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 25 Oktober 2013

Tikam 4 Mangsa Dalam Tempoh 40 Minit

Suspek berlumuran darah selepas ditangkap dan dibelasah orang awam. Foto: ABN News
Kesan darah mangsa di Stesen Putra LRT Gombak. Foto: ABN News

Salah seorang mangsa yang ditikam dengan kejam oleh suspek bersenjatakan pisau rambo. Foto: ABN News

Suspek meronta-ronta selepas ditangkap. Foto: ABN News


KUALA LUMPUR – Dua maut manakala dua lagi cedera parah akibat ditikam seorang lelaki, dalam satu kejadian amuk berhampiran Stesen Putra LRT Gombak dan Taman Melati kira-kira 12 tengah hari tadi. 
Suspek yang berusia 26 tahun itu dipercayai kurang siuman dan menghadapi tekanan perasaan malah ada yang mengatakan dia merupakan pengikut ajaran sesat. 
Kejadian itu bermula apabila suspek yang juga pemandu van syarikat rokok telah menikam seorang wanita yang juga pemilik kedai runcit berusia 60 tahun dengan menggunakan pisau rambo. 
Dia juga menikam pembantu kedai runcit itu iaitu seorang wanita warga Indonesia yang berusia 40 tahun di Stesen LRT Gombak. 
Kedua-dua mangsa berkenaan mengalami kecederaan parah namun kini dilaporkan stabil dan dirawat di hospital.
Kira-kira setengah jam selepas itu, suspek melarikan diri dengan van sebelum merempuh sebuah lagi van yang membawa air mineral. 
Dalam insiden itu, suspek nekad menikam pemandu van itu dengan tiga tikaman di bahagian dada dan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. 
Selang beberapa minit, suspek memandu semula van tersebut namun tidak lama selepas itu dia merempuh pula sebuah kereta Toyota Prius. 
Ekoran pelanggaran itu, pemandu kereta tersebut yang merupakan pelajar Kolej Tuanku Abdul Rahman keluar dari kenderaan bagi membuat pemeriksaan. 
Namun dia kemudian dikejar oleh suspek sejauh 200 meter dan kemudian ditikam sebanyak lima kali di bahagian dada lalu meninggal dunia di tempat kejadian. 
Melihat keadaan tersebut, orang ramai yang berada di sekitar kawasan berkenaan memberanikan diri menangkap suspek dan mengikatnya dengan rantai. 
Orang ramai yang marah juga dilapor telah membelasah suspek. 
Ketika ditahan, lelaki berkenaan tidak putus-putus mengucap dua kalimah syahadah dengan suara yang kuat. 
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 
“Suspek berjaya ditangkap oleh orang ramai dan ketika ditangkap mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu,” katanya kepada pemberita. - ABN News

Sumber: Sinar Harian

Anggota polis mengangkat mayat pelajar lelaki yang ditikam oleh suspek di Jalan Tumbuhan, Wangsa Maju. Foto: Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Dalam tempoh 40 minit, seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental, bertindak menikam empat mangsa di tiga lokasi berasingan sekitar Taman Melati, Gombak, di sini, hari ini. 
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 pagi itu menyebabkan dua mangsa termasuk seorang pelajar kolej swasta, meninggal dua di tempat kejadian sementara dua lagi termasuk seorang warga emas cedera parah dan kini dalam keadaan kritikal. 
Ia bermula apabila suspek, bekerja sebagai pemandu van sebuah syarikat rokok, membuat penghantaran ke sebuah kedai di Stesen LRT Gombak. 
Sebaik menghantar rokok, suspek dengan tidak semena-mena mengeluarkan pisau rambo dan menikam pemilik kedai, wanita berusia 60-an dan pembantu kedai, wanita warga Indonesia, berumur 40-an. 
Suspek kemudiannya melarikan diri menaiki van menuju ke arah Stesen LRT Melati dan kemudiannya bertindak melanggar sebuah van penghantar barang (air mineral) dipandu seorang lelaki berumur 48 tahun di Jalan Persiaran Pertahanan, terletak kira-kira tiga kilometer dari stesen lokasi kejadian pertama. 
Ketika mangsa turun dari van untuk melihat keadaan, suspek yang bagaikan dirasuk, bertindak menikam mangsa sebanyak tiga tusukan menyebabkan mangsa rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian. 
Sejurus selepas itu, suspek memandu semula van ke arah Wangsa Maju dan melakukan modus operandi sama apabila bertindak melanggar sebuah kereta jenis Toyota Hybrid dipandu remaja berusia 25 tahun. 
Dalam kejadian di Jalan Tumbuhan itu, mangsa yang merupakan pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju, cuba melarikan diri, namun dikejar suspek sebelum ditikam sehingga meninggal dunia. 
Saksi kejadian, seorang peniaga dikenali sebagai Farid, 30, berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu bertindak membelasah suspek namun suspek hanya melaungkan takbir sambil mengucap berulang-ulang kali. 
"Ketika itu dia dalam keadaan bergari dan berlumuran darah setelah dibelasah orang ramai,"katanya. 
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kejadian hanya berakhir kira-kira jam 12 tengah hari setelah suspek berjaya ditahan oleh anggota polis peronda Dang Wangi. 
Katanya, terdapat tiga kesan tikaman di bahagian badan dan tangan pada mangsa terakhir sementara suspek cedera di bahagian kepala. 
"Kita dapati suspek yang berasal dari Segamat Johor ini, berada dalam keadaan tidak normal dan mengalami masalah 'kejiwaan' berkemungkinan berkaitan dengan ajaran yang dituntut. 
"Siasatan awal mendapati, suspek bebas daripada rekod jenayah, bagaimanapun ujian akan dilakukan sekiranya suspek berada di bawah pengaruh dadah. 
"Kita juga akan libatkan jabatan agama, dan kaunseling bagi menentukan tahap kesedaran suspek ketika kejadian, sama ada normal atau tidak,"katanya. 
Beliau menambah, motif kejadian masih dalam siasatan dan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian. 
"Kejadian ini tiada kena mengena dengan isu perkauman, tetapi lebih kepada masalah individu yang mengalami masalah jiwa dan bertindak di uar kawalan,"katanya. 
Mangsa yang cedera dan suspek dibawa ke HKL untuk rawatan lanjut. 
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan 302 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian

Suspek selepas berjaya ditahan orang orang. Foto: myberitasemasa.com

KUALA LUMPUR - Polis belum mendapat pengesahan sama ada suspek amuk yang menikam mati dua individu dan mencederakan dua individu lain, Khamis lalu, mengalami gangguan mental atau sebaliknya. 
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang kini melakukan beberapa ujian bagi mengetahui keadaan sebenar suspek ketika melakukan jenayah itu. 
“Ketika ini ujian saringan air kencing ke atas suspek mengesahkan dia seorang penagih dadah namun kita belum dapat memastikan sama ada perlakuannya (mengamuk dan membunuh) itu adalah disebabkan kesan daripada tabiatnya itu. 
“Justeru, kita tidak mahu orang ramai membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sehingga pihak polis menyelesaikan siasatan,” katanya selepas menghadiri majlis pengebumian seorang mangsa, mendiang Lee Kah Ghee, 48, di rumah keluarganya di Taman Segambut Indah di sini, semalam. 
Beberapa akhbar sebelum ini melaporkan suspek mengalami tekanan jiwa akibat menuntut ajaran sesat dan mendengar bisikan suara menyuruhnya membunuh. 
Zakaria berkata, suspek yang kini dirawat di HKL direman sehingga 31 Oktober ini, dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan tempoh tahanan remannya mungkin disambung bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan. 
Katanya, polis akan menyegerakan siasatan dan buat masa ini pihaknya masih mengumpul segala bukti selain merakam percakapan saksi secara berperingkat dan percaya siasatan dapat dilengkapkan dalam masa terdekat. 
“Beberapa saksi sudah dipanggil dan direkod keterangan termasuk dua mangsa yang cedera. Ketika ini, kita masih belum dapat menyoal siasat suspek sepenuhnya kerana sedang menerima rawatan hospital dengan dipantau polis,” katanya. 
Dalam kejadian itu, suspek yang bekerja sebagai pemandu van syarikat rokok menikam pemilik kedai runcit dan pekerjanya di LRT Gombak sebelum menikam mati dua lagi mangsa berhampiran LRT Taman Melati, menggunakan pisau rambo. 
Akibat kejadian, dua mangsa iaitu Kuan Chun Thai, 25 dan Kah Ghee, mati manakala dua lagi parah iaitu Law Siew Ling, 49, serta Suliani Johari, 31. 
Difahamkan, suspek yang ditangkap oleh orang ramai turut cedera dibelasah selepas menyedari dia menikam mangsa. - Berita Harian 28.10.2013


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.