|
Berpuluh-puluh tong berisi cecair likat berwarna hijau yang diletakkan di bawah cahaya matahari |
|
Bumbung bangunan pencakar langit di Bangkok merupakan tempat paling sesuai mengusahakan spirulina |
|
Syarikat EnerGaia telah mula menanam spirulina, alga yang dimakan, di atas bumbung |
|
Seorang pekerja sedang memeriksa spirulina dalam tong di atas sebuah hotel di Bangkok pada 24 Jun, 2013 |
|
Spirulina disifatkan sebagai makanan super dengan manfaat antioksidan dan detoksikasi tubuh |
Di atas bumbung sebuah hotel di Bangkok, Thailand, berpuluh-puluh tong berisi cecair likat berwarna hijau yang diletakkan di bawah cahaya matahari kelihatan berbuih. Susunan tong-tong tersebut merupakan inovasi terbaharu pertanian bandar.
Pendukung alga yang boleh dimakan dan dikenali sebagai spirulina mengatakan ia mampu menjadi sumber protein yang mapan dan alternatif kepada daging.
Tiga kali seminggu, Patsakorn Thaveeuchukorn menuai alga hijau di dalam tong-tong tersebut.
"Alga ini tumbuh dengan cepat dan biasanya menjadi dua kali lebih banyak dalam tempoh 24 jam. Dengan kandungan protein dan nutrien yang tinggi ia memainkan peranan penting dalam jaminan keselamatan makanan.
"Kalau anda membandingkannya dengan sekilogram haiwan yang memerlukan enam bulan untuk menghasilkan protein, cara ini pula hanya memerlukan tempoh seminggu," katanya yang merupakan pekerja EnerGaia, sebuah syarikat yang menggunakan bumbung bangunan-bangunan di Bangkok sebagai tempat pembiakan spirulina.
Spirulina disifatkan sebagai makanan super oleh pakar pemakanan kesihatan dan popularitinya semakin melonjak di seluruh dunia.
Rosa Rolle dari Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) berkata, spirulina adalah sumber makanan penting sejak berkurun lamanya.
"Ia tumbuh secara semula jadi di Tasik Texcoco di Mexico dan dimakan oleh puak Inca. Kebanyakan negara yang bersempadan dengan Tasik Chad di Afrika Barat turut menjadikannya sumber protein," katanya kepada AFP.
Bagaimamnapun, kata Rolle, spirulina juga berisiko menyebabkan masalah kesihatan bagi mereka yang menghidap penyakit gout kerana ia menghasilkan banyak asid urik. Orang ramai perlu dididik mengenai kesan positif dan negatif spirulina sebelum mengambilnya.
"Anda memerlukan maklumat nutrisi mengenainya, namun ia tidak menjadi masalah bagi mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan," katanya.
Bumbung bangunan pencakar langit di Bangkok merupakan tempat yang paling sesuai mengusahakan spirulina berikutan pancaran terus cahaya matahari dan suhu tinggi yang sekata.
Antara kebaikan alga ini adalah menyingkirkan gas karbon dioksida menerusi proses fotosintesis. Pakar- pakar spirulina menyifatkan cara penanaman di bandar adalah baik kerana ia dapat sampai kepada pengguna pada hari yang sama ia dituai.
Sebaik dikumpulkan, alga spirulina akan dicuci menggunakan tangan dan dikeringkan dengan mesin basuh yang diubah suai.
Ia kemudian dipadatkan ke dalam bekas-bekas, sekali lagi menggunakan tangan kerana belum ada mesin dicipta untuk memproses cecair pekat seperti jeli yang dihasilkannya.
"Kami telah membuat banyak percubaan dan menempuh banyak kegagalan.
"Namun, hasilnya adalah sangat baik untuk vegetarian kerana ia dilengkapi dengan antioksidan dan membantu detoksikasi tubuh," kata Pengarah Teknologi EnerGaia, Derek Blitz.
Dalam makmal syarikat tersebut, barisan tabung uji berlainan saiz dihubungkan antara satu sama lain sebagai tempat membiakkan alga itu, manakala tong-tong berlainan saiz di atas bangunan pula diuji untuk memastikan yang mana satu menghasilkan lebih banyak spirulina.
EnerGaia menegaskan bahawa ia adalah satu-satunya pengeluar spirulina segar dunia ketika syarikat lain hanya memasarkan produk kering dan yang telah diproses.
Bekas padat alga mampu bertahan selama kira-kira tiga minggu selepas dituai, namun Blitz merancang untuk meningkatkan tempoh tersebut dalam usaha mengeksportnya ke luar negara.
"Antara kelebihan mendapatkannya secara segar kerana ia tidak mempunyai sebarang rasa dan boleh dicampurkan ke dalam apa jua jenis makanan.
"Pengambilan spirulina umpama memakan sayur yang sudah dimasak berbanding yang mentah. Lebih banyak nutrien dalam yang segar berbanding yang kering. Selain itu, pengambilan spirulina segar tidak memerlukan banyak tenaga kerja," kata Blitz lagi.
Sebahagian chef dari Bangkok turut bereksperimen dengan alga tersebut, seperti pemilik Oyster Bar, Bill Marinelli.
"Ia benar-benar memberi kesan baik kepada anda. Kami menambahkannya ke dalam hidangan untuk meningkatkan nilai nutrisinya," katanya.
Warna alga itu sangat kuat sehingga apa juga yang dicampurkan dengannya bertukar hijau. Disebabkan ia tidak mempunyai rasa, Marinelli masih terus menggunakannya.
"Saya melihatnya sebagai alternatif kepada protein haiwan. Kita dapat mengurangkan jumlah protein dalam hidangan ikan atau daging dengan memasukkan spirulina sebagai sumber protein tambahan," katanya.
Spirulina telah digunakan sebagai makanan suplemen selama berpuluh-puluh tahun dan popular dalam kalangan ahli bina badan. - AFP/Kosmo! Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.