Rowena (kiri) bersama adiknya Rizwana bersama produk sejuk beku makanan barat keluaran syarikat mereka. Foto: myMetro |
Set lengkap empat jenis stik bersama sos. Foto: myMetro |
Pekerja sedang melakukan pembungkusan di kilang. Foto: myMetro |
Raziff (kiri) dan Roslin bersama produk sejuk beku untuk edaran syarikat dinaungi dua anak mereka. Foto: myMetro |
Jujurnya berat hati dua beradik ini meninggalkan kerjaya yang baru dibina. Sedang rakan seperjuangan berebut-rebut mencari pekerjaan, mereka menolak peluang di depan mata.
Bukan tidak mahu meneruskan kerjaya yang baru diteroka, tetapi terpaksa ditolak demi memenuhi tuntutan keluarga.
Pengorbanan itu berbaloi apabila menerajui empayar perniagaan yang dibangunkan ibu bapa mereka.
Bernaung di bawah Syarikat Steaq Hub Ventures yang juga pengeluar produk makanan sejuk beku, mereka kini berstatus pengurus.
Rowena Raziff, 28, yang memiliki diploma pengajian perniagaan dari Open University Malaysia (OUM) memegang jawatan pengurus operasi.
Adiknya, Rizwana Raziff, 24, yang juga pemegang diploma kewartawanan SeGi University College dilantik pengurus pemasaran.
Malah, Rizwana pernah berkhidmat sebagai wartawan BERNAMA selama enam bulan sebelum bertukar bidang baru.
Ditanya mengenai pembabitan mereka dalam bidang terbabit, ada cerita menarik yang ingin dikongsikan.
Di sebalik kejayaan dicipta, terselit kisah sedih pernah dilalui ibu bapa mereka yang juga pengasas syarikat.
Rowena berkata, perniagaan itu bermula pada 2010.
Selepas kontrak perkhidmatan ayahnya, Raziff Raoff, 55, dan ibu Roslin Hussain, 49, dengan sebuah syarikat teknologi maklumat ditamatkan pada 2010, mereka memulakan perniagaan berasaskan sos termasuk lada hitam dan mayo herba.
“Dari situlah tercetus perniagaan sejuk beku,” katanya.
Mereka menjadikan tapak perniagaan di Taman Seri Rampai untuk mendapatkan maklum balas pengguna.
“Tempohnya tidak lama dan hanya tiga bulan, namun maklum balas diterima sangat positif.
“Dari situ kami dapat ilham untuk menghasilkan kit lengkap makanan barat yang boleh dinikmati orang ramai,” katanya.
Akhirnya, produk mereka dikenali sebelum meniti di bibir pelanggan.
“Dulu kami memasarkan kira-kira 40 peket makanan barat ini kepada pengusaha restoran di Gombak, Petaling Jaya dan Shah Alam.
“Kini, selepas empat tahun beroperasi jumlahnya ditingkatkan kepada 4,000 kotak sebulan,” katanya.
Syarikat itu mengeluarkan empat kit lengkap makanan barat seperti filet ikan, ayam, kambing dan lembu yang turut dilengkapi jejari kentang, koktel ayam dan pilihan sos seperti lada hitam dan mayo berherba.
Dengan slogan ‘Menepati Citarasa’, produk itu mudah dikendalikan iaitu masak cara sendiri, panggang, goreng atau bakar di dalam ketuhar.
Rowena yang juga anak sulung dari tiga beradik mengakui mereka tiada masalah mendapatkan bahan mentah kerana ada pembekal tetap.
“Kami mementingkan kualiti serta tahap kebersihan bahan mentah dan paling penting perlu halal.
“Syarikat kini mengeluarkan 4,000 kotak sebulan dengan menggunakan 4,000 kilogram (kg) ayam, 4,800kg kambing dan masing-masing 3,200kg lembu dan ikan sebulan.
“Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan SME Bank menerusi geran padanan banyak membantu syarikat mendapatkan dana pinjaman,” katanya.
Mereka yang berminat untuk menjadi pengedar atau mendapatkan produk boleh mengunjungi laman sosial Facebook www.facebook.com/steaqhub atau www.steaqhub.com./
myMetro/Mohd Sabran Md Sani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.